Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Sunday, January 15, 2012

Sahabat Yang Perlu Dijauhi

HIPOKRIT

Di depan bukan main baiknya, bukan main manis mulutnya. Dia sentiasa menunjukkan hormatnya dan memuji-muji. Namun di belakang, dia mengutuk, dia mencaci, memaki kita. Habis rahsia dan keburukan diceritakan kepada orang lain. Dia ni memang seorang rakan yang sentiasa menikam dari belakang.

TAMAK

Dia hanya mementingkan dirinya sendiri. Masa kita kaya atau senang, dia sentiasa mendekati. Tapi masa kita susah dia akan menjauhkan dirinya. Dia selalu mengungkit-ungkit akan kebaikannya.

HIBURAN

Dia hanya memilih kita sekadar untuk tujuan berseronok-seronok. Dia suka mengajak kita kepada perkara yang sia-sia contohnya menemani ke konsert, clubbing atau ‘melepak’ tanpa tujuan. Kerja dia hanya nak berseronok sahaja. Bila kita ajak dia pergi masjid atau majlis agama, dia hanya mentertawakan kita. Bermacam-macam alasan diberikannya.

PENGAMPU

Dia bersetuju dengan semua yang kita lakukan tidak kira betul atau salah. Dia tidak berani menyatakan kebenaran. Dia tidak pernah menegur kita walaupun kita sedang melakukan kesilapan. Hakikatnya dia tidak jujur dan tidak ikhlas dengan kita. Semua perbuatannya seolah-olah macam ada motif tertentu yang kita tidak tahu.

Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata, “Sejahat-jahat sahabat ialah yang menyuruh engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”
Dan ingat juga wasiat Khalifah Umar Abdul Aziz ini, “Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau.”

Wallahualam...

Saturday, January 7, 2012

15 Cara Khusyuk Solat

  1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal.
  2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan solat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
  3. Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
  4. Membaca dengan baik, berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al-Fatihah, gerakan dan maknanya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
  5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi, menyedari bahawa Allah SWT memperhatikan sembahyang itu.
  6. Perasaan malu terhadap Allah SWT, rasa takut kepada kekuasaan Allah SWT.
  7. Berharap serta yakin Allah SWT menerima solat dan amal kita.
  8. Hati diajak hadir atau ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
  9. Membesarkan Allah SWT dalam solat, merasakan kehebatan Allah SWT dalam solat.
  10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
  11. Mendirikan solat secara berjemaah.
  12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
  13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
  14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
  15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Haram hukumnya.

Tuesday, January 3, 2012

20 Cara DiMurahkan Rezeki

1. Jangan Lupa Menunaikan Ibadah Kepada Allah

Beribadah kepada Allah SWT walau sibuk mana sekalipun, maka Insya Allah pasti diri kita akan dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan. Allah SWT tidak mensia-siakan pengabdian diri hambaNya.
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah SWT, yang menjadi sebab Allah SWT jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Meninggalkan Perbuatan Dosa

Istighfar tidak berguna di sisi Allah SWT jika masih membuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Berzikir & Sentiasa Mengingati Allah SWT

Banyak mengingati Allah SWT membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah SWT beri kepada orang yang beriman.
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah SWT. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah SWT hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti & Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaan buatnya dan Allah SWT akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki Allah SWT daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik & Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Menunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri.
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah SWT akan menunaikan hajatnya” (Riwayat Muslim)
8. Memperbanyakkan Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Memperbanyakkan Membuat Kebajikan

Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

10. Bangun Awal Pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan dimurahkan rezeki. Hindari daripada tidur sehingga tengahari.

11. Menjalin Silaturrahim
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Sentiasa Berwuduk
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Selalu Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah SWT membuka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah SWT memperbanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah SWT menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Selalu Bertahajjud

Amalan Solat Tahajjud memudahkan memperolehi rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

15. Menunaikan Solat Dhuha

Amalan Solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah SWT

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat.
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim: 7)
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Berzikir & Beramal Membaca Ayat Al-Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat Al-Quran atau Asma’ul Husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan memahami agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah SWT melapangkan kehidupan dan dimurahkan rezeki. Salah satu nama Allah SWT, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca
“Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenaliMu, bukalah pintu rahmat dan keampunanMu, ya Fattah ya `Alim.”
18. Sentiasa Berdoa & Memohon Pertolongan Daripada Allah SWT

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah SWT, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Sentiasa Berusaha & Berikhtiar

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Al-Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
"Allah SWT memberikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah SWT beri kepada orang yang dicintaiNya saja." (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
20. Bertawakkal Kepada Allah

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah SWT.
“Barang siapa bertawakal kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebutkan di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah SWT akan memberi “jalan keluar (darisegala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Monday, January 2, 2012

Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan

Bangun Sebelum Subuh

Rasulullah SAW mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Aktif Menjaga Kebersihan

Rasulullah SAW sentiasa bersih dan rapi. Setiap hari Khamis atau Jumaat, Rasulullah SAW mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tidak Makan Berlebihan

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadhan bagi keseimbangan kesihatan selain Rasulullah SAW selalu berpuasa sunat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Gemar Berjalan Kaki

Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang  hendak kita pergi.

Tidak Pemarah

Nasihat Rasulullah SAW ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Optimis, Tidak Putus Asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah SWT.

Tidak Iri Hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.