Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Wednesday, August 24, 2011

Usaha Menentang Diabetes

Dua bulan lepas, aku telah menerima satu dugaan yang amat berat untuk aku terima di mana aku tergolong dalam kumpulan Diabetes Mellitus... Senang cerita Kencing Manis la... Pada mulanya, secara rawak dari Klinik pada 11 Jun 2011, bacaan 19 mmol/L... Doktor pun sarankan untuk menunggu laporan daripada makmal untuk pengesahan... Bila aku mula membaca secara mendalam mengenai Diabetes, memang sesuatu yang menggerunkan kerana daripadanya boleh merebak ke penyakit-penyakit kronik... Bermacam-macam yang bermain di fikiranku... Potong kaki la, cucuk insulin la, boleh buta la, lemah tenaga batin la... Huh!!! memang STRESS!!! Aku pun meminta nasihat daripada rakan-rakan dan juga keluarga... Banyak petua yang telah diberikan... Akhirnya Ayahandaku memberikan petua dengan mengamalkan meminum Teh Hijau dicampur dengan serbuk Kulit Kayu Manis beserta senaman... Aku pun mencari sumber-sumber daripada Internet mengenai khasiat Teh Hijau dan Kulit Kayu Manis... Ternyata bahan ini merupakan sumber utama penyembuhan bagi penghidap Diabetes... Aku bermula mengamalkan petua ini setiap malam sebelum tidur bermula 12 Jun 2011 dan juga berhenti dari mengambil nasi... Aku gantikan nasi dengan Roti Wholemeal dan Quaker Oats... Di kala petang, lepas sahaja balik dari kerja, aku meluangkan masa 30 minit untuk berjalan pantas di padang permainan...

Masa yang ditunggu telahpun tiba... Dah rasa macam menunggu keputusan peperiksaan pula, samada lulus ataupun gagal... Bacaanku yang disahkan pada 15 Jun 2011 ialah 16.4 mmol/L (bermakna 3 kali ganda lebih daripada paras normal)... Doktor pun menyarankanku supaya mengambil ubat... Aku masih ingat lagi pesanan dari abangku, tak perlu ubat... Cukupla dengan menjaga makanan... Aku pun menolak saranan doktor dengan baik... Aku tetap dengan pendirianku untuk menentang Diabetes secara natural... Berikut adalah amalanku:
  1. Sarapan pagiku: 7 sudu besar Quaker Oats + 2 sudu besar Corn Flakes + 1 sudu teh serbuk Badam + 1 paket HiGoat
  2. Sarapan tengahariku dan malamku: sayur campur + ulam-ulam + ikan / ayam / daging tanpa lemak
  3. Aku akan pastikan perutku tak kosong di siang hari, setiap sejam aku akan memakan sekeping Krakers atau roti WholeMeal
  4. Air kosong 2 liter sehari
  5. Scott Imulsion: 1 sudu besar pagi dan 1 sudu besar malam
  6. Senaman 30 minit setiap hari dengan menggunakan X2 Crosstrainer, tekan tubi 20 kali sehari, bangun tubi 20 kali sehari
  7. Apple Cider: 1 sudu teh dicampur segelas air diminum setiap pagi
  8. Teh Hijau + hujung sudu teh serbuk Kulit Kayu Manis + biji Pelaga sebelum tidur
  9. Menggantikan minyak Canola dan minyak Zaitun dalam masakan
  10. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT
Tergerak dihatiku untuk ke Klinik bagi mengetahui bacaan Gula dalam darahku... Alhamdulillah, ia menunjukkan keputusan yang positif di mana bacaanku pada 18 Jun 2011 ialah 10.8 mmol/L... Dengan itu aku menjadi bersemangat untuk mendisiplinkan diriku dalam menjaga pemakananku di samping senaman yang berterusan... Aku dapat rasakan bahawa aku masih ada peluang untuk bebas dari cengkaman Diabetes...

Aku ada terbaca satu artikel mengenai khasiat Kurma di mana 7 biji Kurma sehari menjadi penawar segala jenis penyakit... Setelah mendapat pendapat daripada pakar, disarankan untuk penghidap Diabetes, Kurma di makan 3 biji pagi, 3 biji tengahari, 1 biji malam... Jika di bulan puasa, 3 biji sahur, 3 biji ketika berbuka, 1 biji setelah Tarawih... Oleh itu, 7 biji Kurma sehari kini menjadi amalanku di bulan puasa dan semestinya akan diamalkan untuk bulan yang lain... Aku akan mengambil Kurma kering yang bertangkai...

Begitu juga dengan Misai Kucing... Tak perlu menghabiskan duit dengan membeli Teh Misai Kucing yang ternyata mahal harganya... Cuma dengan harga RM1 di kedai Ubat Cina atau Sensei, aku dapat 1 paket Misai Kucing... Kini amalanku dah bertukar... Dulu Teh Hijau + serbuk Kulit Kayu Manis + biji Pelaga... Kini Teh Hijau + sedikit Misai Kucing diminum setiap malam sebelum tidur...

Di bulan puasa, aku tidak menjalankan senaman seperti biasa... Memadailah dengan banyak berjalan dan mempertingkatkan ibadah solat... Hari ini 24 Ogos 2011, tepat pukul 6 petang aku pun ke Klinik untuk mengetahui bacaan Gula dalam Darahku... Ya Allah!!! Bersyukur kepadaMu Ya Allah!!! Bacaanku kini sudah ke paras normal iaitu 4.9 mmol/L... Kini aku sudah mengetahui yang aku pernah menghidapi Diabetes, berketurunan Diabetes sebelah arwah Bondaku, jadi aku kenalah sentiasa berwaspada dengan mengekalkan disiplin amalan pemakanan yang sihat beserta senaman yang berterusan...
Hidup sihat, keluarga bahagia...

Tuesday, August 23, 2011

Solat Sunat Tasbih

Solat ini disebut Solat Sunat Tasbih kerana diucapkan Tasbih sebanyak 300 kali Tasbih. Ia merupakan solat sunat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Saidina Abbas Ibn Abdul Mutalib. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh setiap malam, andaikata tidak sanggup diusahakan seminggu sekali, andaikata tidak sanggup diusahakan sebulan sekali, sekiranya tidak sanggup diusahakan setahun sekali, kalau tidak sanggup bolehlah dikerjakan sekali dalam seumur hidup.
  1. Sekiranya dikerjakan pada siang hari, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan satu salam.
  2. Sekiranya dikerjakan pada malam hari, hendaklah empat rakaat itu dijadikan dua salam.
Seeloknya dilakukan sebelah malam, namun boleh juga dilakukan di siang hari. Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama, kerana ia diselangi membaca 300 kali Tasbih.
Bacaan Tasbih itu ialah: Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar.
Solat Sunat Tasbih ini dilakukan 4 rakaat, setiap satu rakaat dibaca sebanyak 75 kali Tasbih. Ini bermakna genap 4 rakaat menjadikannya 300 kali Tasbih. Bilangan bacaan Tasbih dalam satu rakaat adalah seperti berikut:
  1. 15 kali Tasbih - Selepas Doa Iftitah, Surah Al-Fatihah dan surah.
  2. 10 kali Tasbih - Rukuk
  3. 10 kali Tasbih - Iktidal
  4. 10 kali Tasbih - Sujud
  5. 10 kali Tasbih - Duduk antara dua Sujud
  6. 10 kali Tasbih - Sujud
  7. 10 kali Tasbih - Duduk sebentar sebelum berdiri semula atau selepas Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir
Sekiranya terlupa membaca Tasbih pada satu-satunya tempatnya, maka boleh digantikan di tempat berikutnya, agar tetap Tasbihnya berjumlah 300 Tasbih.
Niat Solat Sunat Tasbih: Sahaja aku sembahyang sunat tasbih dua (atau empat) rakaat kerana Allah Ta'ala.
Surah-Surah yang disunatkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah At-Takaathur pada rakaat pertama
  2. Surah Al-'Asr pada rakaat kedua
  3. Surah Al-Kaafiruun pada rakaat ketiga
  4. Surah Al-Ikhlas pada rakaat keempat
Surah At-Takaathur (Banyak Berlumba)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat
  1. Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan (memperbanyak harta benda dan anak-anak),
  2. Sehingga kamu masuk kubur.
  3. Sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  4. Kemudian sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  5. Sekali-kali jangan begitu, kalau kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin.
  6. Sesungguhnya kamu akan melihat neraka,
  7. Kemudian sesungguhnya kamu akan melihatnya dengan mata keyakinan,
  8. Kemudian kamu akan diperiksa pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu perolehi dari Tuhanmu).
Surah Al-'Asr (Masa)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 3 ayat
  1. Demi masa,
  2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
  3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.
Surah Al-Kaafiruun (Orang-Orang Kafir)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 6 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Wahai orang-orang kafir,
  2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
  3. Dan kamu tidak akan menyembah apa yang aku sembah.
  4. Aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah,
  5. Dan kamu tak pula pernah menyembah apa yang aku sembah.
  6. Bagi kamu agamamu dan bagiku agamaku.
Surah Al-Ikhlas (Bersih - Tulus)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 4 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa.
  2. Allah yang dituju (untuk meminta hajat).
  3. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
  4. Dan tiada suatu pun yang menyerupaiNya.
Doa Solat Sunat Tasbih: Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazamanku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau. Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadaMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran. Ya Tuhanku, sempurnakanlah kepadaku cahaya kebenaran, dan ampunilah aku. Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa.

Monday, August 22, 2011

Solat Sunat Dhuha

Sebagai orang beriman, kita perlu menyakini bahawa segalanya dalam kehidupan kita ini adalah dalam pengurusan Allah SWT. Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. DaripadaNya datang segala kebaikan dan daripadaNya juga datang segala keburukan. Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah Solat Sunat Dhuha. Antara keistimewaannya adalah seperti yang telah disebut oleh Allah SWT, waktu Dhuha adalah waktu Allah SWT mencurahkan kurniaan kepada hamba-Nya.
Dalam riwayat  Abu Hurairah katanya: Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan Witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat Solat Dhuha kerana ia adalah sunat Awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasullullah SAW yang maksudnya: Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan. (Kitab An-Nurain)
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menjaga Solat Dhuha nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih dilautan. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dalam riwayat Anas bin Malik katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Barangsiapa yang mengerjakan Solat Sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Waktu Solat Sunat Dhuha setelah matahari meninggi sejengkal, lebih kurang pukul 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari menegak, iaitu tengahari. Tidak boleh dilakukan sebelum dan sesudah batas waktu tersebut. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti solat sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan 4 rakaat, 6 rakaat, 8 rakaat dan 12 rakaat.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan Solat Sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya. (Riwayat At-Thabarani)
Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk. Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam.
Niat: Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.
Boleh dibaca mana-mana Surah sesudah selesai bacaan Al-Fatihah. Namun Surah yang digalakkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah Asy-Syams pada rakaat pertama 
  2. Surah Ad-Dhuhaa pada rakaat kedua
Surah Asy-Syams (Matahari)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 15 ayat
  1. Demi matahari dan sinarnya,
  2. Demi bulan apabila mengiringinya,
  3. Demi siang apabila melahirkan (cahayanya),
  4. Demi malam apabila menutupinya,
  5. Demi langit dan Yang Membangunkannya (Allah),
  6. Demi bumi dan Yang Menghamparkannya (Allah),
  7. Demi diri (manusia) dan Yang Menyempurnakannya (Allah),
  8. Lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik.
  9. Sesungguhnya telah menanglah orang-orang yang membersihkan (jiwanya).
  10. Dan rugilah orang yang mengotorkannya.
  11. Thamud telah mendustakan (Rasul), kerana derhakanya,
  12. (Iaitu) ketika bangun seorang yang amat celaka di antaranya,
  13. Lalu berkata Rasul Allah kepada mereka: (Awas) Unta Allah dan minumannya.
  14. Kemudian mereka mendustakannya, dan membunuh unta itu, lalu Tuhan membinasakan mereka kerana dosanya, dan meratakan semuanya.
  15. Dan Tuhan tidak takut akan akibatnya.
Surah Ad-Dhuhaa (Waktu Pagi)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 11 ayat
  1. Demi waktu pagi, 
  2. Demi malam, apabila telah sunyi,
  3. Tuhanmu tidaklah meninggalkan engkau (ya Muhammad), dan tidak pula membenci (mu).
  4. Sesungguhnya akhirat lebih baik bagimu daripada dunia.
  5. Nanti Tuhanmu akan memberimu, lalu engkau menjadi suka.
  6. Bukankah engkau didapatiNya seorang anak yatim, lalu dilindungiNya?
  7. Dan engkau didapatiNya dalam kesesatan (belum mendapat petunjuk), lalu ditunjukiNya.
  8. Dan engkau didapatiNya seorang miskin, lalu diberiNya kekayaan.
  9. Adapun anak yatim, janganlah engkau paksa.
  10. Dan orang yang meminta (bertanya), janganlah engkau herdik.
  11. Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau beritakan (jangan disembunyikan).
Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang dikehendaki. Perlu diingatkan bahawa Solat Sunat Dhuha adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Selesai solat, hendaklah baca tasbih ini sebanyak 10 kali - Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya Kekuasaan Allah.
Doa Solat Sunat Dhuha: Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan KekuasaanMu, limpahkanlah kepada hamba-hambaMu yang saleh.

Friday, August 19, 2011

Ramadhan di Penghujung

Salam Ramadhan buat semua muslimin & muslimat, semoga anda semua sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT dalam mempertingkatkan amal ibadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan ini. Baginda Rasulullah SAW sentiasa meningkatkan amalan dengan Qiamulail, beriktikaf dan mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya. Setelah 20 hari berpuasa, pernahkah terlintas di hati, adakah kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).
Hadis ini menerangkan bagaimana Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh teladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Adalah menjadi kerugian sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat membeli belah. Apa yang berlaku, kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan seolah-olah tidak langsung diambil kira. Apa yang menyedihkan setelah ditinjau di masjid atau surau, kebanyakannya sudah tidak semeriah sepertimana di awal Ramadhan. Malah lebih mendukacitakan ada di kalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu.

Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa. Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikannya, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat Tarawikh, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung Ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah SWT yang beriman dan bertaqwa.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)
Malam Lailatul Qadar dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman bertungkus lumus mencari redha Allah dengan meningkatkan pencarian ganjaran yang berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan 10 hari terakhir Ramadhan ialah :
  1. Menghidupkan malam dengan solat malam seperti Tahajud, Hajat, Taubat, Tasbih dan juga berzikir kepada Allah SWT.
  2. Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama Qiamullail dan jangan biarkan mereka dibuai mimpi.
  3. Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Rasulullah SAW mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan amal ibadah.
  4. Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan dengan berada di masjid untuk beribadat kepada Allah SWT.
Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga meninggal dunia.
Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir Ramadhan ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.

Friday, August 5, 2011

Solat Sunat Tarawih

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan Tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.

Solat Sunat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas Solat Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat Solat Sunat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun 20 rakaat. Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Solat Sunat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan Solat Isya' dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW sangat menggalakkan Solat Sunat Tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya. Baginda bersabda: Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau. Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah ra berkata: Rasulullah SAW mengerjakan Solat Sunat Tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka: Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu. Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.
Hukum mengerjakan Solat Sunat Tarawih adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada setiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Solat Sunat Tarawih lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun Solat Sunat Tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, Solat Sunat Tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar ra yang mengingatkan bahawa sebahagian Solat Nawafil telah disyariat dalam Solat berjemaah. Solat Sunat Tarawih termasuk Solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Waktu Solat Sunat Tarawih ini ialah selepas menunaikan Solat Isya' sehinggalah ke larut malam. Solat Sunat Tarawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada setiap satu kali takbiratul ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun Solat Sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun solat yang lain.

Solat Sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan Solat Isya'. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan Solat Sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana ia boleh dibuat sehingga sebelum Solat Subuh. Biasanya di Malaysia, Solat Sunat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas Solat Isya'. Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa Solat Subuh.
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih: Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan Solat Sunat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat Solat Sunat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi arbaa raka'ataini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.
Bilangan Rakaat

Pada zaman Rasulullah SAW, Solat Sunat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah SAW juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib.

Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu. Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat Solat Witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan Solat Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat Solat Witir.
Solat Sunat Tarawih boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah ra: Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.
Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam Solat Sunat Tarawih, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan.
Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata: Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu Subuh maka bersolatlah Witir satu rakaat sebagai penutup.
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah menghadkan jumlah rakaat dalam Solat Sunat Tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir. Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata: Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir.

Di Masjidil Haram di Mekah, Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya Imam membaca satu juzuk Al-Quran pada setiap kali Tarawih dan menamatkan seluruh Al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadhan.

Tuesday, August 2, 2011

Kesempurnaan Puasa Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah SWT dan RasulNya, ia juga menjadi penghulu segala bulan. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu, Allah SWT telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia.
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah (Surah Al-Baqarah:185)
Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-Qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan (kira-kira 83 tahun). Menurut para ulama, Lailatul-Qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam sepuluh yang terakhirnya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.
Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar (Hadis Riwayat Muslim)
Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk Syurga (Shahih Ibnu Khuzaimah)
Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira (Surah Az-Zumar:10)
KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikannya, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup.
Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa.
Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga (Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)
MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:
  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan penglihatan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT.
  2. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.
  3. Memelihara pendengaran telinga daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.
  4. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).
  5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
  6. Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu apabila puasa dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang takwa.
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah:183)
PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia menyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya.

Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi binatang. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketakwaan.
Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah SWT berkata: Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu (Hadis Riwayat Bukhari)
4 HAL KEADAAN PUASA
  1. Orang Tuli - Bayangkan betapa susahnya orang tuli nak mendengar dan memahami apa yang kita ucapkan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mendengar segala kata-kata yang kotor, berita-berita bohong, bunyi-bunyi yang melalaikan dan suara-suara yang tidak bermanfaat yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa pendengaran (telinga).
  2. Orang Bisu - Bayangkan betapa susahnya orang bisu nak bercakap dengan kita. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mengeluarkan segala kata-kata yang tidak berfaedah dan kata-kata yang diharamkan oleh syarak seperti berbual-bual kosong, mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah kerana perkelahian, bersumpah bohong, keji mengeji, maki hamun, mencarut, mengarut dan yang seumpamanya, yakni puasa perkataan (lidah).
  3. Orang Buta - Bayangkan betapa susahnya orang buta nak melihat sebagaimana yang kita nampak, hidup dalam kegelapan, payah menggambarkan bentuk apa yang kita ucapkan, sukar hendak pergi menuntut ilmu dan susah untuk bekerja mencari rezeki. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melihat segala sesuatu yang bukan haknya yang diharamkan oleh syarak dan perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT, yakni puasa penglihatan (mata).
  4. Orang Cacat - Bayangkan betapa susahnya orang cacat nak melakukan sesuatu perbuatan sebagaimana yang diperbuat oleh kita, hidup dalam ketidak-sempurnaan, payah untuk menyuap memegang sesuatu bagi yang tiada anggota tangan, sukar untuk bergerak berdiri bagi yang tiada anggota kaki dan susah untuk duduk bangun bagi yang lumpuh anggota badan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melakukan segala perbuatan yang tidak berfaedah dan yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa perbuatan (anggota badan).
Bagaimana pula halnya puasa kita yang boleh mendengar, bertutur, melihat dan sempurna? Mampukah kita puasa sepanjang hayat sesempurna orang tuli, orang bisu, orang buta dan orang cacat itu berpuasa? Gabungan puasa pendengaran, puasa perkataan, puasa penglihatan dan puasa perbuatan itulah puasa kita orang Islam yang mampu mencegah nafsu dari dipengaruhi oleh sifat jahat kita sendiri. Dan bila nafsu sudah dicegah dari dipengaruhi oleh sifat jahat, maka jadilah telinga, lidah, mata dan anggota badan kita ibarat kata puasa sepanjang hayat.

Adapun bagi mencuci dosa-dosa yang telah dilakukan oleh telinga, lidah, mata dan anggota badan kita, setiap orang Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Juga sebagai orang sempurna yang celik yang berkata-kata yang mendengar, ambillah iktibar dari 4 hal keadaan puasa di atas. Sungguh setiap ibadat wajib dalam agama Islam itu ada pengajaran yang jelas buat orang yang mahu berfikir. Mudah-mudahan puasa kali ini mencapai maksud dan tujuannya, Insya Allah.

Monday, August 1, 2011

Keistimewaan & Kelebihan Ramadhan

PINTU SYURGA DIBUKA & PINTU NERAKA DITUTUP

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan (Riwayat Bukhari dan Muslim).


HANYA ORANG YANG BERPUASA DAPAT MEMASUKI PINTU SYURGA AR-RAYYAN

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan (Riwayat Bukhari dan Muslim).


ORANG YANG BERPUASA BERGEMBIRA KETIKA MENEMUI ALLAH & BERBUKA

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya (Riwayat Bukhari dan Muslim).


BAU MULUT ORANG YANG BERPUASA LEBIH WANGI DARI KASTURI
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi (Riwayat Bukhari dan Muslim).


DITURUNKAN AL-QURAN
Firman Allah Taala bermaksud: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah) (Surah Al-Baqarah:185).


AMALAN PUASA DINISBAHKAN KEPADA ALLAH TAALA

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya (Riwayat Bukhari dan Muslim).


MALAM LAILATUL QADAR

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (Surah Al-Qadr:1-5).