Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Monday, August 27, 2012

Solat Khusyuk

Sebagai orang Islam, kita diwajibkan untuk mengerjakan solat tetapi adakah kita mendapat manisnya khusyuk di dalam solat kita? Solat yang tidak khusyuk boleh diibaratkan sebagai persembahan hadiah yang tidak ada nilainya dan langsung tidak memberikan sebarang erti...

Dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Mukminun (ayat 1-2), “telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”... Ini memberi erti bahawa orang-orang yang beriman itu adalah dari golongan yang melaksanakan solat dengan khusyuk...

Namun, syarat khusyuk yang paling utama adalah kekuatan iman di dalam diri terhadap Allah SWT... Oleh itu, kita mestilah berusaha untuk mengenali Allah SWT dan memperkuatkan keimanan kepadaNya...

Khusyuk dalam solat sebenarnya bermula dari khusyuk di luar solat... Sekiranya di luar solat asyik ingat soal dunia, sudah tentu sukar bagi kita untuk khusyuk di dalam solat... Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti kita tidak akan merasakan takut ketika melakukan perkara keji dan mungkar... Terdapat 6 cara untuk mendapatkan khusyuk ketika solat, antaranya:

1. Jaga Pemakanan – Elakkan memakan makanan dari sumber yang tidak diketahui... Makanan merupakan faktor yang paling utama dalam mendidik jiwa kita... Laksanakan sunah Rasulullah SAW iaitu “berhenti sebelum kenyang dan makan ketika lapar”... Apabila kita makan terlalu banyak, sudah tentu kita akan merangsangkan kekuatan nafsu malas... Dalam masa yang sama, sudah tentu susah bagi kita untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna...

2. Wuduklah dengan Sempurna – Ia akan membuatkan solat menjadi sempurna serta menentukan samada solat itu diterima ataupun tidak...

3. Mulakan dengan Istighfar – Disunatkan kita beristighfar dan membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebelum memulakan solat... Fadhilat 3 Qul ini ialah untuk mencegah kita dari gangguan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk melalaikan kita ketika solat...

4. Ikhlaskan Hati – Fokuskan diri seolah-olah sedang berhadapan dengan Allah SWT, kita merasakan amat hina kita kepada Allah SWT dan merasakan taubat dengan segala kesalahan yang telah kita lakukan... Diri kita akan merasakan gerun dan takut akan segala seksaan Allah SWT terhadap segala dosa yang telah kita lakukan...

5. Hayati Bacaan – Cuba hayati maksud bacaan kita dalam solat untuk memelihara hati supaya khusyuk dalam solat...

6. Solat Berjemaah – Pahala solat berjemaah sudah tentu berganda berbanding jika solat bersendirian... Sesiapa yang solat bersendirian diibaratkan sebagai kambing yang berpisah dari kumpulannya dan mudah menjadi mangsa kepada serigala yang sentiasa mengintai...

Wallahualam

Sunday, July 1, 2012

Antara Sebab Tidak Boleh Menggunakan Jin

Mendatangkan Kemudaratan

Allah SWT mengingatkan manusia akibat yang menimpa mereka yang meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin...

"dan sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan" - Surah Al-Jin ayat 6

Makhluk jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta bantuan dan sudah tentu mereka akan segera datang menolong... Makhluk ini sedar bahawa manusia lebih mulia dan lebih berkuasa, namun bila manusia tunduk kepada jin seolah-olah ibarat seorang raja yang melutut di kaki hambanya untuk meminta ditunaikan hajatnya...

Lebih menakutkan apabila Allah SWT memberikan amaran bahawa azab neraka bakal menimpa...

"dan (ingatlah) hari ( kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua (lalu berfirman): wahai sekalian jin! sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut di kalangan manusia... dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: wahai Tuhan kamu, sebahagian kami (manusia) telah bersenang lenang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami... (Allah berfirman): nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah" - Surah Al-An'am ayat 128

Rasulullah SAW dan Para Sahabat Tidak Pernah Meminta Pertolongan Jin

Tiada satu riwayat pun yang menyatakan Rasulullah SAW memohon pertolongan dari kalangan jin... Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa...

Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya (jilid 19 halaman 83), terdapat enam pertemuan antara jin dengan Rasulullah SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu... Tidak ada langsung untuk meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit...

Bagi menghadapi peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin... Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Rasulullah SAW...


Melihat dan Menguasai Jin, Mukjizat Khusus Untuk Para Nabi dan Rasul

Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya...

"sesungguhnya ia (jin) dan para pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka" - Surah Al-A'raf ayat 27


Imam Syafie r.a. melalui Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar Al-Asqalani menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi... Memang ada ulama' yang menyatakan kemungkinan melihat jin itu ada tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan makhluk lain...

Nabi Sulaiman AS telah dikurniakan kebolehan menguasai jin dan syaitan... Namun kebolehan Baginda memerintah jin telah dijadikan dalil oleh syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian... Maka timbullah dakwaan dari para perawat kononnya boleh menangkap, memenjarakan serta menyembelih jin...


Bagi menolak dakwaan batil ini, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya: "satu ketika Rasulullah SAW hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu lalu Baginda berjaya menangkap dan dicekik leher syaitan hinggakan terasa sejuk lelehan air liur syaitan tersebut... Lalu Baginda bersabda, kalaulah bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (mendoakan Allah SWT tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin dan syaitan kepada selainnya - rujuk Surah Ar-Shad ayat 35), sudah pasti akan aku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah"


Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW telah dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin tetapi Baginda menghormati doa dan permintaan Nabi Sulaiman AS... Oleh itu, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW...


Tipu Daya Jin Sangat Licik

Makhluk jin merupakan makhluk yang penuh dengan tipu daya dan helah... Mereka akan menggunakan pelbagai cara bagi menyesatkan manusia...

"iblis berkata: oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar... kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur" - Surah Al-A'raf ayat 16-17


Sejarah  Sejarah menyaksikan Nabi Sulaiman AS pernah diperdaya olej jin bernama Sokhel sehingga Baginda kehilangan kerajaan selama 40 hari 40 malam... Ini menunjukkan makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta sering kali menggunakannya untuk memperbodohkan manusia...


Hanya Orang Jahil Bersahabat Dengan Jin

Para ulama' melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap ia sebagai perbuatan orang jahil...


Sheikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir: "barang siapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama', maka orang itu sangat jahil... kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana sifat orang fasik... maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak bersahabat dan bersekutu dengan manusia fasik... aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin dari api dan api sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan"


Jin Tidak Akan Rela Melakukan Kerja Khadam

Bagi yang mendakwa jin yang digunakan, khadam yang dikuasainya, orang tersebut telah tertipu dengan helah jin... Seorang khadam ialah orang yang patuh perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan... Namun jin yang kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja... Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu lokasi, mengubati penyakit dari jarak jauh dan membongkar isi hati pesakit...


"maka tatkala Kami menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya... maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan" - Surah Saba ayat 14


Ayat ini menunjukkan khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman AS adalah dalam keadaan terpaksa... Apabila Nabi Sulaiman AS wafat, mereka merasakan sebagai baru merdeka dari penghambaan yang menyeksa lagi menghinakan... Jika suruhan Nabi Sulaiman AS pun dibuat atas dasar terpaksa, apatah lagi suruhan manusia biasa...


Bersahabat Dengan Jin Adalah Evolusi Upacara Menurun

Upacara menurun merupakan kaedah merawat menerusi resapan makhluk ke dalam tubuh perawat... Syaitan memperkenalkan kaedah di mana menggunakan jin sebagai sahabatnya... Dengan itu, perawat akan diberikan ilham melalui bisikan, memperlihatkan benda ghaib serta lain-lain perkara luar biasa... Ia tidak lain tidak bukan mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin menyesatkan manusia...


"dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh dari syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya... dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya... oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu" - Surah Al-An'an ayat 112


Oleh itu, janganlah tertipu dan terperdaya dengan helah jin dan sekutunya...

"sesungguhnya syaitan musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanya mengajak golongannya menjadi penghuni neraka" - Surah Fathir ayat 6

Wednesday, June 27, 2012

Pengubatan Islam

Pengubatan Islam merupakan satu cabang usaha seorang pesakit dalam mencari kesembuhan penyakit serta permasalahan emosi atau rohani yang sedang dihadapinya... Namun, pengubatan Islam bukannya bertujuan untuk mengambil alih rawatan kedoktoran tetapi sebagai pelengkap bagi rawatan yang diterima... Ia lebih kepada ikhtiar sambil berusaha menyembuhkan penyakit seseorang walaupun sudah mencuba pelbagai rawatan perubatan...

Pengubatan Islam juga merupakan usaha merawat penyakit berlandaskan wahyu Allah SWT yang di ambil melalui Al-Quran dan As-Sunnah, yang juga dikenali sebagai Perubatan Rasulullah SAW... Ia merupakan satu ibadah bagi seseorang Muslim yang mencari keredhaan Allah SWT disamping berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapinya...

"dan kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian" - Surah Al-Isra' ayat 82

Rasulullah SAW bersabda, "wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali telah ditetapkan baginya penawar kecuali satu yakni tua" - Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi

Ayat Al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan pengubatan Islam ini adalah satu cabang ikhtiar penyembuhan yang mujarab... Selain itu, ia juga dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT... Setiap penyakit yang diturunkan sudah tentu mempunyai penawarnya... Al-Quran adalah penawar yang lengkap bagi semua penyakit hati dan penyakit badan, penyakit dunia dan penyakit akhirat...

Etika Seorang Perawat

Sebelum Rawatan

1) Memastikan pesakit dirawat di ruang yang bersesuaian
2) Memohon keizinan daripada pesakit terlebih dahulu
3) Memohon keizinan daripada waris atau penjaga bagi pesakit yang berlainan jantina atau bawah umur
4) Memastikan bahawa waris atau penjaga berada bersama perawat
5) Tidak dibenarkan mengumumkan makhluk halus yang mempengaruhi kesihatan pesakit
6) Tidak dibenarkan mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi
7) Merekodkan daftar pesakit
8) Memberi penerangan yang jelas tentang punca, kaedah rawatan dan kos
9) Memastikan pesakit dan perawat mengenakan pakaian yang menutup aurat

Semasa Rawatan

1) Memulakan sesi rawatan dengan bacaan doa atau ayat-ayat Al-Quran yang jelas serta mengikut tertib
2) Memastikan jenis penyakit yang hendak dirawat samada penyakit fizikal, kalbu atau gangguan makhluk halus/sihir
3) Perawat perlu berkomunikasi dengan berkesan semasa sesi rawatan
4) Tidak dibenarkan menjalankan perkara yang dilarang di dalam pengubatan Islam
5) Perlu menjaga aurat pesakit semasa sesi rawatan dengan kadar yang munasabah
6) Dibenarkan menggunakan peralatan yang telah dipastikan kebersihannya
7) Tidak dibenarkan merakam kecuali dengan keizinan pesakit

Selepas Rawatan

1) Tidak dibenarkan membekalkan azimat, tangkal atau susuk samada daripada ayat-ayat Al-Quran atau bahan lain
2) Tidak dibenarkan mensyaratkan pengeras untuk sesuatu rawatan
3) Memberi nasihat kepada pesakit mengikut jenis rawatan yang diterima

Larangan dalam Pengubatan Islam

1) Menyalahgunakan ayat-ayat Al-Quran dalam perawatan seperti menambah, mengurangkan dan menterbalikkan susunan ayat-ayat Al-Quran
2) Menggunakan Al-Quran dengan cara yang tidak wajar seperti menggantungkannya atau untuk dijadikan alasan tertentu bagi sesuatu
3) Menggunakan lafaz dan perkataan yang kurang jelas ertinya serta tidak sahih sebutannya
4) Menggunakan azimat, tangkal, atau susuk daripada ayat-ayat Al-Quran atau bahan lain
5) Penggunaan wafak kerana tanpa akidah yang sempurna, boleh menjurus kepada perbuatan syirik
6) Mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi, ilham, bisikan dan kitab yang tidak sahih sumbernya

Penipuan dalam Pengubatan Islam

Mungkin anda pernah diminta pengeras sebaik selesai melakukan rawatan... Selain garam, ada juga yang meminta duit syiling... Katanya, jangan sampai penyakit yang diubati akan 'berjangkit' ke tubuhnya... Justeru, orang yang tidak membayar pengeras akan mengakibatkan perawat akan merasa sakit-sakit badan...

Adakalanya pengeras dijadikan sebagai 'senjata' memperdayakan orang yang dirawat bahawa penyakit tidak akan sembuh selagi hutang pengeras belum dilangsaikan... Kononnya wang yang dibayar sebagai pengeras akan diagih-agihkan ke masjid bagi memastikan penyakit yang dirawat sembuh...

Adakah anda pernah mengalaminya? Jika jawapannya YA, maka andalah menjadi mangsa penipuan...

Banyak penipuan berlaku di sebalik nama pengubatan Islam... Perawat yang menawarkan khidmat boleh memisahkan orang ketiga dengan pasangannya juga satu penipuan... Mereka sebenarnya bukannya perawat pengubatan Islam.. Pengubatan Islam mempunyai etika yang tersendiri dan perlu dipatuhi... Bantuan hanya akan diberikan bagi tujuan kebaikan dan bukannya kejahatan...

Mengenal pasti penipuan apabila ada perawat mendakwa boleh berperang dengan jin dan mangsa dikehendaki membayar 'upah' di atas hasil usahanya ataupun mengenakan bayaran bagi setiap ekor jin yang dikeluarkan...

Apa yang jelas, gelaran ustaz dipergunakan untuk memperdayakan masyarakat... Dan inilah yang menjadi masalah besar apabila bomoh juga menggunakan gelaran tersebut... Oleh yang demikian, berhati-hatilah semasa ingin mencari pengamal perubatan alternatif... Dibimbangkan perkara itu boleh menyebabkan berlakunya syirik...

Oleh itu, masih mahukah mempercayai segala dakwaan yang jelas bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan oleh Islam? Cara terbaik ialah berdoa kepada Allah SWT, tingkatkan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW, perkuatkan diri dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, mintalah bantuan dan pandangan daripada alim ulama, Insya Allah akan menjadi penawar kepada penyakit yang dideritai...

Thursday, June 21, 2012

Amalan Bacaan Manzil

Assalamualaikum

Kita sekarang sudah pun memasuki bulan Syaaban... Alhamdulillah kerana telah diberikan peluang daripada Allah SWT untuk meneruskan hidup kita di dunia ini... Tak lama lagi Ramadhan bakal menyusul, bulan yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang beriman kepada Allah SWT... Ternyata banyak kelebihan dan keistimewaan bakal dihidangkan kepada golongan yang benar-benar melaksanakannya...

Untuk menempuhi kehidupan di dunia ini, banyak cabaran & halangan samada dari segi jasmani mahupun rohani... Adakala kita ditimpa bahana penyakit, sudah pasti ubat tertentu menjadi penawarnya... Namun bagi yang ditimpa penyakit misteri, di mana tidak dapat diubati oleh doktor-doktor perubatan, memang sah kita sedang diganggu oleh makhluk halus ataupun disihir... Penawarnya adalah dari segi pengubatan Islam... Kita cuma ikhtiar, Allah SWT jua yang mempunyai kuasa untuk menyembuh...

Pengubatan ini disebut ayat Manzil... Ia mengandungi beberapa ayat Al-Qur'an yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sebagai penawar dan ubat dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir... Kelebihan Manzil ini terlalu banyak dan dari pengalaman kebanyakan orang, Manzil ini sangat mujarab untuk menyembuh penyakit sihir, jin dan lain-lain... Dua cara untuk mengubati pesakit ialah dengan pesakit sendiri membaca ayat-ayat tersebut ataupun orang lain boleh membacakan dan menghembuskan ke dalam air dan air tersebut itu diminum oleh pesakit tersebut...

Satu perkara yang sangat penting dalam mengamalkan ayat-ayat “Manzil ” ialah anda harus membacanya dengan penuh tawajjuh (menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah SWT)... Sejauh mana seseorang mempunyai keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT sejauh itulah amalan ini akan memberi manfaat... Tidak syak lagi bahawa nama-nama ALLAH SWT dan kalimat-kalimatnya mengandungi terlalu banyak berkat...

Saya ingin berkongsi dengan anda semua kerana saya pernah mengalaminya... Pada awalnya, saya telah berjumpa dengan Doktor Perubatan... Dah banyak ubat saya gunakan namun masih tidak beransur sihat... Inilah caranya bagi saya berusaha dengan sendiri di samping mendapat bantuan dari Tuan Guru yang mahir dalam Islam... Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya kembali sihat seperti sediakala... Jadi saya sentiasa mengamalkan bacaan Manzil setiap hari & memohon perlindungan dari Allah SWT daripada segala jenis penyakit jasmani mahupun rohani buat diri saya, isteri saya dan anak-anak saya...

Ayat Manzil terdiri dari ayat-ayat berikut dari Al-Quran:

http://www.youtube.com/watch?v=1_X0FFT2VXc

Bacaan 1: Surah Al-Fatihah

Bacaan 2: Surah Al-Baqarah ayat 1-5

Bacaan 3: Surah Al-Baqarah ayat 163

Bacaan 4: Surah Al-Baqarah ayat 255-257

Bacaan 5: Surah Al-Baqarah ayat 284-286

Bacaan 6: Surah Al-Imran ayat 18

Bacaan 7: Surah Al-Imran ayat 26-27

Bacaan 8: Surah Al-A'raaf ayat 54-56

Bacaan 9: Surah Al-Israa' ayat 110-111

Bacaan 10: Surah Al-Mu'minun ayat 115-118

Bacaan 11: Surah Asy-Syafaat ayat 1-11

Bacaan 12: Surah Ar-Rahman ayat 33-40

Bacaan 13: Surah Al-Hasyr ayat 21-24

Bacaan 14: Surah Al-Jinn ayat 1-4

Bacaan 15: Surah Al-Kafiruun

Bacaan 16: Surah Al-Ikhlas

Bacaan 17: Surah Al-Falaq

Bacaan 18: Surah An-Nas

Monday, March 5, 2012

Hati Nurani Seorang Yang Bergelar Abah / Walid

Mungkin mak / umi lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan anak-anak pada setiap hari... Tapi tahukah anda, sebenarnya abah / walid yang selalu mengingatkan mak / umi untuk menelefon anak-anak?

Semasa kecil, mak / umi yang lebih sering mendukung anak-anak... Tapi tahukah anda bahawa sebaik saja abah / walid pulang bekerja dengan wajah yang letih, abah / walid selalu menanyakan apa yang anak-anak lakukan seharian...

Saat anak-anak sakit ataupun demam, abah / walid sering membebel, "kan abah / walid dah bagitau! jangan minum ais!"... Tapi tahukah anda bahawa abah / walid sebenarnya sangat risaukan kesihatan anak-anak...

Ketika anak-anak meningkat remaja, anda selalu meminta izin untuk keluar malam... Abah / Walid dengan tegas berkata, "tidak boleh!"... Sedarkah anda bahawa abah / walid hanya ingin menjaga anak-anak kerana bagi abah / walid, anak-anak adalah sesuatu yang sangat berharga...

Saat anak-anak sudah mula dipercayai, abah / walid pun melonggarkan peraturannya... Maka anak-anak sudah mula melanggar kepercayaannya... Maka abah / walid yang setia menunggu anak-anak di ruang tamu dengan penuh kerisauan...

Setelah anak-anak meningkat dewasa, abah / walid telah menghantar anak-anak ke sekolah atau ke kolej untuk belajar... Di saat anak-anak memerlukan sesuatu untuk keperluan kelas atau kuliah, abah / walid hanya mengerutkan dahi, tanpa menolak, abah / walid akan sentiasa memenuhinya.. Saat anak-anak berjaya, abah / walid adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untuk anak-anak... Abah / Walid akan tersenyum dengan bangga...

Sampai ketika jodoh anak-anak telah datang dan meminta izin, abah / walid sangat berhati-hati mengizinkannya... Dan akhirnya, di saat abah / walid melihat anak-anak duduk di atas pelamin bersama pasangannya, abah / walid pun tersenyum bahagia...

Abah / Walid menangis kerana sangat bahagia lantas berdoa, "Ya Tuhan, tugasku telah selesai dengan baik... Bahagiakanlah putera puteri kecilku yang manis bersama pasangannya"...

Setelah itu abah / walid hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk... 

Bagi yang bergelar anak, sayangilah abah / walid kita sepertimana mereka menyayangi kita selamanya... Bagi yang bergelar abah / walid, inilah rutin hidup kita di dunia...

Renung-renungkan dan selamat menjadi abah / walid yang sempurna, sentiasa menyayangi abah / walid kita yang masih ada...

Sunday, January 15, 2012

Sahabat Yang Perlu Dijauhi

HIPOKRIT

Di depan bukan main baiknya, bukan main manis mulutnya. Dia sentiasa menunjukkan hormatnya dan memuji-muji. Namun di belakang, dia mengutuk, dia mencaci, memaki kita. Habis rahsia dan keburukan diceritakan kepada orang lain. Dia ni memang seorang rakan yang sentiasa menikam dari belakang.

TAMAK

Dia hanya mementingkan dirinya sendiri. Masa kita kaya atau senang, dia sentiasa mendekati. Tapi masa kita susah dia akan menjauhkan dirinya. Dia selalu mengungkit-ungkit akan kebaikannya.

HIBURAN

Dia hanya memilih kita sekadar untuk tujuan berseronok-seronok. Dia suka mengajak kita kepada perkara yang sia-sia contohnya menemani ke konsert, clubbing atau ‘melepak’ tanpa tujuan. Kerja dia hanya nak berseronok sahaja. Bila kita ajak dia pergi masjid atau majlis agama, dia hanya mentertawakan kita. Bermacam-macam alasan diberikannya.

PENGAMPU

Dia bersetuju dengan semua yang kita lakukan tidak kira betul atau salah. Dia tidak berani menyatakan kebenaran. Dia tidak pernah menegur kita walaupun kita sedang melakukan kesilapan. Hakikatnya dia tidak jujur dan tidak ikhlas dengan kita. Semua perbuatannya seolah-olah macam ada motif tertentu yang kita tidak tahu.

Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata, “Sejahat-jahat sahabat ialah yang menyuruh engkau bermuka-muka dan memaksa engkau meminta maaf atau selalu mencari alasan.”
Dan ingat juga wasiat Khalifah Umar Abdul Aziz ini, “Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau.”

Wallahualam...

Saturday, January 7, 2012

15 Cara Khusyuk Solat

  1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal.
  2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan solat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
  3. Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
  4. Membaca dengan baik, berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al-Fatihah, gerakan dan maknanya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
  5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi, menyedari bahawa Allah SWT memperhatikan sembahyang itu.
  6. Perasaan malu terhadap Allah SWT, rasa takut kepada kekuasaan Allah SWT.
  7. Berharap serta yakin Allah SWT menerima solat dan amal kita.
  8. Hati diajak hadir atau ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
  9. Membesarkan Allah SWT dalam solat, merasakan kehebatan Allah SWT dalam solat.
  10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
  11. Mendirikan solat secara berjemaah.
  12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
  13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
  14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
  15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Haram hukumnya.

Tuesday, January 3, 2012

20 Cara DiMurahkan Rezeki

1. Jangan Lupa Menunaikan Ibadah Kepada Allah

Beribadah kepada Allah SWT walau sibuk mana sekalipun, maka Insya Allah pasti diri kita akan dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan. Allah SWT tidak mensia-siakan pengabdian diri hambaNya.
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah SWT, yang menjadi sebab Allah SWT jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Meninggalkan Perbuatan Dosa

Istighfar tidak berguna di sisi Allah SWT jika masih membuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Berzikir & Sentiasa Mengingati Allah SWT

Banyak mengingati Allah SWT membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah SWT beri kepada orang yang beriman.
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah SWT. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah SWT hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti & Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaan buatnya dan Allah SWT akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki Allah SWT daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik & Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Menunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri.
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah SWT akan menunaikan hajatnya” (Riwayat Muslim)
8. Memperbanyakkan Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Memperbanyakkan Membuat Kebajikan

Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

10. Bangun Awal Pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan dimurahkan rezeki. Hindari daripada tidur sehingga tengahari.

11. Menjalin Silaturrahim
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Sentiasa Berwuduk
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Selalu Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah SWT membuka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah SWT memperbanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah SWT menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Selalu Bertahajjud

Amalan Solat Tahajjud memudahkan memperolehi rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

15. Menunaikan Solat Dhuha

Amalan Solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah SWT

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat.
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim: 7)
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Berzikir & Beramal Membaca Ayat Al-Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat Al-Quran atau Asma’ul Husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan memahami agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah SWT melapangkan kehidupan dan dimurahkan rezeki. Salah satu nama Allah SWT, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca
“Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenaliMu, bukalah pintu rahmat dan keampunanMu, ya Fattah ya `Alim.”
18. Sentiasa Berdoa & Memohon Pertolongan Daripada Allah SWT

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah SWT, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Sentiasa Berusaha & Berikhtiar

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Al-Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
"Allah SWT memberikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah SWT beri kepada orang yang dicintaiNya saja." (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
20. Bertawakkal Kepada Allah

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah SWT.
“Barang siapa bertawakal kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebutkan di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah SWT akan memberi “jalan keluar (darisegala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

Monday, January 2, 2012

Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan

Bangun Sebelum Subuh

Rasulullah SAW mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Aktif Menjaga Kebersihan

Rasulullah SAW sentiasa bersih dan rapi. Setiap hari Khamis atau Jumaat, Rasulullah SAW mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
Tidak Makan Berlebihan

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadhan bagi keseimbangan kesihatan selain Rasulullah SAW selalu berpuasa sunat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Gemar Berjalan Kaki

Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang  hendak kita pergi.

Tidak Pemarah

Nasihat Rasulullah SAW ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Optimis, Tidak Putus Asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah SWT.

Tidak Iri Hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.