Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan 1432 - 1 August 2011

Sejarah Ramadhan
  1. Ramadhan: Ertinya panas terik
  2. Bulan diturunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
  3. Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan
  4. Bulan di mana Rasulullah SAW mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala
  5. Di dalamnya dipilih Malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan
  6. Dipilih untuk ibadat puasa
  7. Dipilih untuk lain-lain ibadat (tadarus Al Quran)
Kelebihan Ramadhan
  1. Dinaungi Ramadhan (bagi yang telah meninggal dunia di bulan Ramadhan, terlepas dari siksa kubur
  2. Bulan penuh keberkatan
  3. Di malamnya ada lebih baik daripada 1000 bulan
  4. Amalan solat sunat menyamai dengan solat fardhu, manakala solat fardhu mendapat 70 kali ganda
  5. Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
  6. Bulan menambah rezeki
  7. Memberi berbuka banyak pahala
  8. Bulan keampunan :- Doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa & juga doa ada sepertiga malam.
10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.
Amalan di Bulan Ramadhan
  1. Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
  2. Menempah pakaian untuk Ramadhan
  3. Niat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan
  4. Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dapat bangun malam
  5. Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
  6. Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
  7. Solat berjemaah setiap waktu di masjid/surau
  8. Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
  9. Sahur di waktu akhir, untuk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
  10. Mandi Janabat sebelum Imsak
  11. Kurangkan tidur
  12. Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
  13. Tunaikan Solat Dhuha
  14. Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
  15. Tunaikan solat Rawatib
  16. Jaga pancaindera
  17. Elakkan gosok gigi selepas tergelincir matahari hingga berbuka
  18. Hadiri majlis ilmu
  19. Buat baik kepada ibubapa
  20. Isteri hendaklah taat pada suami
  21. Banyakkan bersedekah
  22. Berbuka dengan 3 biji kurma dan air yang belum dipanaskan oleh api
  23. Berbuka bersama orang tua
  24. Jemput tetamu berbuka
  25. Kurangkan berat badan
  26. Banyakkan i'tikaf di masjid (lelaki sahaja)
  27. Baiki hubungan suami isteri
  28. Baiki hubungan jiran
  29. Isteri jauhi daripada keluar memakai mekap & perhiasan
  30. Elakkan berbelanja berlebihan
  31. Kuatkan kesabaran
  32. Banyakkan selawat, istighfar dan bertasbih
  33. Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
  34. Mengejut anak dan isteri di malam Lailatul Qadar
  35. Elakkan menonton TV yang mengandungi nafsu
  36. Elakkan mendengar radio berunsur hiburan hingga melalaikan
  37. Berdoa dengan nada lembut dan merayu
  38. Jauhkan bercumbu dengan suami/isteri
  39. Mendoakan ibu bapa samada hidup atau yang meninggal dunia
  40. Melazimkan solat waktu
  41. Elakkan sebelum berbuka bersiar-siar yang menjadikan pandangan liar
  42. Elakkan banyak berhutang
  43. Melepaskan perasaan sedih, Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
  44. Mengeluarkan zakat fitrah

Wednesday, July 27, 2011

Rempah Ratus

Sudah menjadi satu kemestian bagi penggunaan ramuan Rempah Ratus dalam masakan. Rempah Ratus dianggap penting kerana dapat membangkitkan aroma dan penyedap masakan yang disajikan. Tiada rumah di Malaysia yang tidak menyimpan Rempah Ratus di dapur. Namun, ramai yang tidak tahu mengenai manafaat Rempah Ratus dari sudut kesihatan dan perubatan. Khasiatnya telah terbukti oleh Muhammad Ibn al-Idrisi yang terkenal di dunia Islam mahupun di Barat dalam bukunya, Kitab al-Jami-li-Sifat Ashtat al-Nabatat (Kitab Ringkas Tentang Tumbuhan Perubatan) mengenai sifat tumbuhan dari Rempah Ratus yang dijadikan ubat-ubatan. Kajian lain turut mendapati Rempah Ratus boleh bertindak sebagai antibiotik yang menghalang pertumbuhan lebih 75 peratus kuman yang berpunca daripada makanan.

Bunga Kekwa (Chrysanthemum)

Menghapuskan bakteria dan memperkuatkan saluran kapilari. Sering digunakan dalam perubatan untuk mengubati beberapa jenis penyakit termasuk pemulihan demam selsema. Menyejukkan badan dan amat sesuai digunakan untuk mengubati demam, melegakan kerongkong dan meredakan pening kepala serta untuk mencerahkan mata. Digunakan juga sebagai stimulant untuk tahan dari mengantuk. Kelopak bunga yang sudah ditoskan selepas direndam air panas dibungkus boleh melegakan gatal-gatal mata (gunakan sebagai tampalan).

Buah Pelaga (Cardamon)

Digunakan untuk mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid dan air kecil, tonik jantung, laksatif, stimulant, tonik perut, merawat bengkak dan sakit, cirit, jangkitan pada kerongkong, masalah di dalam rahim, mulas perut, pancutan mani pramasa, penyakit hati, perut dan usus kembung angin, sakit dada, sakit gigi, sakit kepala, sakit perut, sakit telinga dan merangsang penghadaman. Boleh juga dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk.

Bunga Cengkih (Syzygium Aromaticum)

Buah - Dibuat ubat dalaman bersifat afrodisiak, mengetatkan vagina, meningkatkan selera, merawat mulas perut dan kembung angin.

Bunga - Sebagai antiemetik, antimual, antispasma, tonik, tonik perut, mengeluarkan angin daripada perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, menurunkan panas badan, merangsang penghadaman, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, untuk merawat cirit, kolera, mulas perut, nafas berbau busuk, penyakit saluran darah, sakit kepala, sakit gigi, dan wanita selepas bersalin, ubat pupuk digunakan pada gigitan serangga, kurap dan luka. Dekokasi  cengkih dan kayu manis diminum untuk merawat demam panas. Infusi diminum untuk merawat gout, masalah usus dan pembuangan air besar.

Bunga Lawang (Illicium Verum)

Buah - Mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, merangsang dan melawaskan penghasilan susu, stimulant, tonik perut, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, merawat batuk kokol, cirit, demam panas, gastrik, gelisah, hernia, insomnia, konstipasi, kulit berminyak, lumbago, mual, mulas perut, muntah, penyakit kanak-kanak bengkak leher dan sukar bernafas dan spasma. Buah dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk.

Daun, Kulit Kayu, dan Kayu - Merawat lumbago dan reumatisme.

Daun Sireh (Piperaceae)

Melegakan rasa gatal pada kulit muka yang sensitif yang biasanya menjadi terlalu kering. Daun sireh adalah antiseptik perangsang dan digunakan untuk merawat masalah mulut kering (xerostomia) kerana sifatnya yang menggalakkan pengeluaran air liur. Ada digunakan secara tradisional bagi menahan pengeluaran susu dalam rawatan buah dada yang menanah. Untuk menegangkan kulit, mengelakkan kedutan kulit dan membantu melancarkan peredaran darah, membantu memperlahan proses penuaan dan sangat sesuai sebagai bahan losyen awet muda. Daun sireh menghalang kemerosotan sel dan kerosakan peringkat selular. Daun sireh mempunyai keupayaan untuk mencari radikal bebas dalam tubuh. Melindungi daripada parasit dalam usus. mengandungi bahan anti-oksida. Satu sumber yang bagus untuk zat kalsium, karotena, zat besi, dan membantu sistem penghadaman.

Halba (Fabaceae)

Dekoksi atau infusi biji digunakan sebagai afrodisiak, diuretik, laksatif, pembuka selera, dan toknik, untuk membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, merawat  batuk, bengkak hati atau limpa, bengkak kaki atau tangan kerana kesejukkan, bronkitis, busung, demam panas, diabetes, hernia, impoten, konstipasi, masalah ginjal atau punding kencing, masalah kolesterol, putus haid, radang sendi, radang urat, sakit dada, sakit dalam perut, sakit otot, dan telinga berdesing, dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk, dibuat ubat pupuk pada lecuran, randang sendi, sakit perut dan ulser. Biji direbus dan ditumbuk halus dan ditampal pada bengkak, bisul, hernia, lebam, dan luka. Biji rebus lalu dimakan untuk menambahkan penghasilan susu ibu.

Halia (Zingiber Officinale Roscoe)

Daun - Dihancurkan atau cecair diperah dan diletak pada tubuh untuk merawat demam malaria, demam panas, reumatisme, sakit kepala, sakit perut, ia juga dimakan untuk merawat reumatisme dan sakit perut.

Rizom - Sebagai antiemeti, diureti, stimulant, tonik perut, ubat batuk, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang peluh, melawaskan haid, memanaskan badan, mengurangkan risiko pembekuan darah, merawat asma, batuk, bau badan, bengkak kaki atau tangan kerana kesejukan, busung, cirit, demam panas, disenteri, jangkitan semasa kelahiran anak, kejang otok, kejang semasa haid, loya, masalah usus, mual, perut dan usus kembung angin, radang sendi, reumatisme, sakit perut kerana masalah penghadaman, sakit kepala, selesema, sesak dada, sesak hati, susah menghadamkan makanan, tergeliat dan kegunaan wanita selepas bersalin.

Infusi diminum untuk merawat penyakit keputihan. Ubat pupuk pada bengkak, bisul, gatal, lecuran, reumatisme, sakit, sakit gigi, sakit kepala dan sakit perut. Jus dicampur dengan telur dan madu lalu diminum untuk merawat impotens. Jus campur minyak bijan digunakan untuk merawat kelumumur. Halia diredam dalam cuka digunakan untuk merawat jangkitan semasa kelahiran anak, reumatisme dan mengurut tubuh wanita selepas bersalin. Halia direbus, dicampur gula merah atau madu diminum untuk mengelak atau merawat batuk, bronchitis, demam panas, lesu, panas badan, sakit kerongkong dan serak suara. Halia direndam dalam minyak dan minyak digunakan sebagai losen telinga untuk merawat sakit telinga.

Jintan Manis (Pimpinella Anisum)

Sebagai  antibakteria, antiseptik, antispasma, diureti, stimulant, tonik, dan tonik perut, merangsang peluh, merangsang dan meningkatkan penghasilan susu. Campuran dengan bahan lain digunakan untuk merawat angin dalam perut dan usus, batuk, demam panas, gonorea, mabuk pagi, sakit perut dan tonik selepas bersalin. Buah dikunyah untuk mengatasi angin dalam perut, nafas berbau dan sedu. Air rebusan disapu pada kulit berminyak. Minyak esen digunakan sebagai ubat luaran untuk mengatasi angin dalam perut dan usus, kekejangan, untuk meningkatkan aktiviti otak dan badan. Campuran minyak jintan manis , minyak adas pedas dan madu ledah diambil untuk merawat batuk dan bronchitis.

Kayu Manis (Cinnamomum Verum)

Kulit Kayu - Dekoksi diminum untuk merangsang edaran darah, penghadaman dan respirasi, merawat bengkak kaki atau tangan kerana kesejukan, cirit, demam panas, diabetes, influenza, kurap, loya,masalah berkaitan pembuangan air besar, mual, mulas perut, muntah, perut dan usus kembung angin, reumatisme, sakit kepala, sinusitis dan tibi, sebagai astringen dan stimulant, mengeluarkan angin dari perut dan usus.

Serbuk - Dimakan bersama makanan untuk menurunkan tekanan darah. Dekoksi kayu manis dengan cengkih diminum untuk merawat demam panas. Infusi diminum untuk merawat gigi berlubang, jangkitan di vagina atau saluran kencing, selesema, ulser mulut dan menghalang jangkitan.

Kunyit (Curcuma Longa)

Menghentikan pendarahan, mengeluarkan angin dari perut dan usus, sebagai diureti, stimulant, tonik, tonik perut, merawat demam kuning, pendarahan, perut dan usus, kembung angin dan penyakit hati. Kunyit juga sebagai ubat pupuk digunakan pada bengkak, bisul, calar, gatal, kayap, lebam, luka, penyakit kulit, psoriasis, sakit gusi dan gigi, sakit telinga, tergeliat dan ulser. Kunyit dicampur air limau nipis lalu dipupuk pada herpes, jangkitan kulat, kudis, panau, ulser dan pelbagai penyakit kulit. Kunyit juga sebagai ubat dalaman untuk melarutkan darah beku, menggalak edaran darah, merawat batuk, batu karang, cirit, disenteri, haid tidak teratur, reumatisme, sakit belakang, sakit dada, sakit perut, sendawa, selesema, tibi dan ibu lepas bersalin. Dekoksi atau serbuknya dicampur air lalu digunakan sebagai pencuci mulut untuk merawat bengkak gusi, sakit gusi, selesema dan ulser mulut. Sekeping kunyit segar ditampal pada bengkak gusi, sakit gusi, dan gigi, serta ulser kulit dan mulut.

Lada Hitam (Piper Nigrum L)

Ia turut digunakan sebagai ubat dalaman sebagai afrodisiak, diureti, penawar racun terhadap keracunan makanan, dan tonik, mengeluarkan angin dari perut dan usus, dan memanaskan badan, merawat cirit, disenteri, kolera, mulas perut dan usus kembung angin, reumatisme, sakit kepala, selesema, senggugut, susah  menghadamkan makanan, dan ibu lepas bersalin. Buah yang kering ditelan untuk menghalang rasa loya, mabuk dalam perjalanan, mual dan mutah. Lada dan badan dihancurkan, campur susu dan diminum sebagai afrodisiak. Campuran lada, akar pinang, dan akar lalang digunakan untuk merawat batu karang. Daun dihancurkan dan ditampal pada bahagian sakit kepala.

Pandan (Adenium Obesum)
Akar - Dekoksi diminum untuk merawat diabetes.

Daun - Dekoksi atau infusi diminum untuk merawat anemia, badan berbau, diabetes, gonorea, sapremia, dan sifilis, digunakan sebagai air mandian ibu lepas bersalin dan sebagai sedatif. Abu campur dengan cuka digunakan pada demam campak. Minyak direndam daun pandan lalu digunakan pada rambut dan kulit kepala untuk kesihatan rambut dan kulit kepala, serta pada sakit otot dan sendi. Ia dijadikan bedak sejuk  yang digunakan untuk kesihatan kulit.

Serai (Cymbopogon Citratus)

Akar - Dekoksi atau infusi diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil, merangsang peluh dan merawat selesema.

Daun - Dekoksi digunakan pada bekas calar dan luka, digunakan sebagai air mandian untuk membaiki edaran darah, merawat badan berbau, bengkak, kayap, masalah berkaitan pembuangan air kecil dan pundi air kecil. Infusi diminum untuk tujuan mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, sebagai diuretik, pencuci mulut, perangsang sistem saraf, perangsang peluh, tonik umum, dan tonik perut, merawat asma, demam panas, masalah buah pinggang, masalah penghadaman, radang paru-paru, sakit gigi dan gusi, sakit otot, selesema dan ibu lepas bersalin.

Rizom - Infusi digunakan sebagai pencuci mulut untuk merawat masalah gusi.

Seluruh bahagian - Dekoksi diminum untuk merawat batuk, batuk darah, sakit kerongkong dan selesema.

Monday, July 25, 2011

Kulit Kayu Manis

Kulit Kayu Manis dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Cinnamomum Zeylanicum dan berasal dari keluarga Lauracea. Ia merupakan rempah ratus yang paling popular di negara-negara barat. Kulit Kayu Manis sering digunakan dalam masakan dan minuman. Ini adalah kerana aromanya yang cukup istimewa dan dapat menambahkan rasa sesuatu hidangan.

Ada yang mengatakan bahawa pokok Kulit Kayu Manis berasal dari Sri Lanka ataupun Indonesia, namun ada sumber mengatakan bahawa tanaman ini tumbuh di Padang, Sumatera Barat. Oleh kerana ia jarang digunakan pada ketika itu, tanaman ini tidak menjadi popular di Indonesia. Namun masyarakat Indonesia hanya menyedari akan keistimewaan rempah tersebut selepas ketibaan para saudagar Arab yang menjual Kulit Kayu Manis di India Selatan dan Sri Lanka. Mereka memperkenalkan cara untuk memanfaatkan Kulit Kayu Manis di dalam makanan.

Kulit Kayu Manis apabila dicampurkan dalam masakan akan menambahkan keenakan sesuatu masakan. Bagi masakan jenis buah, campurkan lebih kurang 5cm Kulit Kayu Manis jenis batang dalam satu liter bekas air. Dalam pembuatan roti, kuih atau sebagainya pula, sekurang-kurangnya satu sudu teh Kulit Kayu Manis jenis serbuk sudah memadai.

Khasiatnya

Aroma Kulit Kayu Manis jenis serbuk adalah tajam berbanding dengan jenis batang. Namun, Kulit Kayu Manis jenis serbuk tidak dapat bertahan lama kerana ia mudah rosak dan aromanya akan menjadi hambar. Trend masyarakat kini yang banyak menggunakan bahan-bahan asli telah mempopularkan Kulit Kayu Manis. Ini adalah kerana ia dikatakan mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh.

Menurut Pusat Kajian Kesihatan Masyarakat Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, Kulit Kayu Manis dapat mempercepatkan tindakan insulin dalam melancarkan metabolisme glukosa darah sebanyak 9 kali ganda. Ketua Pusat Kajian tersebut, Richard Andersoan, PHD menyatakan bahawa peningkatan tindakan insulin amat baik terhadap jantung dan metabolisme. Ini memberikan kesan yang baik terhadap penyakit Diabetes yang mempunyai masalah insulin.

Kulit Kayu Manis mempunyai ciri-ciri antikulat dan antikuman, minyaknya boleh dicampurkan dalam minyak wangi atau barangan pergigian dan farmasi. Menurut penemuan terbaru yang dipaparkan dalam Reuter’s Health, hasil kajian yang dilakukan oleh Dr Daniel Y.C Fung dari Universiti Kansas, Manhattan Amerika Syarikat, telah membuktikan bahawa Kulit Kayu Manis apabila ditambahkan dalam jus epal dapat menyingkirkan bakteria yang terkandung dalam jus tersebut.

Kulit Kayu Manis juga sesuai diamalkan bagi mengubati selesema serta melancarkan pengaliran darah. Jika dikunyah dapat membantu mengeringkan hingusan. Amalan membancuh susu yang dicampur dengan sedikit serbuk Kulit Kayu Manis juga berkesan untuk meredakan sakit itu.

Kesannya lebih lembut daripada halia tetapi tindakannya lebih keras. Kedua-dua herba itu seringkali direbus bersama-sama bagi menghasilkan minuman yang melegakan bagi mengatasi masalah lenguh-lenguh badan, terutamanya di bahagian kaki, tangan, lutut dan pinggang berpunca daripada kesejukan.

Air rebusan Kulit Kayu Manis dan halia juga sesuai diamalkan oleh kaum wanita yang sering mengalami senggugut atau kesakitan di bahagian ari-ari dan kaki. Disamping itu ia juga boleh digunakan untuk berkumur untuk mengubati sakit gusi dan juga menghilangkan masalah pernafasan berbau.

Kegunaan lain Kulit Kayu Manis dalam perubatan ialah seperti melawaskan pembuangan najis, penawar cirit birit (membunuh bakteria e choli) dan penahan sakit. Ia juga merupakan anti bakteria semulajadi yang dapat mencegah pembentukan plak gigi dan kerosakan gigi. Ia juga dapat melegakan senak perut dan juga menghilangkan rasa mual dan loya terutamanya pada wanita hamil.

Sunday, July 24, 2011

Teh Hijau

"Lebih baik berlapar selama 3 hari daripada sehari tidak meminum Teh Hijau". Itulah perumpamaan Cina yang amat terkenal mengenai Teh Hijau. Ia telah diamalkan di Negeri Cina semenjak 4000 tahun dahulu. Masyarakat Cina telah menggunakan Teh Hijau bagi merawat segala macam penyakit dari sakit kepala sehingga kemurungan. Kesemua jenis teh adalah dari jenis pokok yang sama iaitu Camellia Sinensis. Kaedah pemprosesan membezakan jenis teh: Teh Hijau, Teh Hitam dan Teh Oolong.

Daun teh yang baru dipetik diwapkan untuk satu tempoh pendek dan proses ini menghalang daun bertukar warna ataupun mengalami penapaian. Kandungan Polyphenols dalam Teh Hijau tidak terjejas berbanding dengan teh yang lain. Kini kajian saintifik telah membongkarkan rahsia kebaikan Teh Hijau antaranya seperti di dalam Journal Of The National Cancer Institute 1994, mengatakan satu kajian epidemiologi menunjukkan peminum Teh Hijau dapat mengurangkan risiko barah Esophagus di kalangan lelaki dan wanita Cina sebanyak 60%. Secara umum Teh Hijau didapati menyihatkan apabila diminum semasa rawatan barah, Arthritis Rheumatoid, paras kolesterol tinggi, penyakit Kardiovaskular, jangkitan dan penurunan fungsi imun.

Keistimewaan Teh Hijau

Rahsianya adalah paras Catechin Polyphenois yang tinggi khususnya Epigallocatechin Gallate (EGCG) yang merupakan antioksidan yang hebat. Antioksidan Teh Hijau adalah:
  • 100 kali lebih berkesan berbanding Vitamin C
  • 25 kali lebih kuat dari Vitamin E
  • 2 kali lebih baik dari Resveratol yang terdapat dalam wine merah.
Antioksidan yang kuat telah dibuktikan berupaya melawan virus, melambatkan penuaan dan mempunyai kesan baik ke atas kesihatan. Radikal bebas adalah molekul yang amat reaktif dan boleh mencederakan sel dalam badan dan seterusnya menjadikan badan terdedah kepada pembentukan barah, penyakit jantung dan penyakit Degeneratif dan metabolik. Catechin memusnahkan radikal bebas dan mempunyai kesan yang menakjubkan ke atas kesihatan seluruh badan. Selain dari itu ia boleh membantu merencat pertumbuhan sel barah, pengawalan paras kolesterol LDL dan secara tidak langsung mengurangkan gumpalan darah tak normal yang menjadi penyebab utama serangan jantung dan strok.

Khasiat Teh Hijau

Banyak kajian telah dilakukan ke atas Teh Hijau dan didapati banyak khasiat kesihatan yang boleh di manfaatkan. Antara kandungan khasiat Teh Hijau yang boleh diperolehi dengan diminum secara berterusan adalah:
  1. Membantu mengawal tekanan darah tinggi: Ia boleh membantu kesihatan dengan mengurangkan tekanan darah dengan merencat tindakan Angiotensin II.
  2. Membantu mengawal paras gula darah: Kandungan Polyphenols dan Polysaccharides dapat memberi kesan manfaat kepada paras gula dalam darah.
  3. Membantu dalam sesetengah penyakit barah: Kandungan Catechins dilihat memberi kesan perawatan kepada sesetengah barah.
  4. Menguatkan sistem imun: Kepekatan Polyphenols dan Flavenoids yang tinggi boleh membantu kesihatan sistem imun tubuh.
  5. Menurunkan paras kolesterol: Paras antioksidan yang tinggi boleh membantu mengurangkan paras kolesterol.
  6. Menggalakkan pembakaran lemak: Kehilangan lemak yang dilihat kepada peminum Teh Hijau lebih khusus kepada lemak di Viscera (lemak di dalam kaviti abdomen, usus dan organ dalaman yang lebih dikaitkan dengan peningkatan risiko sindrom metabolik dan Diabetes jenis 2).
  7. Mengatasi keracunan makanan: Telah lama diketahui  bahawa Teh Hijau dapat membunuh bakteria. Pengambilan Teh Hijau yang pekat dapat merawat penyakit cirit birit. Catechin yang berfungsi sebagai agen pembasmi kuman ketika berlakunya keracunan makanan. Selain itu, ia juga adalah pembasmi kuman yang paling kuat terhadap vibrio cholera kerana ia mempunyai kesan anti toksik dalam toksin yang dihasilkan oleh bakteria selain daripada kolera.

Sunday, July 17, 2011

Badam

Badam atau nama saintifiknya Amygdalus merupakan makanan seimbang dan paling tinggi khasiat di kalangan kekacang. Badam mengandungi protin, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam Badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese.

Sebenarnya anda tidak perlu takut mengambil Badam kerana walaupun ia mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% dari lemak dalam Badam adalah lemak taktepu (unsaturated fat) yang badan anda perlukan. Kandungan lemak mono taktepu (monounsaturated fat) yang tinggi dalam Badam sepertimana terdapat di dalam minyak zaitun membuatkan Badam menjadi senjata hebat bagi memerangi kolesterol LDL di dalam badan anda.

Di bahagian selaput biji Badam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis flavonoids (antioksida) utama. Gandingan beraneka flavonoids dan vitamin E menjadikan Badam suatu makanan yang amat berkhasiat sekali bagi memerangi berbagai masalah kesihatan.

Satu kajian yang dijalankan di University of Toronto ke atas 27 pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi menunjukkan pengambilan purata 74gm (2 genggam) Badam setiap hari selama sebulan telah berjaya menurunkan 9.4% daripada paras kolesterol di dalam badan mereka. Nisbah LDL(kolesterol jahat)/HDL(kolesterol baik) didapati menurun sebanyak 12%. Penurunan nisbah ini menunjukkan menurunnya risiko serangan jantung.

Asid folik yang terdapat di dalam Badam dipercayai dapat menurunkan paras homocystein, iaitu sejenis asid amino yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit; dengan itu juga mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.

Magnesium yang terdapat dalam Badam berperanan melembutkan saluran darah dan dengan itu pengaliran darah, oksigen serta nutrient di dalam badan berjalan dengan elok. Kajian menunjukkan kekurangan magnesium bukan sahaja boleh menyebabkan serangan jantung, tetapi kekurangan magnesium selepas serangan jantung boleh menyebabkan kecederaan (radikal bebas) pada jantung.

Begitu juga dengan kalium dalam Badam untuk sistem transmisi saraf dan otot. Ia amat penting di dalam mengawal tekanan darah serta perjalanan jantung. Pengawalan tekanan darah serta jantung menjadi lebih berkesan dengan Badam kerana kandungan sodium yang rendah (hanya 0.3mg bagi setiap suku cawan Badam).

Badam Menghalang Obesiti

Di dalam satu kajian yang pernah disiarkan di dalam International Journal of Obesity and Related Metabolic Disorders, dilaporkan bahawa diet yang diperkaya dengan Badam telah berjaya mengatasi masalah obesiti jauh lebih berkesan dibandingkan dengan diet berkalori rendah dari karbohidrat kompleks.

Kajian tersebut melibatkan 65 orang dewasa obes. Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan. Kedua-dua kumpulan dibekalkan dengan diet yang sama jumlah kalori serta protinnya. Kumpulan pertama diberi diet berkalori rendah terdiri dari karbohidrat kompleks. Kumpulan kedua juga diberi diet berkalori rendah yang diperkayakan dengan Badam (2 genggam sehari). Selepas 6 bulan didapati kumpulan yang dietnya diperkaya dengan Badam mengatasi kumpulan berdiet karbohidrat dengan 64% dalam pengurangan berat badan, 56% dalam lilitan pinggang, 50% dalam pengurangan lemak.

Badam Meredakan Diabetes

Di dalam suatu kajian yang telah disiarkan di dalam The Journal of Nutrition, Badam telah ditambah kepada diet sekumpulan pengidap diabetes tahap ke-2. Keputusan ujian menunjukkan diet dengan Badam telah menurunkan glycemic response dan insulin response. Kumpulan yang mengambil diet bersama Badam ini telah menunjukkan penurunan kebergantungan kepada ubatan. Ini bermakna dengan mengambil Badam, masalah diabetes dapat dikurangkan.

Badam Menghalang Osteoporosis

Badam juga dikatakan dapat menghalang osteoporosis. Sebanyak 30gm Badam (25-30 biji) mempunyai kandungan kalsium sama seperti terdapat dari 1/4 cawan susu. Kalsium amat berguna bagi menghalang osteoporosis.

Badam Untuk Wanita Hamil

Kandungan folate yang tinggi di dalam Badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah penting bagi mengelakkan dari kecacatan pada bayi ketika hamil.

Badam Mengurangkan Risiko Berbagai Penyakit

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa Badam dapat mengurangkan risiko barah, diabetes, nyanyok (Alzheimer) dan beberapa penyakit kronik yang lain. Dalam satu kajian yang telah disiarkan di dalam American Journal of Clinical Nutrition, dilaporkan bahawa Badam berupaya menurunkan tahap kolesterol setanding dengan kesan dari penggunaan dadah Statin. Kajian seterusnya pula mendedahkan bahawa Badam setanding dengan dadah Statin dalam mengurangkan tahap protin C-reactive yang merosakkan arteri.

Selain tinggi khasiat, Badam juga mempunyai rasa yang sedap. Berbagai cara orang menggunakan Badam dalam masakan; daripada snek sehinggalah kepada makanan berat. Oleh itu jadikanlah Badam sebahagian daripada diet anda. Semoga anda bertambah sihat, ceria serta berbahagia.

Thursday, July 14, 2011

Lebihkan Manis Senyuman, Kurangkan Pemakanan Manis

Bila sebut Gula, pasti ada yang mengeluh apabila dinaikkan harga silingnya. Tanpa Gula yang secukupnya, pasti tak dapat merasakan kepuasannya. Namun, pengambilan Gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pembentukan penyakit Diabetes. Anda boleh membuat pemeriksaan sendiri, hanya dikenakan bayaran RM5 (farmasi) atau RM10 (klinik) untuk mengetahui kandungan glukos dalam badan. Tapi kenalah berpuasa (boleh minum air kosong sahaja) bermula pukul 9 malam dan membuat pemeriksaan pukul 9 pagi keesokan harinya. Jika bacaannya kurang dari 5.5 mmol/L, bermakna anda bebas dari Diabetes. Jika bacaannya 5.6 - 10 mmol/L, bermakna sudah ada pembentukan ke arah Diabetes. Tetapi jika bacaan melebihi 10 mmol/L ke atas menandakan anda dah sah menjadi ahli keluarga Diabetes. Kadang kala anda boleh melakukan pemeriksaan di rumah dan semestinya menjimatkan duit. Anda cuma perlu kencing di atas lantai dan dibiarkan kering. Jika ada banyak semut menghurung bekas kencing anda dalam masa sejam, memang tidak was-was lagi untuk menyatakan bahawa anda mengidap Diabetes.

Gula

Gula adalah makanan yang paling digemari semua orang, ternyata tiada khasiat dan memudaratkan. Ia cuma menambahkan kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Gula secara tidak langsung akan menyingkirkan zat yang sedia ada dalam tubuh manusia. Ternyata Gula merupakan penyebab utama ke arah obesiti. Antara kesan pengambilan Gula yang berlebihan adalah:
  1. Imunisasi - melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria, lelah, penyebab alergi terhadap makanan dan penyebab jangkitan yis atau kandidiasis.
  2. Kolesterol - meningkatkan lemak dalam hati, meningkatkan paras kolesterol trigliserid, mengurangkan paras kolesterol HDL.
  3. Glukosa - meningkatkan paras glukosa dalam darah dengan cepat, penyebab kemerosotan toleransi glukosa, penyebab kemerosotan sensitiviti Insulin dan penyebab hipoglisemia.
  4. Mata - melemahkan penglihatan, penyebab rabun jauh dan penyebab Katarak.
  5. Buah Pinggang, Perut & Usus - penyebab perut berasid, penyebab bengkak saluran usus di kalangan pesakit gastrik, merosakkan sistem buah pinggang, membesarkan saiz buah pinggang, pembentukan batu karang hempedu, penyebab sakit apendiks, penyebab penapaian bakteria dalam usus, merosakkan pankreas dan pembentukan batu dalam ginjal.
  6. Galian - mengganggu imbangan galian dalam tubuh, mengurangkan kromium dan kuprum dalam badan, mengganggu serapan kalsium, merendahkan kemampuan enzim dan magnesium oleh sistem badan.
  7. Kanak-Kanak - menjadi hiperaktif, gelisah, nakal, mengantuk, mengurangkan kecergasan, mengurangkan hormon tumbesaran, meningkatkan paras adrenalin, penyebab ekzema dan menjejaskan pencapaian mereka dalam pelajaran.
  8. Kanser - menyebabkan kanser payu dara, kanser ovari, kanser prostat, kanser dubur, kanser kolon (usus besar) dan kanser pundi hempedu.
  9. Jantung - meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah, meningkatkan risiko penyakit jantung koronari, penyebab penyakit kardiovaskular dan sakit jantung iskemik.
  10. Gigi - merosakkan gigi dan sakit gusi.
  11. Penyakit - meningkatkan risiko penyakit Crohn, sakit Alzheimer, penyebab sembelit dan kolitis berulser.
  12. Obesiti - penyumbang utama kegemukan.
  13. Penuaan - mempercepat proses penuaan, kulit berkedut dan uban pada rambut.
  14. Sendi - penyebab artritis dan penyumbang kepada Osteoporosis.
  15. Darah - penyebab pendarahan, penyebab Vena Varikos, penyebab keracunan darah semasa hamil, penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah, meningkatkan risiko darah beku dalam badan dan meningkatkan tekanan darah sistolik.
  16. Tisu & Sel - penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya, penyebab sel hati terbahagi, penyebab ketidakseimbangan hormon dan melemahkan struktur DNA.
  17. Kepala - penyebab sakit kepala, penyebab kemurungan dan mengganggu kemampuan berfikir.
Banyak produk-produk makanan yang senarai bahan-bahannya tiada ditulis Gula tapi masih manis. Jangan mudah terpedaya kerana Gula biasanya akan dinamakan dengan nama lain seperti:
  1. Glukosa, Fruktosa, Laktosa, Maltosa, Sukrosa
  2. Sirap Glukosa, Sirap Maple, Sirap Hitam, Sirap Kencana
  3. Molases, Dektrosa, Sorbitol
Rekod dinyatakan bahawa Malaysia tersenarai sebagai pengguna terbanyak Gula di dunia. Negara kita adalah paling gemuk di Asia dan mempunyai pesakit Diabetes yang paling ramai di dunia. Ternyata kita sebenarnya dalam kategori yang membimbangkan. Aku ingin menyarankan agar anda semua perlu mengambil tahu mengenai kesihatan diri sendiri. Jika anda sakit, bukan sahaja diri sendiri susah, tetapi anda akan menyusahkan orang lain yang bergantung kepada anda. Sekurang-kurangnya anda mulakan dengan menghindari pemakanan berGula.

Wednesday, July 13, 2011

Dugaan dari Allah

Pada 11 Jun 2011, aku nekad untuk membuat pemeriksaan darah. Ini adalah kerana aku merasakan sesuatu yang tidak kena mengenai kesihatanku. Pada mulanya mataku mulai kabur, dahaga, berat badan susut 7 kg, mula kerap kencing hinggakan satu tahap bila malam, aku akan kencing sejam sekali dan bacaan tekanan darah pula 140/90.

Aku membuat pemeriksaan darah di Klinik Alam Medic, Wangsa Maju. Perkara yang paling aku takut sekali adalah jarum. Seperti biasa, aku akan memejamkan mataku. Memang tak dapat la nak tengok sendiri jarum tu masuk dalam urat darah. "FOBIA". Pekat betul darahku.

Aku ada baca dalam satu artikel mengenai Diabetes sebelum ni, tanda-tandanya memang menepati apa yang aku alami. Aku pun minta pihak klinik membuat ujian paras glukosku. Huh!!! Bacaan glukosku ketika berpuasa 16.8 mmol/L. Untuk memastikan bahawa aku benar-benar ada Diabetes, Doktor menyarankan aku untuk mengambil sarapan. Sejam kemudian aku ke klinik untuk membuat ujian glukos sekali lagi. Memang Sah!!! Bacaan glukosku naik kepada 19.5 mmol/L.

Aku menerima dugaan ini dengan pemikiran yang positif. Aku bersyukur kerana Allah telah memberikan petunjuk kepadaku pada usia yang masih muda untuk menerima hakikat yang aku ni mengidap Diabetes.

Pada masa yang sama, aku banyak membaca artikel-artikel mengenai Diabetes. Di bawah dinyatakan serba ringkas untuk kita berkongsi bersama:

Sejarah

Diabetes telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda Diabetes, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir pada 1550 SM. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap Diabetes kepada dua jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.

Diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan Mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat glukos dalam air kencing. Diabetes Melitus merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap penyakit ini.

Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap Diabetes yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama ada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit Diabetes dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan Diabetes dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap Diabetes.

Walaupun penyakit Diabetes telah lama diketahui, kawalan penyakit Diabetes yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos dalam darah.

Diabetes

Diabetes merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah), terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya. Secara umumnya, penyakit Diabetes dapat digolongkan sebagai:

  1. Diabetes Jenis Pertama (I) juga dikenali sebagai Diabetes bersandar insulin (IDDM - Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau Diabetes awal remaja. Diabetes ini dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap Diabetes jenis pertama mula mendapat simptom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.
  2. Diabetes Jenis Kedua (II) boleh disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan. Oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan/suapan (suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesan samping serius kepada pesakit).
Pengawalan Diabetes

Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit Diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:

  • Penjagaan pemakanan dan berat badan.
  • Kerap bersenam.
  • Pengubatan.
  • Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan kalori serta seimbang.
Pesakit Diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit Diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi:

  • Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang perlu diambil?
  • Jenis rawatan yang diterima?
  • Dimana hendak mendapat ubat?
Hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba - Keputusan Ujian Darah pada 15 Jun 2011. Memang sah aku pengidap Diabetes Mellitus. Bacaan Glukosku - 16.4 mmol/L (3.9 - 5.5), manakala bacaan HbA1c 14.1% (dikategorikan sebagai pengawalan diabetik yang lemah). Berikut adalah keputusan bagi lingkungan yang perlu bagiku untuk diberikan perhatian:

Haemoglobin - 157 g/L (110-150)
PCV - 0.46 L/L (0.35-0.45)

Lipids
Jumlah Kolesterol - 6.4 mmol/L (<5.2)
Triglyceride - 10.98 mmol/L (<1.68)
HDL Kolesterol - 0.57 mmol/L (>1.03)
HDL Ratio - 11.2 (<2.0)

Electrolytes
Sodium - 132 mmol/L (138-145)
Chloride - 92 mmol/L (95-110)

Fungsi Renal
Creatinine - 99 umol/L (30-90)
Uric Acid - 0.62 mmol/L (0.13-0.39)
Phosphate - 1.09 mmol/L (1.10-1.80)

Fungsi Liver
Jumlah Protin - 82 g/L (57-80)
Albumin - 48 g/L (33-47)
ALT - 60 U/L (<51)

Urine
Urine Albumin - 262 mg/L (<21)
ALT - 15.3 mg Alb/mmol Cr (<2.5)

Huhu. Memang perlu diberikan perhatian terutama sekali kolesterol, uric acid dan paling utama sekali pengambilan gula!!! Apa yang perlu aku lakukan untuk memastikan aku sihat adalah DISIPLIN DIRI.

  1. Perkara yang perlu aku hindari adalah manis dalam pemakanan tetapi perbanyakkan manis dalam senyuman. Nasi dan roti biasa digantikan dengan pengambilan Quaker Oat, Corn Flake dan roti Whole Grain.
  2. Sentiasa berfikiran positif bahawa aku boleh kembali sihat seperti dahulu untuk mengelakkan daripada STRESS.
  3. Lemak-lemak adalah dilarang sama sekali, menggunakan Olive Oil dan Canola Oil bagi pengganti minyak berdasarkan kelapa. Katakan tidak kepada santan.
  4. Mengamalkan 1 sudu besar (pagi) dan 1 sudu besar (malam) minyak ikan Scott Imulsion.
  5. Minum air sebanyak 2-3 Liter sehari. Katakan tidak kepada air sejuk.
  6. Mengamalkan 1-2 sachet Teh Hijau + Serbuk Kulit Kayu Manis + Buah Pelaga.
  7. Banyakkan sayur-sayuran, protin (sumber ikan dan soya) dan buah-buahan (1 biji epal hijau, 1 biji kurma dan 1 biji buah lain). Ayam (seminggu sekali) dan daging (dua minggu sekali) dimakan mengikut kuantiti yang sederhana.
  8. Mengikut piramid pemakanan untuk pemakanan seimbang.
  9. Setiap kawalan pemakanan perlu disertakan dengan senaman. Disyorkan 30 minit, 5 hari seminggu. Tapi bagi aku, senaman selama 30 minit setiap hari. Jika di rumah, aku akan bersenam dengan menggunakan X2 Crosstrainer. Jika di luar, aku akan berjalan pantas. Aku perlu tanamkan sifat "Aku perlu berpeluh setiap hari melalui senaman". Jika di tempat kerja, ofisku berada di tingkat 9. Aku akan pastikan sekali sehari bekerja dengan menaiki tangga. Adakalanya aku selalu meletakkan kenderaan jauh dari tempat dituju untukku berjalan. Aku akan cuba mengelakkan daripada hawa dingin.
  10. Yang paling penting sekali bagiku adalah melalui KEIMANAN. Setiap DOA mestilah disertakan dengan usaha. Aku akan pastikan Rukun Islam, Rukun Iman sentiasa dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Jika Jasmaniku diisi dengan pemakanan seimbang, Rohaniku perlu diisi dengan perbanyakkan solat sunat, berzikir dan membaca Al-Quran.
Untuk pengetahuan anda semua, aku membuat ujian glukos pada 18 Jun 2011, Alhamdulillah turun kepada 10.8 mmol/L manakala bacaan tekanan darah pula 121/80. Doktor seperti biasa menyarankanku untuk mengambil ubat. Aku bertegas untuk mendisiplinkan diriku dengan 10 perkara di atas tanpa ubat. Bagiku, jika mengambil ubat bermakna aku menurunkan bacaan glukos tanpa kudratku. Jika terlupa nak makan ubat, glukos terus naik. Lama-kelamaan aku akan bergantung kepada ubat untuk selama-lamanya. Itu sebabnya aku menolak tawaran doktor. Tetapi kenalah mendisiplinkan diri, hingga ke akhir hayat. Jangan pula 2-3 bulan, bila dah sihat, terus lupa pemakanan seimbang dan senaman. Bila dah berumur nanti, sistem antibodi semakin lemah. Jika tidak dikawal, kelak akan menyusahkan diri sendiri.

Kini, aku dah kembali cergas, berat badan ke bacaan BMI Normal. Perut yang comel dulunya dah mula menunjukkan tanda mengempis. Aku cuma amalkan 20 kali senaman dada, 20 kali senaman perut dan 20 kali senaman kaki setiap hari. Tak perlu buat sampai 100 kali dan juga buang duit pergi Gym. Insya Allah, aku akan membuat kembali ujian darah selepas Aidilfitri - 11 September 2011 (genap 3 bulan). Aku akan kembali aktif bersukan bola sepak padang / futsal selepas ujian darah tersebut.