Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Sunday, July 1, 2012

Antara Sebab Tidak Boleh Menggunakan Jin

Mendatangkan Kemudaratan

Allah SWT mengingatkan manusia akibat yang menimpa mereka yang meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin...

"dan sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan" - Surah Al-Jin ayat 6

Makhluk jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta bantuan dan sudah tentu mereka akan segera datang menolong... Makhluk ini sedar bahawa manusia lebih mulia dan lebih berkuasa, namun bila manusia tunduk kepada jin seolah-olah ibarat seorang raja yang melutut di kaki hambanya untuk meminta ditunaikan hajatnya...

Lebih menakutkan apabila Allah SWT memberikan amaran bahawa azab neraka bakal menimpa...

"dan (ingatlah) hari ( kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua (lalu berfirman): wahai sekalian jin! sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut di kalangan manusia... dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: wahai Tuhan kamu, sebahagian kami (manusia) telah bersenang lenang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami... (Allah berfirman): nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah" - Surah Al-An'am ayat 128

Rasulullah SAW dan Para Sahabat Tidak Pernah Meminta Pertolongan Jin

Tiada satu riwayat pun yang menyatakan Rasulullah SAW memohon pertolongan dari kalangan jin... Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa...

Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya (jilid 19 halaman 83), terdapat enam pertemuan antara jin dengan Rasulullah SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu... Tidak ada langsung untuk meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit...

Bagi menghadapi peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin... Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Rasulullah SAW...


Melihat dan Menguasai Jin, Mukjizat Khusus Untuk Para Nabi dan Rasul

Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya...

"sesungguhnya ia (jin) dan para pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka" - Surah Al-A'raf ayat 27


Imam Syafie r.a. melalui Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar Al-Asqalani menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi... Memang ada ulama' yang menyatakan kemungkinan melihat jin itu ada tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan makhluk lain...

Nabi Sulaiman AS telah dikurniakan kebolehan menguasai jin dan syaitan... Namun kebolehan Baginda memerintah jin telah dijadikan dalil oleh syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian... Maka timbullah dakwaan dari para perawat kononnya boleh menangkap, memenjarakan serta menyembelih jin...


Bagi menolak dakwaan batil ini, Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya: "satu ketika Rasulullah SAW hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu lalu Baginda berjaya menangkap dan dicekik leher syaitan hinggakan terasa sejuk lelehan air liur syaitan tersebut... Lalu Baginda bersabda, kalaulah bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (mendoakan Allah SWT tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin dan syaitan kepada selainnya - rujuk Surah Ar-Shad ayat 35), sudah pasti akan aku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah"


Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW telah dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin tetapi Baginda menghormati doa dan permintaan Nabi Sulaiman AS... Oleh itu, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW...


Tipu Daya Jin Sangat Licik

Makhluk jin merupakan makhluk yang penuh dengan tipu daya dan helah... Mereka akan menggunakan pelbagai cara bagi menyesatkan manusia...

"iblis berkata: oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar... kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur" - Surah Al-A'raf ayat 16-17


Sejarah  Sejarah menyaksikan Nabi Sulaiman AS pernah diperdaya olej jin bernama Sokhel sehingga Baginda kehilangan kerajaan selama 40 hari 40 malam... Ini menunjukkan makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta sering kali menggunakannya untuk memperbodohkan manusia...


Hanya Orang Jahil Bersahabat Dengan Jin

Para ulama' melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap ia sebagai perbuatan orang jahil...


Sheikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir: "barang siapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama', maka orang itu sangat jahil... kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana sifat orang fasik... maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak bersahabat dan bersekutu dengan manusia fasik... aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin dari api dan api sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan"


Jin Tidak Akan Rela Melakukan Kerja Khadam

Bagi yang mendakwa jin yang digunakan, khadam yang dikuasainya, orang tersebut telah tertipu dengan helah jin... Seorang khadam ialah orang yang patuh perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan... Namun jin yang kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja... Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu lokasi, mengubati penyakit dari jarak jauh dan membongkar isi hati pesakit...


"maka tatkala Kami menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya... maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan" - Surah Saba ayat 14


Ayat ini menunjukkan khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman AS adalah dalam keadaan terpaksa... Apabila Nabi Sulaiman AS wafat, mereka merasakan sebagai baru merdeka dari penghambaan yang menyeksa lagi menghinakan... Jika suruhan Nabi Sulaiman AS pun dibuat atas dasar terpaksa, apatah lagi suruhan manusia biasa...


Bersahabat Dengan Jin Adalah Evolusi Upacara Menurun

Upacara menurun merupakan kaedah merawat menerusi resapan makhluk ke dalam tubuh perawat... Syaitan memperkenalkan kaedah di mana menggunakan jin sebagai sahabatnya... Dengan itu, perawat akan diberikan ilham melalui bisikan, memperlihatkan benda ghaib serta lain-lain perkara luar biasa... Ia tidak lain tidak bukan mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin menyesatkan manusia...


"dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh dari syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya... dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya... oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu" - Surah Al-An'an ayat 112


Oleh itu, janganlah tertipu dan terperdaya dengan helah jin dan sekutunya...

"sesungguhnya syaitan musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanya mengajak golongannya menjadi penghuni neraka" - Surah Fathir ayat 6