Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Wednesday, June 27, 2012

Pengubatan Islam

Pengubatan Islam merupakan satu cabang usaha seorang pesakit dalam mencari kesembuhan penyakit serta permasalahan emosi atau rohani yang sedang dihadapinya... Namun, pengubatan Islam bukannya bertujuan untuk mengambil alih rawatan kedoktoran tetapi sebagai pelengkap bagi rawatan yang diterima... Ia lebih kepada ikhtiar sambil berusaha menyembuhkan penyakit seseorang walaupun sudah mencuba pelbagai rawatan perubatan...

Pengubatan Islam juga merupakan usaha merawat penyakit berlandaskan wahyu Allah SWT yang di ambil melalui Al-Quran dan As-Sunnah, yang juga dikenali sebagai Perubatan Rasulullah SAW... Ia merupakan satu ibadah bagi seseorang Muslim yang mencari keredhaan Allah SWT disamping berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapinya...

"dan kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian" - Surah Al-Isra' ayat 82

Rasulullah SAW bersabda, "wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali telah ditetapkan baginya penawar kecuali satu yakni tua" - Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi

Ayat Al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan pengubatan Islam ini adalah satu cabang ikhtiar penyembuhan yang mujarab... Selain itu, ia juga dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT... Setiap penyakit yang diturunkan sudah tentu mempunyai penawarnya... Al-Quran adalah penawar yang lengkap bagi semua penyakit hati dan penyakit badan, penyakit dunia dan penyakit akhirat...

Etika Seorang Perawat

Sebelum Rawatan

1) Memastikan pesakit dirawat di ruang yang bersesuaian
2) Memohon keizinan daripada pesakit terlebih dahulu
3) Memohon keizinan daripada waris atau penjaga bagi pesakit yang berlainan jantina atau bawah umur
4) Memastikan bahawa waris atau penjaga berada bersama perawat
5) Tidak dibenarkan mengumumkan makhluk halus yang mempengaruhi kesihatan pesakit
6) Tidak dibenarkan mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi
7) Merekodkan daftar pesakit
8) Memberi penerangan yang jelas tentang punca, kaedah rawatan dan kos
9) Memastikan pesakit dan perawat mengenakan pakaian yang menutup aurat

Semasa Rawatan

1) Memulakan sesi rawatan dengan bacaan doa atau ayat-ayat Al-Quran yang jelas serta mengikut tertib
2) Memastikan jenis penyakit yang hendak dirawat samada penyakit fizikal, kalbu atau gangguan makhluk halus/sihir
3) Perawat perlu berkomunikasi dengan berkesan semasa sesi rawatan
4) Tidak dibenarkan menjalankan perkara yang dilarang di dalam pengubatan Islam
5) Perlu menjaga aurat pesakit semasa sesi rawatan dengan kadar yang munasabah
6) Dibenarkan menggunakan peralatan yang telah dipastikan kebersihannya
7) Tidak dibenarkan merakam kecuali dengan keizinan pesakit

Selepas Rawatan

1) Tidak dibenarkan membekalkan azimat, tangkal atau susuk samada daripada ayat-ayat Al-Quran atau bahan lain
2) Tidak dibenarkan mensyaratkan pengeras untuk sesuatu rawatan
3) Memberi nasihat kepada pesakit mengikut jenis rawatan yang diterima

Larangan dalam Pengubatan Islam

1) Menyalahgunakan ayat-ayat Al-Quran dalam perawatan seperti menambah, mengurangkan dan menterbalikkan susunan ayat-ayat Al-Quran
2) Menggunakan Al-Quran dengan cara yang tidak wajar seperti menggantungkannya atau untuk dijadikan alasan tertentu bagi sesuatu
3) Menggunakan lafaz dan perkataan yang kurang jelas ertinya serta tidak sahih sebutannya
4) Menggunakan azimat, tangkal, atau susuk daripada ayat-ayat Al-Quran atau bahan lain
5) Penggunaan wafak kerana tanpa akidah yang sempurna, boleh menjurus kepada perbuatan syirik
6) Mendakwa mendapat ilmu daripada mimpi, ilham, bisikan dan kitab yang tidak sahih sumbernya

Penipuan dalam Pengubatan Islam

Mungkin anda pernah diminta pengeras sebaik selesai melakukan rawatan... Selain garam, ada juga yang meminta duit syiling... Katanya, jangan sampai penyakit yang diubati akan 'berjangkit' ke tubuhnya... Justeru, orang yang tidak membayar pengeras akan mengakibatkan perawat akan merasa sakit-sakit badan...

Adakalanya pengeras dijadikan sebagai 'senjata' memperdayakan orang yang dirawat bahawa penyakit tidak akan sembuh selagi hutang pengeras belum dilangsaikan... Kononnya wang yang dibayar sebagai pengeras akan diagih-agihkan ke masjid bagi memastikan penyakit yang dirawat sembuh...

Adakah anda pernah mengalaminya? Jika jawapannya YA, maka andalah menjadi mangsa penipuan...

Banyak penipuan berlaku di sebalik nama pengubatan Islam... Perawat yang menawarkan khidmat boleh memisahkan orang ketiga dengan pasangannya juga satu penipuan... Mereka sebenarnya bukannya perawat pengubatan Islam.. Pengubatan Islam mempunyai etika yang tersendiri dan perlu dipatuhi... Bantuan hanya akan diberikan bagi tujuan kebaikan dan bukannya kejahatan...

Mengenal pasti penipuan apabila ada perawat mendakwa boleh berperang dengan jin dan mangsa dikehendaki membayar 'upah' di atas hasil usahanya ataupun mengenakan bayaran bagi setiap ekor jin yang dikeluarkan...

Apa yang jelas, gelaran ustaz dipergunakan untuk memperdayakan masyarakat... Dan inilah yang menjadi masalah besar apabila bomoh juga menggunakan gelaran tersebut... Oleh yang demikian, berhati-hatilah semasa ingin mencari pengamal perubatan alternatif... Dibimbangkan perkara itu boleh menyebabkan berlakunya syirik...

Oleh itu, masih mahukah mempercayai segala dakwaan yang jelas bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan oleh Islam? Cara terbaik ialah berdoa kepada Allah SWT, tingkatkan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW, perkuatkan diri dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, mintalah bantuan dan pandangan daripada alim ulama, Insya Allah akan menjadi penawar kepada penyakit yang dideritai...

Thursday, June 21, 2012

Amalan Bacaan Manzil

Assalamualaikum

Kita sekarang sudah pun memasuki bulan Syaaban... Alhamdulillah kerana telah diberikan peluang daripada Allah SWT untuk meneruskan hidup kita di dunia ini... Tak lama lagi Ramadhan bakal menyusul, bulan yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang beriman kepada Allah SWT... Ternyata banyak kelebihan dan keistimewaan bakal dihidangkan kepada golongan yang benar-benar melaksanakannya...

Untuk menempuhi kehidupan di dunia ini, banyak cabaran & halangan samada dari segi jasmani mahupun rohani... Adakala kita ditimpa bahana penyakit, sudah pasti ubat tertentu menjadi penawarnya... Namun bagi yang ditimpa penyakit misteri, di mana tidak dapat diubati oleh doktor-doktor perubatan, memang sah kita sedang diganggu oleh makhluk halus ataupun disihir... Penawarnya adalah dari segi pengubatan Islam... Kita cuma ikhtiar, Allah SWT jua yang mempunyai kuasa untuk menyembuh...

Pengubatan ini disebut ayat Manzil... Ia mengandungi beberapa ayat Al-Qur'an yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sebagai penawar dan ubat dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir... Kelebihan Manzil ini terlalu banyak dan dari pengalaman kebanyakan orang, Manzil ini sangat mujarab untuk menyembuh penyakit sihir, jin dan lain-lain... Dua cara untuk mengubati pesakit ialah dengan pesakit sendiri membaca ayat-ayat tersebut ataupun orang lain boleh membacakan dan menghembuskan ke dalam air dan air tersebut itu diminum oleh pesakit tersebut...

Satu perkara yang sangat penting dalam mengamalkan ayat-ayat “Manzil ” ialah anda harus membacanya dengan penuh tawajjuh (menumpukan sepenuh perhatian kepada Allah SWT)... Sejauh mana seseorang mempunyai keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT sejauh itulah amalan ini akan memberi manfaat... Tidak syak lagi bahawa nama-nama ALLAH SWT dan kalimat-kalimatnya mengandungi terlalu banyak berkat...

Saya ingin berkongsi dengan anda semua kerana saya pernah mengalaminya... Pada awalnya, saya telah berjumpa dengan Doktor Perubatan... Dah banyak ubat saya gunakan namun masih tidak beransur sihat... Inilah caranya bagi saya berusaha dengan sendiri di samping mendapat bantuan dari Tuan Guru yang mahir dalam Islam... Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya kembali sihat seperti sediakala... Jadi saya sentiasa mengamalkan bacaan Manzil setiap hari & memohon perlindungan dari Allah SWT daripada segala jenis penyakit jasmani mahupun rohani buat diri saya, isteri saya dan anak-anak saya...

Ayat Manzil terdiri dari ayat-ayat berikut dari Al-Quran:

http://www.youtube.com/watch?v=1_X0FFT2VXc

Bacaan 1: Surah Al-Fatihah

Bacaan 2: Surah Al-Baqarah ayat 1-5

Bacaan 3: Surah Al-Baqarah ayat 163

Bacaan 4: Surah Al-Baqarah ayat 255-257

Bacaan 5: Surah Al-Baqarah ayat 284-286

Bacaan 6: Surah Al-Imran ayat 18

Bacaan 7: Surah Al-Imran ayat 26-27

Bacaan 8: Surah Al-A'raaf ayat 54-56

Bacaan 9: Surah Al-Israa' ayat 110-111

Bacaan 10: Surah Al-Mu'minun ayat 115-118

Bacaan 11: Surah Asy-Syafaat ayat 1-11

Bacaan 12: Surah Ar-Rahman ayat 33-40

Bacaan 13: Surah Al-Hasyr ayat 21-24

Bacaan 14: Surah Al-Jinn ayat 1-4

Bacaan 15: Surah Al-Kafiruun

Bacaan 16: Surah Al-Ikhlas

Bacaan 17: Surah Al-Falaq

Bacaan 18: Surah An-Nas