Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Tuesday, January 3, 2012

20 Cara DiMurahkan Rezeki

1. Jangan Lupa Menunaikan Ibadah Kepada Allah

Beribadah kepada Allah SWT walau sibuk mana sekalipun, maka Insya Allah pasti diri kita akan dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan. Allah SWT tidak mensia-siakan pengabdian diri hambaNya.
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah SWT, yang menjadi sebab Allah SWT jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Meninggalkan Perbuatan Dosa

Istighfar tidak berguna di sisi Allah SWT jika masih membuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Berzikir & Sentiasa Mengingati Allah SWT

Banyak mengingati Allah SWT membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah SWT beri kepada orang yang beriman.
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah SWT. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah SWT hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti & Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaan buatnya dan Allah SWT akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki Allah SWT daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik & Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Menunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri.
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah SWT akan menunaikan hajatnya” (Riwayat Muslim)
8. Memperbanyakkan Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Memperbanyakkan Membuat Kebajikan

Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

10. Bangun Awal Pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang membawa keberkatan dan dimurahkan rezeki. Hindari daripada tidur sehingga tengahari.

11. Menjalin Silaturrahim
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Sentiasa Berwuduk
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Selalu Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah SWT membuka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah SWT kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah SWT memperbanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah SWT menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Selalu Bertahajjud

Amalan Solat Tahajjud memudahkan memperolehi rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah SWT.

15. Menunaikan Solat Dhuha

Amalan Solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah SWT

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat.
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim: 7)
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Berzikir & Beramal Membaca Ayat Al-Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat Al-Quran atau Asma’ul Husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan memahami agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah SWT melapangkan kehidupan dan dimurahkan rezeki. Salah satu nama Allah SWT, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca
“Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenaliMu, bukalah pintu rahmat dan keampunanMu, ya Fattah ya `Alim.”
18. Sentiasa Berdoa & Memohon Pertolongan Daripada Allah SWT

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah SWT, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Sentiasa Berusaha & Berikhtiar

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Al-Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
"Allah SWT memberikan dunia kepada orang yang dicintaiNya dan yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah SWT beri kepada orang yang dicintaiNya saja." (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
20. Bertawakkal Kepada Allah

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah SWT.
“Barang siapa bertawakal kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebutkan di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah SWT akan memberi “jalan keluar (darisegala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

No comments:

Post a Comment