Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Tuesday, August 23, 2011

Solat Sunat Tasbih

Solat ini disebut Solat Sunat Tasbih kerana diucapkan Tasbih sebanyak 300 kali Tasbih. Ia merupakan solat sunat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Saidina Abbas Ibn Abdul Mutalib. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh setiap malam, andaikata tidak sanggup diusahakan seminggu sekali, andaikata tidak sanggup diusahakan sebulan sekali, sekiranya tidak sanggup diusahakan setahun sekali, kalau tidak sanggup bolehlah dikerjakan sekali dalam seumur hidup.
  1. Sekiranya dikerjakan pada siang hari, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan satu salam.
  2. Sekiranya dikerjakan pada malam hari, hendaklah empat rakaat itu dijadikan dua salam.
Seeloknya dilakukan sebelah malam, namun boleh juga dilakukan di siang hari. Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama, kerana ia diselangi membaca 300 kali Tasbih.
Bacaan Tasbih itu ialah: Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar.
Solat Sunat Tasbih ini dilakukan 4 rakaat, setiap satu rakaat dibaca sebanyak 75 kali Tasbih. Ini bermakna genap 4 rakaat menjadikannya 300 kali Tasbih. Bilangan bacaan Tasbih dalam satu rakaat adalah seperti berikut:
  1. 15 kali Tasbih - Selepas Doa Iftitah, Surah Al-Fatihah dan surah.
  2. 10 kali Tasbih - Rukuk
  3. 10 kali Tasbih - Iktidal
  4. 10 kali Tasbih - Sujud
  5. 10 kali Tasbih - Duduk antara dua Sujud
  6. 10 kali Tasbih - Sujud
  7. 10 kali Tasbih - Duduk sebentar sebelum berdiri semula atau selepas Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir
Sekiranya terlupa membaca Tasbih pada satu-satunya tempatnya, maka boleh digantikan di tempat berikutnya, agar tetap Tasbihnya berjumlah 300 Tasbih.
Niat Solat Sunat Tasbih: Sahaja aku sembahyang sunat tasbih dua (atau empat) rakaat kerana Allah Ta'ala.
Surah-Surah yang disunatkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah At-Takaathur pada rakaat pertama
  2. Surah Al-'Asr pada rakaat kedua
  3. Surah Al-Kaafiruun pada rakaat ketiga
  4. Surah Al-Ikhlas pada rakaat keempat
Surah At-Takaathur (Banyak Berlumba)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat
  1. Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan (memperbanyak harta benda dan anak-anak),
  2. Sehingga kamu masuk kubur.
  3. Sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  4. Kemudian sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  5. Sekali-kali jangan begitu, kalau kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin.
  6. Sesungguhnya kamu akan melihat neraka,
  7. Kemudian sesungguhnya kamu akan melihatnya dengan mata keyakinan,
  8. Kemudian kamu akan diperiksa pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu perolehi dari Tuhanmu).
Surah Al-'Asr (Masa)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 3 ayat
  1. Demi masa,
  2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
  3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.
Surah Al-Kaafiruun (Orang-Orang Kafir)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 6 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Wahai orang-orang kafir,
  2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
  3. Dan kamu tidak akan menyembah apa yang aku sembah.
  4. Aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah,
  5. Dan kamu tak pula pernah menyembah apa yang aku sembah.
  6. Bagi kamu agamamu dan bagiku agamaku.
Surah Al-Ikhlas (Bersih - Tulus)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 4 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa.
  2. Allah yang dituju (untuk meminta hajat).
  3. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
  4. Dan tiada suatu pun yang menyerupaiNya.
Doa Solat Sunat Tasbih: Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazamanku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau. Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadaMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran. Ya Tuhanku, sempurnakanlah kepadaku cahaya kebenaran, dan ampunilah aku. Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa.

No comments:

Post a Comment