Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Friday, August 5, 2011

Solat Sunat Tarawih

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan Tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.

Solat Sunat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas Solat Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat Solat Sunat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun 20 rakaat. Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Solat Sunat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan Solat Isya' dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW sangat menggalakkan Solat Sunat Tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya. Baginda bersabda: Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau. Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah ra berkata: Rasulullah SAW mengerjakan Solat Sunat Tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka: Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu. Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.
Hukum mengerjakan Solat Sunat Tarawih adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada setiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Solat Sunat Tarawih lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun Solat Sunat Tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, Solat Sunat Tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar ra yang mengingatkan bahawa sebahagian Solat Nawafil telah disyariat dalam Solat berjemaah. Solat Sunat Tarawih termasuk Solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Waktu Solat Sunat Tarawih ini ialah selepas menunaikan Solat Isya' sehinggalah ke larut malam. Solat Sunat Tarawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada setiap satu kali takbiratul ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun Solat Sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun solat yang lain.

Solat Sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan Solat Isya'. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan Solat Sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana ia boleh dibuat sehingga sebelum Solat Subuh. Biasanya di Malaysia, Solat Sunat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas Solat Isya'. Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa Solat Subuh.
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih: Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan Solat Sunat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat Solat Sunat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi arbaa raka'ataini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.
Bilangan Rakaat

Pada zaman Rasulullah SAW, Solat Sunat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah SAW juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib.

Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu. Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat Solat Witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan Solat Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat Solat Witir.
Solat Sunat Tarawih boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah ra: Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.
Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam Solat Sunat Tarawih, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan.
Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata: Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu Subuh maka bersolatlah Witir satu rakaat sebagai penutup.
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah menghadkan jumlah rakaat dalam Solat Sunat Tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir. Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata: Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir.

Di Masjidil Haram di Mekah, Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya Imam membaca satu juzuk Al-Quran pada setiap kali Tarawih dan menamatkan seluruh Al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadhan.

No comments:

Post a Comment