Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Monday, August 22, 2011

Solat Sunat Dhuha

Sebagai orang beriman, kita perlu menyakini bahawa segalanya dalam kehidupan kita ini adalah dalam pengurusan Allah SWT. Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. DaripadaNya datang segala kebaikan dan daripadaNya juga datang segala keburukan. Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah Solat Sunat Dhuha. Antara keistimewaannya adalah seperti yang telah disebut oleh Allah SWT, waktu Dhuha adalah waktu Allah SWT mencurahkan kurniaan kepada hamba-Nya.
Dalam riwayat  Abu Hurairah katanya: Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan Witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat Solat Dhuha kerana ia adalah sunat Awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasullullah SAW yang maksudnya: Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan. (Kitab An-Nurain)
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menjaga Solat Dhuha nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih dilautan. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dalam riwayat Anas bin Malik katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Barangsiapa yang mengerjakan Solat Sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Waktu Solat Sunat Dhuha setelah matahari meninggi sejengkal, lebih kurang pukul 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari menegak, iaitu tengahari. Tidak boleh dilakukan sebelum dan sesudah batas waktu tersebut. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti solat sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan 4 rakaat, 6 rakaat, 8 rakaat dan 12 rakaat.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan Solat Sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya. (Riwayat At-Thabarani)
Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk. Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam.
Niat: Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.
Boleh dibaca mana-mana Surah sesudah selesai bacaan Al-Fatihah. Namun Surah yang digalakkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah Asy-Syams pada rakaat pertama 
  2. Surah Ad-Dhuhaa pada rakaat kedua
Surah Asy-Syams (Matahari)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 15 ayat
  1. Demi matahari dan sinarnya,
  2. Demi bulan apabila mengiringinya,
  3. Demi siang apabila melahirkan (cahayanya),
  4. Demi malam apabila menutupinya,
  5. Demi langit dan Yang Membangunkannya (Allah),
  6. Demi bumi dan Yang Menghamparkannya (Allah),
  7. Demi diri (manusia) dan Yang Menyempurnakannya (Allah),
  8. Lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik.
  9. Sesungguhnya telah menanglah orang-orang yang membersihkan (jiwanya).
  10. Dan rugilah orang yang mengotorkannya.
  11. Thamud telah mendustakan (Rasul), kerana derhakanya,
  12. (Iaitu) ketika bangun seorang yang amat celaka di antaranya,
  13. Lalu berkata Rasul Allah kepada mereka: (Awas) Unta Allah dan minumannya.
  14. Kemudian mereka mendustakannya, dan membunuh unta itu, lalu Tuhan membinasakan mereka kerana dosanya, dan meratakan semuanya.
  15. Dan Tuhan tidak takut akan akibatnya.
Surah Ad-Dhuhaa (Waktu Pagi)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 11 ayat
  1. Demi waktu pagi, 
  2. Demi malam, apabila telah sunyi,
  3. Tuhanmu tidaklah meninggalkan engkau (ya Muhammad), dan tidak pula membenci (mu).
  4. Sesungguhnya akhirat lebih baik bagimu daripada dunia.
  5. Nanti Tuhanmu akan memberimu, lalu engkau menjadi suka.
  6. Bukankah engkau didapatiNya seorang anak yatim, lalu dilindungiNya?
  7. Dan engkau didapatiNya dalam kesesatan (belum mendapat petunjuk), lalu ditunjukiNya.
  8. Dan engkau didapatiNya seorang miskin, lalu diberiNya kekayaan.
  9. Adapun anak yatim, janganlah engkau paksa.
  10. Dan orang yang meminta (bertanya), janganlah engkau herdik.
  11. Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau beritakan (jangan disembunyikan).
Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang dikehendaki. Perlu diingatkan bahawa Solat Sunat Dhuha adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Selesai solat, hendaklah baca tasbih ini sebanyak 10 kali - Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya Kekuasaan Allah.
Doa Solat Sunat Dhuha: Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan KekuasaanMu, limpahkanlah kepada hamba-hambaMu yang saleh.

No comments:

Post a Comment