Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Friday, August 19, 2011

Ramadhan di Penghujung

Salam Ramadhan buat semua muslimin & muslimat, semoga anda semua sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT dalam mempertingkatkan amal ibadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan ini. Baginda Rasulullah SAW sentiasa meningkatkan amalan dengan Qiamulail, beriktikaf dan mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya. Setelah 20 hari berpuasa, pernahkah terlintas di hati, adakah kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).
Hadis ini menerangkan bagaimana Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh teladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Adalah menjadi kerugian sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat membeli belah. Apa yang berlaku, kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan seolah-olah tidak langsung diambil kira. Apa yang menyedihkan setelah ditinjau di masjid atau surau, kebanyakannya sudah tidak semeriah sepertimana di awal Ramadhan. Malah lebih mendukacitakan ada di kalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu.

Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa. Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikannya, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat Tarawikh, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung Ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah SWT yang beriman dan bertaqwa.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)
Malam Lailatul Qadar dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman bertungkus lumus mencari redha Allah dengan meningkatkan pencarian ganjaran yang berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan 10 hari terakhir Ramadhan ialah :
  1. Menghidupkan malam dengan solat malam seperti Tahajud, Hajat, Taubat, Tasbih dan juga berzikir kepada Allah SWT.
  2. Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama Qiamullail dan jangan biarkan mereka dibuai mimpi.
  3. Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Rasulullah SAW mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan amal ibadah.
  4. Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan dengan berada di masjid untuk beribadat kepada Allah SWT.
Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga meninggal dunia.
Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir Ramadhan ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment