Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Tuesday, August 2, 2011

Kesempurnaan Puasa Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah SWT dan RasulNya, ia juga menjadi penghulu segala bulan. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu, Allah SWT telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia.
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah (Surah Al-Baqarah:185)
Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-Qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan (kira-kira 83 tahun). Menurut para ulama, Lailatul-Qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam sepuluh yang terakhirnya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.
Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar (Hadis Riwayat Muslim)
Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk Syurga (Shahih Ibnu Khuzaimah)
Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira (Surah Az-Zumar:10)
KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikannya, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup.
Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa.
Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga (Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)
MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:
  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan penglihatan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT.
  2. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.
  3. Memelihara pendengaran telinga daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.
  4. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).
  5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
  6. Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu apabila puasa dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang takwa.
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah:183)
PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia menyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya.

Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi binatang. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketakwaan.
Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah SWT berkata: Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu (Hadis Riwayat Bukhari)
4 HAL KEADAAN PUASA
  1. Orang Tuli - Bayangkan betapa susahnya orang tuli nak mendengar dan memahami apa yang kita ucapkan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mendengar segala kata-kata yang kotor, berita-berita bohong, bunyi-bunyi yang melalaikan dan suara-suara yang tidak bermanfaat yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa pendengaran (telinga).
  2. Orang Bisu - Bayangkan betapa susahnya orang bisu nak bercakap dengan kita. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mengeluarkan segala kata-kata yang tidak berfaedah dan kata-kata yang diharamkan oleh syarak seperti berbual-bual kosong, mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah kerana perkelahian, bersumpah bohong, keji mengeji, maki hamun, mencarut, mengarut dan yang seumpamanya, yakni puasa perkataan (lidah).
  3. Orang Buta - Bayangkan betapa susahnya orang buta nak melihat sebagaimana yang kita nampak, hidup dalam kegelapan, payah menggambarkan bentuk apa yang kita ucapkan, sukar hendak pergi menuntut ilmu dan susah untuk bekerja mencari rezeki. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melihat segala sesuatu yang bukan haknya yang diharamkan oleh syarak dan perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT, yakni puasa penglihatan (mata).
  4. Orang Cacat - Bayangkan betapa susahnya orang cacat nak melakukan sesuatu perbuatan sebagaimana yang diperbuat oleh kita, hidup dalam ketidak-sempurnaan, payah untuk menyuap memegang sesuatu bagi yang tiada anggota tangan, sukar untuk bergerak berdiri bagi yang tiada anggota kaki dan susah untuk duduk bangun bagi yang lumpuh anggota badan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melakukan segala perbuatan yang tidak berfaedah dan yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa perbuatan (anggota badan).
Bagaimana pula halnya puasa kita yang boleh mendengar, bertutur, melihat dan sempurna? Mampukah kita puasa sepanjang hayat sesempurna orang tuli, orang bisu, orang buta dan orang cacat itu berpuasa? Gabungan puasa pendengaran, puasa perkataan, puasa penglihatan dan puasa perbuatan itulah puasa kita orang Islam yang mampu mencegah nafsu dari dipengaruhi oleh sifat jahat kita sendiri. Dan bila nafsu sudah dicegah dari dipengaruhi oleh sifat jahat, maka jadilah telinga, lidah, mata dan anggota badan kita ibarat kata puasa sepanjang hayat.

Adapun bagi mencuci dosa-dosa yang telah dilakukan oleh telinga, lidah, mata dan anggota badan kita, setiap orang Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Juga sebagai orang sempurna yang celik yang berkata-kata yang mendengar, ambillah iktibar dari 4 hal keadaan puasa di atas. Sungguh setiap ibadat wajib dalam agama Islam itu ada pengajaran yang jelas buat orang yang mahu berfikir. Mudah-mudahan puasa kali ini mencapai maksud dan tujuannya, Insya Allah.

No comments:

Post a Comment