Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Wednesday, July 13, 2011

Dugaan dari Allah

Pada 11 Jun 2011, aku nekad untuk membuat pemeriksaan darah. Ini adalah kerana aku merasakan sesuatu yang tidak kena mengenai kesihatanku. Pada mulanya mataku mulai kabur, dahaga, berat badan susut 7 kg, mula kerap kencing hinggakan satu tahap bila malam, aku akan kencing sejam sekali dan bacaan tekanan darah pula 140/90.

Aku membuat pemeriksaan darah di Klinik Alam Medic, Wangsa Maju. Perkara yang paling aku takut sekali adalah jarum. Seperti biasa, aku akan memejamkan mataku. Memang tak dapat la nak tengok sendiri jarum tu masuk dalam urat darah. "FOBIA". Pekat betul darahku.

Aku ada baca dalam satu artikel mengenai Diabetes sebelum ni, tanda-tandanya memang menepati apa yang aku alami. Aku pun minta pihak klinik membuat ujian paras glukosku. Huh!!! Bacaan glukosku ketika berpuasa 16.8 mmol/L. Untuk memastikan bahawa aku benar-benar ada Diabetes, Doktor menyarankan aku untuk mengambil sarapan. Sejam kemudian aku ke klinik untuk membuat ujian glukos sekali lagi. Memang Sah!!! Bacaan glukosku naik kepada 19.5 mmol/L.

Aku menerima dugaan ini dengan pemikiran yang positif. Aku bersyukur kerana Allah telah memberikan petunjuk kepadaku pada usia yang masih muda untuk menerima hakikat yang aku ni mengidap Diabetes.

Pada masa yang sama, aku banyak membaca artikel-artikel mengenai Diabetes. Di bawah dinyatakan serba ringkas untuk kita berkongsi bersama:

Sejarah

Diabetes telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda Diabetes, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir pada 1550 SM. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap Diabetes kepada dua jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.

Diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan Mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat glukos dalam air kencing. Diabetes Melitus merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap penyakit ini.

Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap Diabetes yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama ada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit Diabetes dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan Diabetes dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap Diabetes.

Walaupun penyakit Diabetes telah lama diketahui, kawalan penyakit Diabetes yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos dalam darah.

Diabetes

Diabetes merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah), terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya. Secara umumnya, penyakit Diabetes dapat digolongkan sebagai:

  1. Diabetes Jenis Pertama (I) juga dikenali sebagai Diabetes bersandar insulin (IDDM - Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau Diabetes awal remaja. Diabetes ini dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap Diabetes jenis pertama mula mendapat simptom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.
  2. Diabetes Jenis Kedua (II) boleh disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan. Oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan/suapan (suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesan samping serius kepada pesakit).
Pengawalan Diabetes

Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit Diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:

  • Penjagaan pemakanan dan berat badan.
  • Kerap bersenam.
  • Pengubatan.
  • Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan kalori serta seimbang.
Pesakit Diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit Diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi:

  • Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang perlu diambil?
  • Jenis rawatan yang diterima?
  • Dimana hendak mendapat ubat?
Hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba - Keputusan Ujian Darah pada 15 Jun 2011. Memang sah aku pengidap Diabetes Mellitus. Bacaan Glukosku - 16.4 mmol/L (3.9 - 5.5), manakala bacaan HbA1c 14.1% (dikategorikan sebagai pengawalan diabetik yang lemah). Berikut adalah keputusan bagi lingkungan yang perlu bagiku untuk diberikan perhatian:

Haemoglobin - 157 g/L (110-150)
PCV - 0.46 L/L (0.35-0.45)

Lipids
Jumlah Kolesterol - 6.4 mmol/L (<5.2)
Triglyceride - 10.98 mmol/L (<1.68)
HDL Kolesterol - 0.57 mmol/L (>1.03)
HDL Ratio - 11.2 (<2.0)

Electrolytes
Sodium - 132 mmol/L (138-145)
Chloride - 92 mmol/L (95-110)

Fungsi Renal
Creatinine - 99 umol/L (30-90)
Uric Acid - 0.62 mmol/L (0.13-0.39)
Phosphate - 1.09 mmol/L (1.10-1.80)

Fungsi Liver
Jumlah Protin - 82 g/L (57-80)
Albumin - 48 g/L (33-47)
ALT - 60 U/L (<51)

Urine
Urine Albumin - 262 mg/L (<21)
ALT - 15.3 mg Alb/mmol Cr (<2.5)

Huhu. Memang perlu diberikan perhatian terutama sekali kolesterol, uric acid dan paling utama sekali pengambilan gula!!! Apa yang perlu aku lakukan untuk memastikan aku sihat adalah DISIPLIN DIRI.

  1. Perkara yang perlu aku hindari adalah manis dalam pemakanan tetapi perbanyakkan manis dalam senyuman. Nasi dan roti biasa digantikan dengan pengambilan Quaker Oat, Corn Flake dan roti Whole Grain.
  2. Sentiasa berfikiran positif bahawa aku boleh kembali sihat seperti dahulu untuk mengelakkan daripada STRESS.
  3. Lemak-lemak adalah dilarang sama sekali, menggunakan Olive Oil dan Canola Oil bagi pengganti minyak berdasarkan kelapa. Katakan tidak kepada santan.
  4. Mengamalkan 1 sudu besar (pagi) dan 1 sudu besar (malam) minyak ikan Scott Imulsion.
  5. Minum air sebanyak 2-3 Liter sehari. Katakan tidak kepada air sejuk.
  6. Mengamalkan 1-2 sachet Teh Hijau + Serbuk Kulit Kayu Manis + Buah Pelaga.
  7. Banyakkan sayur-sayuran, protin (sumber ikan dan soya) dan buah-buahan (1 biji epal hijau, 1 biji kurma dan 1 biji buah lain). Ayam (seminggu sekali) dan daging (dua minggu sekali) dimakan mengikut kuantiti yang sederhana.
  8. Mengikut piramid pemakanan untuk pemakanan seimbang.
  9. Setiap kawalan pemakanan perlu disertakan dengan senaman. Disyorkan 30 minit, 5 hari seminggu. Tapi bagi aku, senaman selama 30 minit setiap hari. Jika di rumah, aku akan bersenam dengan menggunakan X2 Crosstrainer. Jika di luar, aku akan berjalan pantas. Aku perlu tanamkan sifat "Aku perlu berpeluh setiap hari melalui senaman". Jika di tempat kerja, ofisku berada di tingkat 9. Aku akan pastikan sekali sehari bekerja dengan menaiki tangga. Adakalanya aku selalu meletakkan kenderaan jauh dari tempat dituju untukku berjalan. Aku akan cuba mengelakkan daripada hawa dingin.
  10. Yang paling penting sekali bagiku adalah melalui KEIMANAN. Setiap DOA mestilah disertakan dengan usaha. Aku akan pastikan Rukun Islam, Rukun Iman sentiasa dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Jika Jasmaniku diisi dengan pemakanan seimbang, Rohaniku perlu diisi dengan perbanyakkan solat sunat, berzikir dan membaca Al-Quran.
Untuk pengetahuan anda semua, aku membuat ujian glukos pada 18 Jun 2011, Alhamdulillah turun kepada 10.8 mmol/L manakala bacaan tekanan darah pula 121/80. Doktor seperti biasa menyarankanku untuk mengambil ubat. Aku bertegas untuk mendisiplinkan diriku dengan 10 perkara di atas tanpa ubat. Bagiku, jika mengambil ubat bermakna aku menurunkan bacaan glukos tanpa kudratku. Jika terlupa nak makan ubat, glukos terus naik. Lama-kelamaan aku akan bergantung kepada ubat untuk selama-lamanya. Itu sebabnya aku menolak tawaran doktor. Tetapi kenalah mendisiplinkan diri, hingga ke akhir hayat. Jangan pula 2-3 bulan, bila dah sihat, terus lupa pemakanan seimbang dan senaman. Bila dah berumur nanti, sistem antibodi semakin lemah. Jika tidak dikawal, kelak akan menyusahkan diri sendiri.

Kini, aku dah kembali cergas, berat badan ke bacaan BMI Normal. Perut yang comel dulunya dah mula menunjukkan tanda mengempis. Aku cuma amalkan 20 kali senaman dada, 20 kali senaman perut dan 20 kali senaman kaki setiap hari. Tak perlu buat sampai 100 kali dan juga buang duit pergi Gym. Insya Allah, aku akan membuat kembali ujian darah selepas Aidilfitri - 11 September 2011 (genap 3 bulan). Aku akan kembali aktif bersukan bola sepak padang / futsal selepas ujian darah tersebut.

6 comments:

  1. itulah kelebihannya sesiapa yang sudah berumahtangga... seorang isteri sentiasa bersama dengan suaminya walau apapun yang terjadi...

    ReplyDelete
  2. jaga kesihatan sir. penyakit sekarang ni tak kira usia. info blog sir sangat berguna untuk umum dan juga diri saya..

    ReplyDelete
  3. bila difikirkan kembali, kita selalu tak ingat mengenai kesihatan... maklumlah masih muda lagi... bila sakit, makan ubat... kemudian sihat... makan just bedal ja... sekarang, bila dah menjangkau 30an & ke atas, kena beringat betapa pentingnya kesihatan itu... antibodi kita bila dah mula meningkat umur, makin kurang skit kekuatannya... 30 tahun sebelum ni endah tak endah, tetapi 30 tahun selepas ni, wajib dipertekankan mengenai kesihatan & senaman... Hidup Sihat Keluarga Bahagia...

    ReplyDelete
  4. saya sama nasib seperti tuan.. Memula kantoi bacaannya 22... lepas tu skg turun 7.1 . Masih terus mencari penawar untuk pulih. Antaranya semua yg Rasullah sarankan seperti habatulsauda,madu dan bekam. Berpegang kepada hadis Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati..insyaallah.

    ReplyDelete
  5. salam tuan,

    bagaimana keadaan tuan sekarang? mohon untuk tuan kongsikan pengalaman tuan didalam pengawasan diabetes tanpa ubat. saya juga pesakit diabetes seperti tuan. ingin jadikan pengalaman tuan sebagai motivasi kepada diri saya.

    ReplyDelete