Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Sunday, July 17, 2011

Badam

Badam atau nama saintifiknya Amygdalus merupakan makanan seimbang dan paling tinggi khasiat di kalangan kekacang. Badam mengandungi protin, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam Badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese.

Sebenarnya anda tidak perlu takut mengambil Badam kerana walaupun ia mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% dari lemak dalam Badam adalah lemak taktepu (unsaturated fat) yang badan anda perlukan. Kandungan lemak mono taktepu (monounsaturated fat) yang tinggi dalam Badam sepertimana terdapat di dalam minyak zaitun membuatkan Badam menjadi senjata hebat bagi memerangi kolesterol LDL di dalam badan anda.

Di bahagian selaput biji Badam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis flavonoids (antioksida) utama. Gandingan beraneka flavonoids dan vitamin E menjadikan Badam suatu makanan yang amat berkhasiat sekali bagi memerangi berbagai masalah kesihatan.

Satu kajian yang dijalankan di University of Toronto ke atas 27 pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi menunjukkan pengambilan purata 74gm (2 genggam) Badam setiap hari selama sebulan telah berjaya menurunkan 9.4% daripada paras kolesterol di dalam badan mereka. Nisbah LDL(kolesterol jahat)/HDL(kolesterol baik) didapati menurun sebanyak 12%. Penurunan nisbah ini menunjukkan menurunnya risiko serangan jantung.

Asid folik yang terdapat di dalam Badam dipercayai dapat menurunkan paras homocystein, iaitu sejenis asid amino yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit; dengan itu juga mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.

Magnesium yang terdapat dalam Badam berperanan melembutkan saluran darah dan dengan itu pengaliran darah, oksigen serta nutrient di dalam badan berjalan dengan elok. Kajian menunjukkan kekurangan magnesium bukan sahaja boleh menyebabkan serangan jantung, tetapi kekurangan magnesium selepas serangan jantung boleh menyebabkan kecederaan (radikal bebas) pada jantung.

Begitu juga dengan kalium dalam Badam untuk sistem transmisi saraf dan otot. Ia amat penting di dalam mengawal tekanan darah serta perjalanan jantung. Pengawalan tekanan darah serta jantung menjadi lebih berkesan dengan Badam kerana kandungan sodium yang rendah (hanya 0.3mg bagi setiap suku cawan Badam).

Badam Menghalang Obesiti

Di dalam satu kajian yang pernah disiarkan di dalam International Journal of Obesity and Related Metabolic Disorders, dilaporkan bahawa diet yang diperkaya dengan Badam telah berjaya mengatasi masalah obesiti jauh lebih berkesan dibandingkan dengan diet berkalori rendah dari karbohidrat kompleks.

Kajian tersebut melibatkan 65 orang dewasa obes. Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan. Kedua-dua kumpulan dibekalkan dengan diet yang sama jumlah kalori serta protinnya. Kumpulan pertama diberi diet berkalori rendah terdiri dari karbohidrat kompleks. Kumpulan kedua juga diberi diet berkalori rendah yang diperkayakan dengan Badam (2 genggam sehari). Selepas 6 bulan didapati kumpulan yang dietnya diperkaya dengan Badam mengatasi kumpulan berdiet karbohidrat dengan 64% dalam pengurangan berat badan, 56% dalam lilitan pinggang, 50% dalam pengurangan lemak.

Badam Meredakan Diabetes

Di dalam suatu kajian yang telah disiarkan di dalam The Journal of Nutrition, Badam telah ditambah kepada diet sekumpulan pengidap diabetes tahap ke-2. Keputusan ujian menunjukkan diet dengan Badam telah menurunkan glycemic response dan insulin response. Kumpulan yang mengambil diet bersama Badam ini telah menunjukkan penurunan kebergantungan kepada ubatan. Ini bermakna dengan mengambil Badam, masalah diabetes dapat dikurangkan.

Badam Menghalang Osteoporosis

Badam juga dikatakan dapat menghalang osteoporosis. Sebanyak 30gm Badam (25-30 biji) mempunyai kandungan kalsium sama seperti terdapat dari 1/4 cawan susu. Kalsium amat berguna bagi menghalang osteoporosis.

Badam Untuk Wanita Hamil

Kandungan folate yang tinggi di dalam Badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah penting bagi mengelakkan dari kecacatan pada bayi ketika hamil.

Badam Mengurangkan Risiko Berbagai Penyakit

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa Badam dapat mengurangkan risiko barah, diabetes, nyanyok (Alzheimer) dan beberapa penyakit kronik yang lain. Dalam satu kajian yang telah disiarkan di dalam American Journal of Clinical Nutrition, dilaporkan bahawa Badam berupaya menurunkan tahap kolesterol setanding dengan kesan dari penggunaan dadah Statin. Kajian seterusnya pula mendedahkan bahawa Badam setanding dengan dadah Statin dalam mengurangkan tahap protin C-reactive yang merosakkan arteri.

Selain tinggi khasiat, Badam juga mempunyai rasa yang sedap. Berbagai cara orang menggunakan Badam dalam masakan; daripada snek sehinggalah kepada makanan berat. Oleh itu jadikanlah Badam sebahagian daripada diet anda. Semoga anda bertambah sihat, ceria serta berbahagia.

No comments:

Post a Comment