Cardiac

My photo
Married to Syarifah Najahah Bt Syed Kamal Khalid Al-Yahya with 2 adorable children, Syed Azim Danial Barakbah & Syarifah Abyana Barakbah

Wednesday, December 28, 2011

15 Cara Mendidik Anak Menjadi Cemerlang

  1. Mendidik anak dengan pesanan dan arahan setiap hari, bersesuaian dengan tindak-tanduk serta amalan yang ibu bapa inginkan. Jangan sesekali bosan memberi pesanan kepada anak. Menurut satu kajian, piawaian memberi pesanan dan arahan kepada anak setiap hari adalah 200 kali bagi membentuk rutin kehidupannya.
  2. Banyakkan bercerita dengan anak mengenai perkara yang baik. Cerita boleh diambil daripada Al-Quran, kisah Rasul dan para sahabatnya. Malah, ibu bapa boleh mereka cerita sendiri kerana yang penting, ia mestilah boleh dijadikan teladan.
  3. Selalu bersoal jawab dengan anak-anak secara berterusan. Bertanyakan anak hal yang dilaluinya sepanjang hari dan sentiasa berusaha menjawab soalan mereka secara hikmah.
  4. Mengasuh anak melalui nasihat dan teguran. Nasihat dan teguran berlainan sedikit dengan pesanan dan arahan yang perlu dilakukan setiap hari. Nasihat dan teguran dibuat sesekali saja supaya anak tidak cepat bosan.
  5. Nasihat dan teguran adalah lebih menjurus kepada pembentukan akidah, ibadah, amalan harian, akhlak, tanggungjawab dan seumpamanya. Banyakkan bermain dan bergurau dengan anak serta sentiasa selitkan unsur nasihat yang bermanfaat.
  6. Banyakkan memberikan latihan dan tugasan kepada anak termasuk kerja di rumah. Tugasan diberikan mengikut usia, tahap kemampuan dan kesesuaian dengan jantina anak.
  7. Pantau kerja dilakukan dan jangan kutuk anak jika mereka buat salah sebaliknya jika memuji, biarlah berpada-pada.
  8. Amalan dan tindak tanduk ibu bapa menjadi contoh kepada anak. Ibu bapa sederhana memberitahu anak apa yang mereka perlu lakukan. Ibu bapa yang baik memberikan penjelasan mengenai apa yang diminta anak itu lakukan.
  9. Ibu bapa yang cemerlang memberikan contoh sesuatu perkara yang diberitahu dan dijelaskan kepada anaknya manakala ibu bapa misali sentiasa menggerakkan anaknya untuk menjadi manusia cemerlang. Menurut kajian pakar psikologi, galakan untuk anak harus diberikan 80 peratus manakala 20 peratus lagi untuk amaran. Galakan menjadikan anak lebih ceria di samping menjurus ke arah individu cemerlang.
  10. Ambil berat kebajikan anak. Ibu bapa perlu tunaikan hak anak sewajarnya dan menyediakan keperluan yang munasabah untuk anak sesuai dengan kemampuan ibu bapa itu.
  11. Ibu bapa boleh menggunakan firasat dan gelombang minda dalam mendekati anak. Tidak perlu tunggu anak bercerita apabila mereka berdepan dengan masalah.
  12. Menjana keyakinan dan kekentalan diri anak. Ulama dan ahli psikologi menyarankan antara perkara yang boleh dilakukan dan dilatih kepada anak termasuk mengajar menyimpan rahsia, latih mereka berpuasa serta membentuk kemahiran sosial anak, contohnya berkawan dengan betul.
  13. Luaskan ruang lingkup pembacaan anak-anak serta mengajar mereka cara membuat keputusan yang baik.
  14. Kenal pasti kecenderungan dan minat anak. Selain daripada memerhatikan sendiri anak-anak, boleh bertanya pada guru atau rakan mengenai hobi mereka kerana mungkin ada yang terlepas pandang.
  15. Pupuk minat mereka supaya mereka selalu gembira kerana anak yang ceria mudah menjadi insan cemerlang

Friday, December 9, 2011

Doa Abu Darda' Memohon Perlindungan Allah untuk Diri, Keluarga dan Harta Benda

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW semulia-mulia Rasul dan juga ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian.

Ya Allah Tuhan kami, Engkau Tuhan, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkaulah kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy yang besar. Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjayakan dan menggagalkan sesuatu melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kami mengetahui sesungguhnya Allah (atas tiap-tiap sesuatu) amat berkuasa dan sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah, Tuhan kami sesungguhnya kami memohon perlindungan Engkau daripada kejahatan atau keburukan pada diri kami dan daripada kejahatan setiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkau yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak-gerinya). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.

Dan cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW keluarganya serta sahabat-sahabatnya sekalian. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Thursday, November 24, 2011

10 Surah Amalan

Surah Al-Fatihah

Memadam kemurkaan Allah SWT.

Surah Yasin

Menghilangkan rasa dahaga atau kehausan pada hari Akhirat.

Surah Dukhan

Membantu kita ketika menghadapi ujian Allah SWT pada hari Akhirat.

Surah Al-Waqiah

Melindungi kita daripada ditimpa kesusahan atau fakir.

Surah Al-Mulk

Meringankan azab di dalam kubur.

Surah Al-Kauthar

Merelaikan segala perbalahan.

Surah Al-Kafirun

Menghalang kita daripada menjadi kafir ketika menghadapi kematian.

Surah Al-Ikhlas

Melindungi kita daripada menjadi golongan Munafiq.

Surah Al-Falaq

Menghapuskan perasaan hasad dengki.

Surah An-Nas

Melindungi kita daripada ditimpa penyakit was-was.

Monday, November 21, 2011

10 Cara Melatih Anak Cepat Bercakap

Pertama

Anda hendaklah selalu bercakap dengan si comel. Walaupun mungkin si comel langsung tak memperdulikan anda dan seronok bermain saja, tapi anda jangan putus asa. Teruskan berkomunikasi dan berinteraksi dengan si comel. Ucapkan sesuatu perkataan itu berkali-kali depan dia. Insya Allah dalam beberapa ketika saja, si comel akan mampu meniru apa yang anda ucapkan. Masa tu, Tuhan sajalah yang tahu betapa gembiranya hati anda apabila si comel sudah pandai meniru percakapan anda. Demi Allah, ia sangat membahagiakan.

Kedua

Gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada si comel, pastikan ada ruang antara satu ayat dengan yang lain supaya si comel berpeluang memberi maklum atau tindak balas.

Ketiga

Mimik muka anda semasa bercakap amat penting. Ia mestilah bersesuaian apabila menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat tertentu.

Keempat

Selalu membacakan buku untuk si comel dan meluangkan masa bercerita kepada si comel.

Kelima

Dedahkan si comel kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini anda memberi peluang kepada mereka mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.

Keenam

Anda mesti menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta cuba memahami apa yang disampaikan oleh si comel. Jika apa yang disebutnya tidak jelas, anda mesti bantunya dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebutkan oleh si comel.

Ketujuh

Pasangkan lagu kanak-kanak yang mudah berulang kali sehingga si comel mampu mengikutnya.

Kelapan

Selagi mana si comel boleh menggunakan beberapa patah perkataan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, dan memahami arahan mudah, maka boleh dikatakan perkembangan bahasa mereka adalah normal. Perbanyakkan berbual dengan si comel, membacakan buku cerita kepada mereka, bertanya kepada mereka, dan cuba minta mereka bercakap.

Kesembilan

Andainya si comel sudah mula boleh bercakap satu perkataan, ulang kembali apa yang mereka sebut dalam ayat yang sempurna. Contohnya, apabila si comel menyebut “nak”, tanyakan kembali “Azim nak apa? Nak susu? Nak mainan?”. Atau apabila dia sebut “bola”, ulang kembali “Azim nak main bola?”. Jadikan ianya suatu kebiasaan.

Kesepuluh

Jangan sesekali memaksa si comel bercakap dan jangan pamerkan kekecewaan anda kerana mereka masih belum mampu bercakap. Bahasa yang pertama sekali si comel belajar adalah bahasa emosi dan mimik muka. Mereka lebih mahir membaca perasaan berbanding perkataan.

Thursday, November 17, 2011

9 Sebab Hati Tidak Tenang

PEMARAH

Orang yang ada sifat pemarah dalam dirinya, pasti sukar berasa tenteram di hati. Sikit punya hal dah nak marah. Ada masalah sikit dah nak mengamuk. Tenangkah begitu? Bolehkah merasa bahagia jika begitu? Orang seperti ini juga memang sukar untuk mendapat kawan.

PENDENDAM

Orang yang ada sifat ini, pastinya hati dia tidak akan pernah tenteram. Selagi dia tidak dapat membalas dendam, hatinya tidak pernah tenang. Mana mungkin orang yang ada menyimpan perasaan dendam boleh tenteram! Sifat pendendam ini ibarat lahar yang tersembunyi di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari peluang untuk membalas dendam dan memuaskan hatinya. Dalam perkara yang kecil-kecil pun dia nak berdendam dan mahu membalasnya. Kalau orang sakitkan hati dia, dia mahu sakitkan hati atau tempelak orang yang didendaminya itu. Jika begitulah sikapnya, mampukah orang yang pendendam ini merasa bahagia? Apa kesudahannya?

HASAD DENGKI

Ni lagi satu sifat yang jika ada dalam diri kita pasti membuatkan diri kita tak tenang dan tak bahagia. Nak tenang macam mana, sikit-sikit nak berdengki. Orang beli kereta baru kita dengki. Orang dapat naik pangkat kita sakit hati. Orang bergaya sikit, kita cemburu dengki. Pendek kata, orang tak boleh lebih dari dia. Kalau lebih, maka sakit hati dan dengkilah dia. Jika begitu, bolehkah orang seperti ini hidup dengan bahagia?

BAKHIL

Sifat kedekut tahi hidung masin pun adalah sifat yang tak akan membuatkan hati kita berasa tenang bahagia. Orang kedekut ni sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Orang bakhil sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit, dia ada masalahlah dan sebagainya semata-mata tak nak beri derma apabila diminta.

TAMAK

Orang yang tamak tidak pernah dan tidak akan puas dengan apa yang dimilikinya. Ada duit RM10 dia nak RM100. Dapat RM100, dia nak RM1000. Dapat RM1,000 dia nak RM10,000. Pendek kata, dia tak pernah bersyukur apa yang dia dapat. Jika begitu, dapatkah dia merasa bahagia dengan hidupnya?

TIDAK SABAR

Orang yang tidak sabar, kena ujian kecil pun dia dah merasa tertekan. Kena kutuk sikit, dah nak mengamuk. Susah sikit dah nak komplen. Apatah lagi jika dia diuji dengan perkara-perkara besar. Lagilah tidak tenteram dan tertekan dia. Malah boleh jadi gila dibuatnya. Jadi, orang yang ada sifat tidak sabar ini, boleh tenang bahagiakah dia?

EGO

Orang yang memiliki sifat ini pantang rasa dirinya tercabar. Egonya tinggi. Dia pantang dikritik. Dia pantang ditegur, walaupun telah terbukti kesalahannya, dia tak mahu mengaku. Dia tetap sombong diri, angkuh dan ego. Orang lain semua tak betul, semua tak bagus, sebaliknya dialah yang paling sempurna dan betul semuanya. Orang macam ini, mana mungkin dapat merasa bahagia, apatah lagi apabila ada orang cuba mengatasi dirinya.

RIAK

Riak adalah sifat yang suka menunjuk-nunjuk. Orang yang ada sifat ini, kalau buat kerja tak pernah ikhlas. Orang seperti ini sebenarnya hanyalah pelakon handalan yang mahu disanjung orang. Kalau orang puji dia, maka seronoklah dia. Tapi kalau tidak, hati dia menjadi begitu terseksa. Hati dia sebenarnya sentiasa tertekan kerana dia sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji atau tidak dipuji dia kecewa sakit hati.

CINTA DUNIAWI

Orang yang cinta duniawi juga sebenarnya tidak merasa bahagia. Ini adalah kerana dia sentiasa berasa takut untuk kehilangan harta dunianya. Dia begitu takut mati meninggalkan harta yang dimiliki. Dia tidak akan merasa puas dengan hartanya. Apa yang difikirkannya hanyalah untuk mencari harta dan menambah kekayaan. Dia ingat bila dapat harta, hatinya akan puas. Dia ingat bila kekayaan bertimbun, dia akan bahagia. Tapi rupanya tidak, kebahagiaan dan ketenangan bukan pada harta kekayaan letaknya. Tapi tenang dan bahagia itu, terletak pada hati yang mensyukuri.

Thursday, November 3, 2011

7 Sunnah Penting

Pertama

Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah SWT.

Kedua

Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3 Qul, atau ayat Qursi.

Ketiga

Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu Subuh. Sebelum melangkah ke mana pun, langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah SWT yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah SWT.

Keempat

Jaga solat Dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat Dhuha. Yakinlah, kesan solat Dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima

Jaga sedekah setiap hari. Allah SWT menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah SWT berlipat kali ganda.

Keenam

Jaga wudhu terus menerus kerana Allah SWT menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu sentiasa akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa agar diampuni dosanya dan disayangi Allah SWT".

Ketujuh

Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah SWT.

Wednesday, November 2, 2011

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat

Berasa Was-Was Ketika Melakukan Takbiratul Ihram

Saat membaca Takbiratul Ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan merasakan ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah. Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat Takbiratul Ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

Tidak Memberi Tumpuan Ketika Membaca Bacaan Dalam Solat

Sahabat Rasulullah SAW, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah SAW menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib."

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu.” (Hadis Riwayat Muslim).

Lupa Jumlah Rakaat Yang Dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jika seorang daripada kamu solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kamu mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadirnya Fikiran Yang Memalingkan Tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan. Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Tergesa-Gesa Menyelesaikan Solat

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (Takbiratul Ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri. Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud(thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Melakukan Gerakan Yang Tidak Perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat. “Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya?” “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Melihat Ke Kiri Atau Ke Kanan Ketika Solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas Takbiratul Ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah SAW menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Menguap Dan Mengantuk

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bersin Berulang Kali Ketika Solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

Terasa Ingin Buang Angin Atau Buang Air

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kamu bimbang apa yang dirasakan diperutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Wednesday, August 24, 2011

Usaha Menentang Diabetes

Dua bulan lepas, aku telah menerima satu dugaan yang amat berat untuk aku terima di mana aku tergolong dalam kumpulan Diabetes Mellitus... Senang cerita Kencing Manis la... Pada mulanya, secara rawak dari Klinik pada 11 Jun 2011, bacaan 19 mmol/L... Doktor pun sarankan untuk menunggu laporan daripada makmal untuk pengesahan... Bila aku mula membaca secara mendalam mengenai Diabetes, memang sesuatu yang menggerunkan kerana daripadanya boleh merebak ke penyakit-penyakit kronik... Bermacam-macam yang bermain di fikiranku... Potong kaki la, cucuk insulin la, boleh buta la, lemah tenaga batin la... Huh!!! memang STRESS!!! Aku pun meminta nasihat daripada rakan-rakan dan juga keluarga... Banyak petua yang telah diberikan... Akhirnya Ayahandaku memberikan petua dengan mengamalkan meminum Teh Hijau dicampur dengan serbuk Kulit Kayu Manis beserta senaman... Aku pun mencari sumber-sumber daripada Internet mengenai khasiat Teh Hijau dan Kulit Kayu Manis... Ternyata bahan ini merupakan sumber utama penyembuhan bagi penghidap Diabetes... Aku bermula mengamalkan petua ini setiap malam sebelum tidur bermula 12 Jun 2011 dan juga berhenti dari mengambil nasi... Aku gantikan nasi dengan Roti Wholemeal dan Quaker Oats... Di kala petang, lepas sahaja balik dari kerja, aku meluangkan masa 30 minit untuk berjalan pantas di padang permainan...

Masa yang ditunggu telahpun tiba... Dah rasa macam menunggu keputusan peperiksaan pula, samada lulus ataupun gagal... Bacaanku yang disahkan pada 15 Jun 2011 ialah 16.4 mmol/L (bermakna 3 kali ganda lebih daripada paras normal)... Doktor pun menyarankanku supaya mengambil ubat... Aku masih ingat lagi pesanan dari abangku, tak perlu ubat... Cukupla dengan menjaga makanan... Aku pun menolak saranan doktor dengan baik... Aku tetap dengan pendirianku untuk menentang Diabetes secara natural... Berikut adalah amalanku:
  1. Sarapan pagiku: 7 sudu besar Quaker Oats + 2 sudu besar Corn Flakes + 1 sudu teh serbuk Badam + 1 paket HiGoat
  2. Sarapan tengahariku dan malamku: sayur campur + ulam-ulam + ikan / ayam / daging tanpa lemak
  3. Aku akan pastikan perutku tak kosong di siang hari, setiap sejam aku akan memakan sekeping Krakers atau roti WholeMeal
  4. Air kosong 2 liter sehari
  5. Scott Imulsion: 1 sudu besar pagi dan 1 sudu besar malam
  6. Senaman 30 minit setiap hari dengan menggunakan X2 Crosstrainer, tekan tubi 20 kali sehari, bangun tubi 20 kali sehari
  7. Apple Cider: 1 sudu teh dicampur segelas air diminum setiap pagi
  8. Teh Hijau + hujung sudu teh serbuk Kulit Kayu Manis + biji Pelaga sebelum tidur
  9. Menggantikan minyak Canola dan minyak Zaitun dalam masakan
  10. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT
Tergerak dihatiku untuk ke Klinik bagi mengetahui bacaan Gula dalam darahku... Alhamdulillah, ia menunjukkan keputusan yang positif di mana bacaanku pada 18 Jun 2011 ialah 10.8 mmol/L... Dengan itu aku menjadi bersemangat untuk mendisiplinkan diriku dalam menjaga pemakananku di samping senaman yang berterusan... Aku dapat rasakan bahawa aku masih ada peluang untuk bebas dari cengkaman Diabetes...

Aku ada terbaca satu artikel mengenai khasiat Kurma di mana 7 biji Kurma sehari menjadi penawar segala jenis penyakit... Setelah mendapat pendapat daripada pakar, disarankan untuk penghidap Diabetes, Kurma di makan 3 biji pagi, 3 biji tengahari, 1 biji malam... Jika di bulan puasa, 3 biji sahur, 3 biji ketika berbuka, 1 biji setelah Tarawih... Oleh itu, 7 biji Kurma sehari kini menjadi amalanku di bulan puasa dan semestinya akan diamalkan untuk bulan yang lain... Aku akan mengambil Kurma kering yang bertangkai...

Begitu juga dengan Misai Kucing... Tak perlu menghabiskan duit dengan membeli Teh Misai Kucing yang ternyata mahal harganya... Cuma dengan harga RM1 di kedai Ubat Cina atau Sensei, aku dapat 1 paket Misai Kucing... Kini amalanku dah bertukar... Dulu Teh Hijau + serbuk Kulit Kayu Manis + biji Pelaga... Kini Teh Hijau + sedikit Misai Kucing diminum setiap malam sebelum tidur...

Di bulan puasa, aku tidak menjalankan senaman seperti biasa... Memadailah dengan banyak berjalan dan mempertingkatkan ibadah solat... Hari ini 24 Ogos 2011, tepat pukul 6 petang aku pun ke Klinik untuk mengetahui bacaan Gula dalam Darahku... Ya Allah!!! Bersyukur kepadaMu Ya Allah!!! Bacaanku kini sudah ke paras normal iaitu 4.9 mmol/L... Kini aku sudah mengetahui yang aku pernah menghidapi Diabetes, berketurunan Diabetes sebelah arwah Bondaku, jadi aku kenalah sentiasa berwaspada dengan mengekalkan disiplin amalan pemakanan yang sihat beserta senaman yang berterusan...
Hidup sihat, keluarga bahagia...

Tuesday, August 23, 2011

Solat Sunat Tasbih

Solat ini disebut Solat Sunat Tasbih kerana diucapkan Tasbih sebanyak 300 kali Tasbih. Ia merupakan solat sunat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Saidina Abbas Ibn Abdul Mutalib. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh setiap malam, andaikata tidak sanggup diusahakan seminggu sekali, andaikata tidak sanggup diusahakan sebulan sekali, sekiranya tidak sanggup diusahakan setahun sekali, kalau tidak sanggup bolehlah dikerjakan sekali dalam seumur hidup.
  1. Sekiranya dikerjakan pada siang hari, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan satu salam.
  2. Sekiranya dikerjakan pada malam hari, hendaklah empat rakaat itu dijadikan dua salam.
Seeloknya dilakukan sebelah malam, namun boleh juga dilakukan di siang hari. Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama, kerana ia diselangi membaca 300 kali Tasbih.
Bacaan Tasbih itu ialah: Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar.
Solat Sunat Tasbih ini dilakukan 4 rakaat, setiap satu rakaat dibaca sebanyak 75 kali Tasbih. Ini bermakna genap 4 rakaat menjadikannya 300 kali Tasbih. Bilangan bacaan Tasbih dalam satu rakaat adalah seperti berikut:
  1. 15 kali Tasbih - Selepas Doa Iftitah, Surah Al-Fatihah dan surah.
  2. 10 kali Tasbih - Rukuk
  3. 10 kali Tasbih - Iktidal
  4. 10 kali Tasbih - Sujud
  5. 10 kali Tasbih - Duduk antara dua Sujud
  6. 10 kali Tasbih - Sujud
  7. 10 kali Tasbih - Duduk sebentar sebelum berdiri semula atau selepas Tahiyat Awal dan Tahiyat Akhir
Sekiranya terlupa membaca Tasbih pada satu-satunya tempatnya, maka boleh digantikan di tempat berikutnya, agar tetap Tasbihnya berjumlah 300 Tasbih.
Niat Solat Sunat Tasbih: Sahaja aku sembahyang sunat tasbih dua (atau empat) rakaat kerana Allah Ta'ala.
Surah-Surah yang disunatkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah At-Takaathur pada rakaat pertama
  2. Surah Al-'Asr pada rakaat kedua
  3. Surah Al-Kaafiruun pada rakaat ketiga
  4. Surah Al-Ikhlas pada rakaat keempat
Surah At-Takaathur (Banyak Berlumba)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 8 ayat
  1. Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan (memperbanyak harta benda dan anak-anak),
  2. Sehingga kamu masuk kubur.
  3. Sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  4. Kemudian sekali-kali jangan begitu, nanti kamu akan mengetahui,
  5. Sekali-kali jangan begitu, kalau kamu mengetahui dengan ilmu yang yakin.
  6. Sesungguhnya kamu akan melihat neraka,
  7. Kemudian sesungguhnya kamu akan melihatnya dengan mata keyakinan,
  8. Kemudian kamu akan diperiksa pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu perolehi dari Tuhanmu).
Surah Al-'Asr (Masa)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 3 ayat
  1. Demi masa,
  2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
  3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.
Surah Al-Kaafiruun (Orang-Orang Kafir)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 6 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Wahai orang-orang kafir,
  2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,
  3. Dan kamu tidak akan menyembah apa yang aku sembah.
  4. Aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah,
  5. Dan kamu tak pula pernah menyembah apa yang aku sembah.
  6. Bagi kamu agamamu dan bagiku agamaku.
Surah Al-Ikhlas (Bersih - Tulus)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 4 ayat
  1. Katakanlah (ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa.
  2. Allah yang dituju (untuk meminta hajat).
  3. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
  4. Dan tiada suatu pun yang menyerupaiNya.
Doa Solat Sunat Tasbih: Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripadaMu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazamanku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau. Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadaMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran. Ya Tuhanku, sempurnakanlah kepadaku cahaya kebenaran, dan ampunilah aku. Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa.

Monday, August 22, 2011

Solat Sunat Dhuha

Sebagai orang beriman, kita perlu menyakini bahawa segalanya dalam kehidupan kita ini adalah dalam pengurusan Allah SWT. Dialah yang menghidupkan dan Dialah yang mematikan. DaripadaNya datang segala kebaikan dan daripadaNya juga datang segala keburukan. Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah Solat Sunat Dhuha. Antara keistimewaannya adalah seperti yang telah disebut oleh Allah SWT, waktu Dhuha adalah waktu Allah SWT mencurahkan kurniaan kepada hamba-Nya.
Dalam riwayat  Abu Hurairah katanya: Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan Witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat Solat Dhuha kerana ia adalah sunat Awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasullullah SAW yang maksudnya: Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan. (Kitab An-Nurain)
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menjaga Solat Dhuha nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih dilautan. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dalam riwayat Anas bin Malik katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Barangsiapa yang mengerjakan Solat Sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas. (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Waktu Solat Sunat Dhuha setelah matahari meninggi sejengkal, lebih kurang pukul 8.00 pagi hinggalah sebelum matahari menegak, iaitu tengahari. Tidak boleh dilakukan sebelum dan sesudah batas waktu tersebut. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti solat sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan 4 rakaat, 6 rakaat, 8 rakaat dan 12 rakaat.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Barangsiapa yang menunaikan Solat Sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya. (Riwayat At-Thabarani)
Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk. Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam.
Niat: Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.
Boleh dibaca mana-mana Surah sesudah selesai bacaan Al-Fatihah. Namun Surah yang digalakkan dibaca selepas Surah Al-Fatihah adalah:
  1. Surah Asy-Syams pada rakaat pertama 
  2. Surah Ad-Dhuhaa pada rakaat kedua
Surah Asy-Syams (Matahari)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 15 ayat
  1. Demi matahari dan sinarnya,
  2. Demi bulan apabila mengiringinya,
  3. Demi siang apabila melahirkan (cahayanya),
  4. Demi malam apabila menutupinya,
  5. Demi langit dan Yang Membangunkannya (Allah),
  6. Demi bumi dan Yang Menghamparkannya (Allah),
  7. Demi diri (manusia) dan Yang Menyempurnakannya (Allah),
  8. Lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik.
  9. Sesungguhnya telah menanglah orang-orang yang membersihkan (jiwanya).
  10. Dan rugilah orang yang mengotorkannya.
  11. Thamud telah mendustakan (Rasul), kerana derhakanya,
  12. (Iaitu) ketika bangun seorang yang amat celaka di antaranya,
  13. Lalu berkata Rasul Allah kepada mereka: (Awas) Unta Allah dan minumannya.
  14. Kemudian mereka mendustakannya, dan membunuh unta itu, lalu Tuhan membinasakan mereka kerana dosanya, dan meratakan semuanya.
  15. Dan Tuhan tidak takut akan akibatnya.
Surah Ad-Dhuhaa (Waktu Pagi)
Diturunkan di Mekah, mengandungi 11 ayat
  1. Demi waktu pagi, 
  2. Demi malam, apabila telah sunyi,
  3. Tuhanmu tidaklah meninggalkan engkau (ya Muhammad), dan tidak pula membenci (mu).
  4. Sesungguhnya akhirat lebih baik bagimu daripada dunia.
  5. Nanti Tuhanmu akan memberimu, lalu engkau menjadi suka.
  6. Bukankah engkau didapatiNya seorang anak yatim, lalu dilindungiNya?
  7. Dan engkau didapatiNya dalam kesesatan (belum mendapat petunjuk), lalu ditunjukiNya.
  8. Dan engkau didapatiNya seorang miskin, lalu diberiNya kekayaan.
  9. Adapun anak yatim, janganlah engkau paksa.
  10. Dan orang yang meminta (bertanya), janganlah engkau herdik.
  11. Adapun nikmat Tuhanmu hendaklah engkau beritakan (jangan disembunyikan).
Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang dikehendaki. Perlu diingatkan bahawa Solat Sunat Dhuha adalah antara solat individu yang tidak boleh dilakukan secara berjemaah.

Selesai solat, hendaklah baca tasbih ini sebanyak 10 kali - Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama kekalnya Kekuasaan Allah.
Doa Solat Sunat Dhuha: Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan KekuasaanMu, limpahkanlah kepada hamba-hambaMu yang saleh.

Friday, August 19, 2011

Ramadhan di Penghujung

Salam Ramadhan buat semua muslimin & muslimat, semoga anda semua sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah SWT dalam mempertingkatkan amal ibadah di 10 hari terakhir bulan Ramadhan ini. Baginda Rasulullah SAW sentiasa meningkatkan amalan dengan Qiamulail, beriktikaf dan mengejutkan semua ahli keluarganya untuk bersama beribadah dengannya. Setelah 20 hari berpuasa, pernahkah terlintas di hati, adakah kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).
Hadis ini menerangkan bagaimana Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh teladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan. Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Adalah menjadi kerugian sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita.
Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat membeli belah. Apa yang berlaku, kelebihan 10 malam terakhir Ramadhan seolah-olah tidak langsung diambil kira. Apa yang menyedihkan setelah ditinjau di masjid atau surau, kebanyakannya sudah tidak semeriah sepertimana di awal Ramadhan. Malah lebih mendukacitakan ada di kalangan masyarakat kita terutamanya muda-mudi yang beragama Islam keluar malam ke ibu kota dan ke taman-taman untuk berdua-duaan dan bermadu kasih tanpa rasa bersalah dan malu.

Sepatutnya ibu bapa hendaklah mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini. Anak-anak memerlukan didikan dan panduan dari ibu bapa. Sebaliknya jika ibu bapa pun turut serta mengabaikannya, maka tidak hairanlah anak-anak juga tidak berminat untuk mengerjakan solat Tarawikh, malah mereka datang ke masjid atau surau bukan untuk solat, tetapi membuat bising dan bermain mercun. Justeru itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan lagi amal ibadah menjelang penghujung Ramadhan ini kerana di dalamnya ada satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar dan ianya menjadi rebutan para hamba-hamba Allah SWT yang beriman dan bertaqwa.
Firman Allah SWT: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)
Malam Lailatul Qadar dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman bertungkus lumus mencari redha Allah dengan meningkatkan pencarian ganjaran yang berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa untuk beribadah dan promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan 10 hari terakhir Ramadhan ialah :
  1. Menghidupkan malam dengan solat malam seperti Tahajud, Hajat, Taubat, Tasbih dan juga berzikir kepada Allah SWT.
  2. Digalakkan juga supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama Qiamullail dan jangan biarkan mereka dibuai mimpi.
  3. Bagi suami isteri pula 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Rasulullah SAW mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan amal ibadah.
  4. Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan dengan berada di masjid untuk beribadat kepada Allah SWT.
Kata Imam Az-Zuhri: Maksudnya: Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga meninggal dunia.
Dengan demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amal ibadah mudah-mudahan kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melakukan amalan-amalan khususnya 10 malam terakhir Ramadhan ini agar kita menjadi hamba Allah SWT yang bertuah di dunia dan di akhirat.

Friday, August 5, 2011

Solat Sunat Tarawih

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan solat empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan Tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat.

Solat Sunat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas Solat Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat Solat Sunat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun 20 rakaat. Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Solat Sunat Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan Solat Isya' dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.
Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW sangat menggalakkan Solat Sunat Tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya. Baginda bersabda: Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau. Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah ra berkata: Rasulullah SAW mengerjakan Solat Sunat Tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka: Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu. Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.
Hukum mengerjakan Solat Sunat Tarawih adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada setiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Solat Sunat Tarawih lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun Solat Sunat Tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, Solat Sunat Tarawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar ra yang mengingatkan bahawa sebahagian Solat Nawafil telah disyariat dalam Solat berjemaah. Solat Sunat Tarawih termasuk Solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Waktu Solat Sunat Tarawih ini ialah selepas menunaikan Solat Isya' sehinggalah ke larut malam. Solat Sunat Tarawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada setiap satu kali takbiratul ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun Solat Sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun solat yang lain.

Solat Sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan Solat Isya'. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan Solat Sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana ia boleh dibuat sehingga sebelum Solat Subuh. Biasanya di Malaysia, Solat Sunat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas Solat Isya'. Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa Solat Subuh.
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih: Sahaja aku sembahyang sunat Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan Solat Sunat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat Solat Sunat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi arbaa raka'ataini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.
Bilangan Rakaat

Pada zaman Rasulullah SAW, Solat Sunat Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah SAW juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib.

Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu. Solat ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat Solat Witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan Solat Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat Solat Witir.
Solat Sunat Tarawih boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah ra: Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.
Dalam isu bilangan rakaat yang harus dilakukan dalam Solat Sunat Tarawih, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan.
Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata: Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu Subuh maka bersolatlah Witir satu rakaat sebagai penutup.
Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah menghadkan jumlah rakaat dalam Solat Sunat Tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir. Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata: Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan Solat Sunat Tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat Witir.

Di Masjidil Haram di Mekah, Solat Sunat Tarawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya Imam membaca satu juzuk Al-Quran pada setiap kali Tarawih dan menamatkan seluruh Al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadhan.

Tuesday, August 2, 2011

Kesempurnaan Puasa Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah SWT dan RasulNya, ia juga menjadi penghulu segala bulan. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu, Allah SWT telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia.
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah (Surah Al-Baqarah:185)
Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatul-Qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan (kira-kira 83 tahun). Menurut para ulama, Lailatul-Qadr itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan khasnya malam-malam sepuluh yang terakhirnya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.
Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar (Hadis Riwayat Muslim)
Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk Syurga (Shahih Ibnu Khuzaimah)
Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira (Surah Az-Zumar:10)
KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADHAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikannya, bukan saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup.
Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan matlamat puasa.
Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga (Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)
MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan bathiniyahnya. Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:
  1. Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan penglihatan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah SWT.
  2. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.
  3. Memelihara pendengaran telinga daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan.
  4. Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).
  5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah SWT daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
  6. Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah SWT, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah SWT. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu apabila puasa dapat dilaksanakan dengan sempurna menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota, bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah SWT, maka orang yang berpuasa sedemikian akan mudah mencapai martabat orang-orang yang takwa.
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah:183)
PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Kalau di sepanjang waktu umat Islam dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa makanan yang halal pun dilarang. Orang yang beriman akan dapat menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia menyakini bahawa Allah SWT sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang nafsunya.

Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun bertukar menjadi binatang. Tetapi apabila dapat dikendalikan khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya ke tingkat ketakwaan.
Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah SWT berkata: Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu (Hadis Riwayat Bukhari)
4 HAL KEADAAN PUASA
  1. Orang Tuli - Bayangkan betapa susahnya orang tuli nak mendengar dan memahami apa yang kita ucapkan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mendengar segala kata-kata yang kotor, berita-berita bohong, bunyi-bunyi yang melalaikan dan suara-suara yang tidak bermanfaat yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa pendengaran (telinga).
  2. Orang Bisu - Bayangkan betapa susahnya orang bisu nak bercakap dengan kita. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari mengeluarkan segala kata-kata yang tidak berfaedah dan kata-kata yang diharamkan oleh syarak seperti berbual-bual kosong, mengumpat, berdusta, memfitnah, berbantah-bantah kerana perkelahian, bersumpah bohong, keji mengeji, maki hamun, mencarut, mengarut dan yang seumpamanya, yakni puasa perkataan (lidah).
  3. Orang Buta - Bayangkan betapa susahnya orang buta nak melihat sebagaimana yang kita nampak, hidup dalam kegelapan, payah menggambarkan bentuk apa yang kita ucapkan, sukar hendak pergi menuntut ilmu dan susah untuk bekerja mencari rezeki. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melihat segala sesuatu yang bukan haknya yang diharamkan oleh syarak dan perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT, yakni puasa penglihatan (mata).
  4. Orang Cacat - Bayangkan betapa susahnya orang cacat nak melakukan sesuatu perbuatan sebagaimana yang diperbuat oleh kita, hidup dalam ketidak-sempurnaan, payah untuk menyuap memegang sesuatu bagi yang tiada anggota tangan, sukar untuk bergerak berdiri bagi yang tiada anggota kaki dan susah untuk duduk bangun bagi yang lumpuh anggota badan. Mereka itu puasa siang malam sepanjang hayat dari melakukan segala perbuatan yang tidak berfaedah dan yang diharamkan oleh syarak, yakni puasa perbuatan (anggota badan).
Bagaimana pula halnya puasa kita yang boleh mendengar, bertutur, melihat dan sempurna? Mampukah kita puasa sepanjang hayat sesempurna orang tuli, orang bisu, orang buta dan orang cacat itu berpuasa? Gabungan puasa pendengaran, puasa perkataan, puasa penglihatan dan puasa perbuatan itulah puasa kita orang Islam yang mampu mencegah nafsu dari dipengaruhi oleh sifat jahat kita sendiri. Dan bila nafsu sudah dicegah dari dipengaruhi oleh sifat jahat, maka jadilah telinga, lidah, mata dan anggota badan kita ibarat kata puasa sepanjang hayat.

Adapun bagi mencuci dosa-dosa yang telah dilakukan oleh telinga, lidah, mata dan anggota badan kita, setiap orang Islam diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Juga sebagai orang sempurna yang celik yang berkata-kata yang mendengar, ambillah iktibar dari 4 hal keadaan puasa di atas. Sungguh setiap ibadat wajib dalam agama Islam itu ada pengajaran yang jelas buat orang yang mahu berfikir. Mudah-mudahan puasa kali ini mencapai maksud dan tujuannya, Insya Allah.

Monday, August 1, 2011

Keistimewaan & Kelebihan Ramadhan

PINTU SYURGA DIBUKA & PINTU NERAKA DITUTUP

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan (Riwayat Bukhari dan Muslim).


HANYA ORANG YANG BERPUASA DAPAT MEMASUKI PINTU SYURGA AR-RAYYAN

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan (Riwayat Bukhari dan Muslim).


ORANG YANG BERPUASA BERGEMBIRA KETIKA MENEMUI ALLAH & BERBUKA

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya (Riwayat Bukhari dan Muslim).


BAU MULUT ORANG YANG BERPUASA LEBIH WANGI DARI KASTURI
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi (Riwayat Bukhari dan Muslim).


DITURUNKAN AL-QURAN
Firman Allah Taala bermaksud: Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah) (Surah Al-Baqarah:185).


AMALAN PUASA DINISBAHKAN KEPADA ALLAH TAALA

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya (Riwayat Bukhari dan Muslim).


MALAM LAILATUL QADAR

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. (Surah Al-Qadr:1-5).

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan 1432 - 1 August 2011

Sejarah Ramadhan
  1. Ramadhan: Ertinya panas terik
  2. Bulan diturunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
  3. Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan
  4. Bulan di mana Rasulullah SAW mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala
  5. Di dalamnya dipilih Malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan
  6. Dipilih untuk ibadat puasa
  7. Dipilih untuk lain-lain ibadat (tadarus Al Quran)
Kelebihan Ramadhan
  1. Dinaungi Ramadhan (bagi yang telah meninggal dunia di bulan Ramadhan, terlepas dari siksa kubur
  2. Bulan penuh keberkatan
  3. Di malamnya ada lebih baik daripada 1000 bulan
  4. Amalan solat sunat menyamai dengan solat fardhu, manakala solat fardhu mendapat 70 kali ganda
  5. Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
  6. Bulan menambah rezeki
  7. Memberi berbuka banyak pahala
  8. Bulan keampunan :- Doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa & juga doa ada sepertiga malam.
10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.
Amalan di Bulan Ramadhan
  1. Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
  2. Menempah pakaian untuk Ramadhan
  3. Niat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan
  4. Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dapat bangun malam
  5. Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
  6. Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
  7. Solat berjemaah setiap waktu di masjid/surau
  8. Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
  9. Sahur di waktu akhir, untuk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
  10. Mandi Janabat sebelum Imsak
  11. Kurangkan tidur
  12. Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
  13. Tunaikan Solat Dhuha
  14. Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
  15. Tunaikan solat Rawatib
  16. Jaga pancaindera
  17. Elakkan gosok gigi selepas tergelincir matahari hingga berbuka
  18. Hadiri majlis ilmu
  19. Buat baik kepada ibubapa
  20. Isteri hendaklah taat pada suami
  21. Banyakkan bersedekah
  22. Berbuka dengan 3 biji kurma dan air yang belum dipanaskan oleh api
  23. Berbuka bersama orang tua
  24. Jemput tetamu berbuka
  25. Kurangkan berat badan
  26. Banyakkan i'tikaf di masjid (lelaki sahaja)
  27. Baiki hubungan suami isteri
  28. Baiki hubungan jiran
  29. Isteri jauhi daripada keluar memakai mekap & perhiasan
  30. Elakkan berbelanja berlebihan
  31. Kuatkan kesabaran
  32. Banyakkan selawat, istighfar dan bertasbih
  33. Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
  34. Mengejut anak dan isteri di malam Lailatul Qadar
  35. Elakkan menonton TV yang mengandungi nafsu
  36. Elakkan mendengar radio berunsur hiburan hingga melalaikan
  37. Berdoa dengan nada lembut dan merayu
  38. Jauhkan bercumbu dengan suami/isteri
  39. Mendoakan ibu bapa samada hidup atau yang meninggal dunia
  40. Melazimkan solat waktu
  41. Elakkan sebelum berbuka bersiar-siar yang menjadikan pandangan liar
  42. Elakkan banyak berhutang
  43. Melepaskan perasaan sedih, Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
  44. Mengeluarkan zakat fitrah

Wednesday, July 27, 2011

Rempah Ratus

Sudah menjadi satu kemestian bagi penggunaan ramuan Rempah Ratus dalam masakan. Rempah Ratus dianggap penting kerana dapat membangkitkan aroma dan penyedap masakan yang disajikan. Tiada rumah di Malaysia yang tidak menyimpan Rempah Ratus di dapur. Namun, ramai yang tidak tahu mengenai manafaat Rempah Ratus dari sudut kesihatan dan perubatan. Khasiatnya telah terbukti oleh Muhammad Ibn al-Idrisi yang terkenal di dunia Islam mahupun di Barat dalam bukunya, Kitab al-Jami-li-Sifat Ashtat al-Nabatat (Kitab Ringkas Tentang Tumbuhan Perubatan) mengenai sifat tumbuhan dari Rempah Ratus yang dijadikan ubat-ubatan. Kajian lain turut mendapati Rempah Ratus boleh bertindak sebagai antibiotik yang menghalang pertumbuhan lebih 75 peratus kuman yang berpunca daripada makanan.

Bunga Kekwa (Chrysanthemum)

Menghapuskan bakteria dan memperkuatkan saluran kapilari. Sering digunakan dalam perubatan untuk mengubati beberapa jenis penyakit termasuk pemulihan demam selsema. Menyejukkan badan dan amat sesuai digunakan untuk mengubati demam, melegakan kerongkong dan meredakan pening kepala serta untuk mencerahkan mata. Digunakan juga sebagai stimulant untuk tahan dari mengantuk. Kelopak bunga yang sudah ditoskan selepas direndam air panas dibungkus boleh melegakan gatal-gatal mata (gunakan sebagai tampalan).

Buah Pelaga (Cardamon)

Digunakan untuk mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid dan air kecil, tonik jantung, laksatif, stimulant, tonik perut, merawat bengkak dan sakit, cirit, jangkitan pada kerongkong, masalah di dalam rahim, mulas perut, pancutan mani pramasa, penyakit hati, perut dan usus kembung angin, sakit dada, sakit gigi, sakit kepala, sakit perut, sakit telinga dan merangsang penghadaman. Boleh juga dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk.

Bunga Cengkih (Syzygium Aromaticum)

Buah - Dibuat ubat dalaman bersifat afrodisiak, mengetatkan vagina, meningkatkan selera, merawat mulas perut dan kembung angin.

Bunga - Sebagai antiemetik, antimual, antispasma, tonik, tonik perut, mengeluarkan angin daripada perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, menurunkan panas badan, merangsang penghadaman, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, untuk merawat cirit, kolera, mulas perut, nafas berbau busuk, penyakit saluran darah, sakit kepala, sakit gigi, dan wanita selepas bersalin, ubat pupuk digunakan pada gigitan serangga, kurap dan luka. Dekokasi  cengkih dan kayu manis diminum untuk merawat demam panas. Infusi diminum untuk merawat gout, masalah usus dan pembuangan air besar.

Bunga Lawang (Illicium Verum)

Buah - Mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, merangsang dan melawaskan penghasilan susu, stimulant, tonik perut, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, merawat batuk kokol, cirit, demam panas, gastrik, gelisah, hernia, insomnia, konstipasi, kulit berminyak, lumbago, mual, mulas perut, muntah, penyakit kanak-kanak bengkak leher dan sukar bernafas dan spasma. Buah dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk.

Daun, Kulit Kayu, dan Kayu - Merawat lumbago dan reumatisme.

Daun Sireh (Piperaceae)

Melegakan rasa gatal pada kulit muka yang sensitif yang biasanya menjadi terlalu kering. Daun sireh adalah antiseptik perangsang dan digunakan untuk merawat masalah mulut kering (xerostomia) kerana sifatnya yang menggalakkan pengeluaran air liur. Ada digunakan secara tradisional bagi menahan pengeluaran susu dalam rawatan buah dada yang menanah. Untuk menegangkan kulit, mengelakkan kedutan kulit dan membantu melancarkan peredaran darah, membantu memperlahan proses penuaan dan sangat sesuai sebagai bahan losyen awet muda. Daun sireh menghalang kemerosotan sel dan kerosakan peringkat selular. Daun sireh mempunyai keupayaan untuk mencari radikal bebas dalam tubuh. Melindungi daripada parasit dalam usus. mengandungi bahan anti-oksida. Satu sumber yang bagus untuk zat kalsium, karotena, zat besi, dan membantu sistem penghadaman.

Halba (Fabaceae)

Dekoksi atau infusi biji digunakan sebagai afrodisiak, diuretik, laksatif, pembuka selera, dan toknik, untuk membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, merawat  batuk, bengkak hati atau limpa, bengkak kaki atau tangan kerana kesejukkan, bronkitis, busung, demam panas, diabetes, hernia, impoten, konstipasi, masalah ginjal atau punding kencing, masalah kolesterol, putus haid, radang sendi, radang urat, sakit dada, sakit dalam perut, sakit otot, dan telinga berdesing, dikunyah untuk menghilangkan nafas berbau busuk, dibuat ubat pupuk pada lecuran, randang sendi, sakit perut dan ulser. Biji direbus dan ditumbuk halus dan ditampal pada bengkak, bisul, hernia, lebam, dan luka. Biji rebus lalu dimakan untuk menambahkan penghasilan susu ibu.

Halia (Zingiber Officinale Roscoe)

Daun - Dihancurkan atau cecair diperah dan diletak pada tubuh untuk merawat demam malaria, demam panas, reumatisme, sakit kepala, sakit perut, ia juga dimakan untuk merawat reumatisme dan sakit perut.

Rizom - Sebagai antiemeti, diureti, stimulant, tonik perut, ubat batuk, membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang peluh, melawaskan haid, memanaskan badan, mengurangkan risiko pembekuan darah, merawat asma, batuk, bau badan, bengkak kaki atau tangan kerana kesejukan, busung, cirit, demam panas, disenteri, jangkitan semasa kelahiran anak, kejang otok, kejang semasa haid, loya, masalah usus, mual, perut dan usus kembung angin, radang sendi, reumatisme, sakit perut kerana masalah penghadaman, sakit kepala, selesema, sesak dada, sesak hati, susah menghadamkan makanan, tergeliat dan kegunaan wanita selepas bersalin.

Infusi diminum untuk merawat penyakit keputihan. Ubat pupuk pada bengkak, bisul, gatal, lecuran, reumatisme, sakit, sakit gigi, sakit kepala dan sakit perut. Jus dicampur dengan telur dan madu lalu diminum untuk merawat impotens. Jus campur minyak bijan digunakan untuk merawat kelumumur. Halia diredam dalam cuka digunakan untuk merawat jangkitan semasa kelahiran anak, reumatisme dan mengurut tubuh wanita selepas bersalin. Halia direbus, dicampur gula merah atau madu diminum untuk mengelak atau merawat batuk, bronchitis, demam panas, lesu, panas badan, sakit kerongkong dan serak suara. Halia direndam dalam minyak dan minyak digunakan sebagai losen telinga untuk merawat sakit telinga.

Jintan Manis (Pimpinella Anisum)

Sebagai  antibakteria, antiseptik, antispasma, diureti, stimulant, tonik, dan tonik perut, merangsang peluh, merangsang dan meningkatkan penghasilan susu. Campuran dengan bahan lain digunakan untuk merawat angin dalam perut dan usus, batuk, demam panas, gonorea, mabuk pagi, sakit perut dan tonik selepas bersalin. Buah dikunyah untuk mengatasi angin dalam perut, nafas berbau dan sedu. Air rebusan disapu pada kulit berminyak. Minyak esen digunakan sebagai ubat luaran untuk mengatasi angin dalam perut dan usus, kekejangan, untuk meningkatkan aktiviti otak dan badan. Campuran minyak jintan manis , minyak adas pedas dan madu ledah diambil untuk merawat batuk dan bronchitis.

Kayu Manis (Cinnamomum Verum)

Kulit Kayu - Dekoksi diminum untuk merangsang edaran darah, penghadaman dan respirasi, merawat bengkak kaki atau tangan kerana kesejukan, cirit, demam panas, diabetes, influenza, kurap, loya,masalah berkaitan pembuangan air besar, mual, mulas perut, muntah, perut dan usus kembung angin, reumatisme, sakit kepala, sinusitis dan tibi, sebagai astringen dan stimulant, mengeluarkan angin dari perut dan usus.

Serbuk - Dimakan bersama makanan untuk menurunkan tekanan darah. Dekoksi kayu manis dengan cengkih diminum untuk merawat demam panas. Infusi diminum untuk merawat gigi berlubang, jangkitan di vagina atau saluran kencing, selesema, ulser mulut dan menghalang jangkitan.

Kunyit (Curcuma Longa)

Menghentikan pendarahan, mengeluarkan angin dari perut dan usus, sebagai diureti, stimulant, tonik, tonik perut, merawat demam kuning, pendarahan, perut dan usus, kembung angin dan penyakit hati. Kunyit juga sebagai ubat pupuk digunakan pada bengkak, bisul, calar, gatal, kayap, lebam, luka, penyakit kulit, psoriasis, sakit gusi dan gigi, sakit telinga, tergeliat dan ulser. Kunyit dicampur air limau nipis lalu dipupuk pada herpes, jangkitan kulat, kudis, panau, ulser dan pelbagai penyakit kulit. Kunyit juga sebagai ubat dalaman untuk melarutkan darah beku, menggalak edaran darah, merawat batuk, batu karang, cirit, disenteri, haid tidak teratur, reumatisme, sakit belakang, sakit dada, sakit perut, sendawa, selesema, tibi dan ibu lepas bersalin. Dekoksi atau serbuknya dicampur air lalu digunakan sebagai pencuci mulut untuk merawat bengkak gusi, sakit gusi, selesema dan ulser mulut. Sekeping kunyit segar ditampal pada bengkak gusi, sakit gusi, dan gigi, serta ulser kulit dan mulut.

Lada Hitam (Piper Nigrum L)

Ia turut digunakan sebagai ubat dalaman sebagai afrodisiak, diureti, penawar racun terhadap keracunan makanan, dan tonik, mengeluarkan angin dari perut dan usus, dan memanaskan badan, merawat cirit, disenteri, kolera, mulas perut dan usus kembung angin, reumatisme, sakit kepala, selesema, senggugut, susah  menghadamkan makanan, dan ibu lepas bersalin. Buah yang kering ditelan untuk menghalang rasa loya, mabuk dalam perjalanan, mual dan mutah. Lada dan badan dihancurkan, campur susu dan diminum sebagai afrodisiak. Campuran lada, akar pinang, dan akar lalang digunakan untuk merawat batu karang. Daun dihancurkan dan ditampal pada bahagian sakit kepala.

Pandan (Adenium Obesum)
Akar - Dekoksi diminum untuk merawat diabetes.

Daun - Dekoksi atau infusi diminum untuk merawat anemia, badan berbau, diabetes, gonorea, sapremia, dan sifilis, digunakan sebagai air mandian ibu lepas bersalin dan sebagai sedatif. Abu campur dengan cuka digunakan pada demam campak. Minyak direndam daun pandan lalu digunakan pada rambut dan kulit kepala untuk kesihatan rambut dan kulit kepala, serta pada sakit otot dan sendi. Ia dijadikan bedak sejuk  yang digunakan untuk kesihatan kulit.

Serai (Cymbopogon Citratus)

Akar - Dekoksi atau infusi diminum untuk melawaskan pembuangan air kecil, merangsang peluh dan merawat selesema.

Daun - Dekoksi digunakan pada bekas calar dan luka, digunakan sebagai air mandian untuk membaiki edaran darah, merawat badan berbau, bengkak, kayap, masalah berkaitan pembuangan air kecil dan pundi air kecil. Infusi diminum untuk tujuan mengeluarkan angin dari perut dan usus, merangsang dan melawaskan haid, sebagai diuretik, pencuci mulut, perangsang sistem saraf, perangsang peluh, tonik umum, dan tonik perut, merawat asma, demam panas, masalah buah pinggang, masalah penghadaman, radang paru-paru, sakit gigi dan gusi, sakit otot, selesema dan ibu lepas bersalin.

Rizom - Infusi digunakan sebagai pencuci mulut untuk merawat masalah gusi.

Seluruh bahagian - Dekoksi diminum untuk merawat batuk, batuk darah, sakit kerongkong dan selesema.

Monday, July 25, 2011

Kulit Kayu Manis

Kulit Kayu Manis dari segi saintifiknya dikenali dengan nama Cinnamomum Zeylanicum dan berasal dari keluarga Lauracea. Ia merupakan rempah ratus yang paling popular di negara-negara barat. Kulit Kayu Manis sering digunakan dalam masakan dan minuman. Ini adalah kerana aromanya yang cukup istimewa dan dapat menambahkan rasa sesuatu hidangan.

Ada yang mengatakan bahawa pokok Kulit Kayu Manis berasal dari Sri Lanka ataupun Indonesia, namun ada sumber mengatakan bahawa tanaman ini tumbuh di Padang, Sumatera Barat. Oleh kerana ia jarang digunakan pada ketika itu, tanaman ini tidak menjadi popular di Indonesia. Namun masyarakat Indonesia hanya menyedari akan keistimewaan rempah tersebut selepas ketibaan para saudagar Arab yang menjual Kulit Kayu Manis di India Selatan dan Sri Lanka. Mereka memperkenalkan cara untuk memanfaatkan Kulit Kayu Manis di dalam makanan.

Kulit Kayu Manis apabila dicampurkan dalam masakan akan menambahkan keenakan sesuatu masakan. Bagi masakan jenis buah, campurkan lebih kurang 5cm Kulit Kayu Manis jenis batang dalam satu liter bekas air. Dalam pembuatan roti, kuih atau sebagainya pula, sekurang-kurangnya satu sudu teh Kulit Kayu Manis jenis serbuk sudah memadai.

Khasiatnya

Aroma Kulit Kayu Manis jenis serbuk adalah tajam berbanding dengan jenis batang. Namun, Kulit Kayu Manis jenis serbuk tidak dapat bertahan lama kerana ia mudah rosak dan aromanya akan menjadi hambar. Trend masyarakat kini yang banyak menggunakan bahan-bahan asli telah mempopularkan Kulit Kayu Manis. Ini adalah kerana ia dikatakan mengandungi pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan tubuh.

Menurut Pusat Kajian Kesihatan Masyarakat Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, Kulit Kayu Manis dapat mempercepatkan tindakan insulin dalam melancarkan metabolisme glukosa darah sebanyak 9 kali ganda. Ketua Pusat Kajian tersebut, Richard Andersoan, PHD menyatakan bahawa peningkatan tindakan insulin amat baik terhadap jantung dan metabolisme. Ini memberikan kesan yang baik terhadap penyakit Diabetes yang mempunyai masalah insulin.

Kulit Kayu Manis mempunyai ciri-ciri antikulat dan antikuman, minyaknya boleh dicampurkan dalam minyak wangi atau barangan pergigian dan farmasi. Menurut penemuan terbaru yang dipaparkan dalam Reuter’s Health, hasil kajian yang dilakukan oleh Dr Daniel Y.C Fung dari Universiti Kansas, Manhattan Amerika Syarikat, telah membuktikan bahawa Kulit Kayu Manis apabila ditambahkan dalam jus epal dapat menyingkirkan bakteria yang terkandung dalam jus tersebut.

Kulit Kayu Manis juga sesuai diamalkan bagi mengubati selesema serta melancarkan pengaliran darah. Jika dikunyah dapat membantu mengeringkan hingusan. Amalan membancuh susu yang dicampur dengan sedikit serbuk Kulit Kayu Manis juga berkesan untuk meredakan sakit itu.

Kesannya lebih lembut daripada halia tetapi tindakannya lebih keras. Kedua-dua herba itu seringkali direbus bersama-sama bagi menghasilkan minuman yang melegakan bagi mengatasi masalah lenguh-lenguh badan, terutamanya di bahagian kaki, tangan, lutut dan pinggang berpunca daripada kesejukan.

Air rebusan Kulit Kayu Manis dan halia juga sesuai diamalkan oleh kaum wanita yang sering mengalami senggugut atau kesakitan di bahagian ari-ari dan kaki. Disamping itu ia juga boleh digunakan untuk berkumur untuk mengubati sakit gusi dan juga menghilangkan masalah pernafasan berbau.

Kegunaan lain Kulit Kayu Manis dalam perubatan ialah seperti melawaskan pembuangan najis, penawar cirit birit (membunuh bakteria e choli) dan penahan sakit. Ia juga merupakan anti bakteria semulajadi yang dapat mencegah pembentukan plak gigi dan kerosakan gigi. Ia juga dapat melegakan senak perut dan juga menghilangkan rasa mual dan loya terutamanya pada wanita hamil.

Sunday, July 24, 2011

Teh Hijau

"Lebih baik berlapar selama 3 hari daripada sehari tidak meminum Teh Hijau". Itulah perumpamaan Cina yang amat terkenal mengenai Teh Hijau. Ia telah diamalkan di Negeri Cina semenjak 4000 tahun dahulu. Masyarakat Cina telah menggunakan Teh Hijau bagi merawat segala macam penyakit dari sakit kepala sehingga kemurungan. Kesemua jenis teh adalah dari jenis pokok yang sama iaitu Camellia Sinensis. Kaedah pemprosesan membezakan jenis teh: Teh Hijau, Teh Hitam dan Teh Oolong.

Daun teh yang baru dipetik diwapkan untuk satu tempoh pendek dan proses ini menghalang daun bertukar warna ataupun mengalami penapaian. Kandungan Polyphenols dalam Teh Hijau tidak terjejas berbanding dengan teh yang lain. Kini kajian saintifik telah membongkarkan rahsia kebaikan Teh Hijau antaranya seperti di dalam Journal Of The National Cancer Institute 1994, mengatakan satu kajian epidemiologi menunjukkan peminum Teh Hijau dapat mengurangkan risiko barah Esophagus di kalangan lelaki dan wanita Cina sebanyak 60%. Secara umum Teh Hijau didapati menyihatkan apabila diminum semasa rawatan barah, Arthritis Rheumatoid, paras kolesterol tinggi, penyakit Kardiovaskular, jangkitan dan penurunan fungsi imun.

Keistimewaan Teh Hijau

Rahsianya adalah paras Catechin Polyphenois yang tinggi khususnya Epigallocatechin Gallate (EGCG) yang merupakan antioksidan yang hebat. Antioksidan Teh Hijau adalah:
  • 100 kali lebih berkesan berbanding Vitamin C
  • 25 kali lebih kuat dari Vitamin E
  • 2 kali lebih baik dari Resveratol yang terdapat dalam wine merah.
Antioksidan yang kuat telah dibuktikan berupaya melawan virus, melambatkan penuaan dan mempunyai kesan baik ke atas kesihatan. Radikal bebas adalah molekul yang amat reaktif dan boleh mencederakan sel dalam badan dan seterusnya menjadikan badan terdedah kepada pembentukan barah, penyakit jantung dan penyakit Degeneratif dan metabolik. Catechin memusnahkan radikal bebas dan mempunyai kesan yang menakjubkan ke atas kesihatan seluruh badan. Selain dari itu ia boleh membantu merencat pertumbuhan sel barah, pengawalan paras kolesterol LDL dan secara tidak langsung mengurangkan gumpalan darah tak normal yang menjadi penyebab utama serangan jantung dan strok.

Khasiat Teh Hijau

Banyak kajian telah dilakukan ke atas Teh Hijau dan didapati banyak khasiat kesihatan yang boleh di manfaatkan. Antara kandungan khasiat Teh Hijau yang boleh diperolehi dengan diminum secara berterusan adalah:
  1. Membantu mengawal tekanan darah tinggi: Ia boleh membantu kesihatan dengan mengurangkan tekanan darah dengan merencat tindakan Angiotensin II.
  2. Membantu mengawal paras gula darah: Kandungan Polyphenols dan Polysaccharides dapat memberi kesan manfaat kepada paras gula dalam darah.
  3. Membantu dalam sesetengah penyakit barah: Kandungan Catechins dilihat memberi kesan perawatan kepada sesetengah barah.
  4. Menguatkan sistem imun: Kepekatan Polyphenols dan Flavenoids yang tinggi boleh membantu kesihatan sistem imun tubuh.
  5. Menurunkan paras kolesterol: Paras antioksidan yang tinggi boleh membantu mengurangkan paras kolesterol.
  6. Menggalakkan pembakaran lemak: Kehilangan lemak yang dilihat kepada peminum Teh Hijau lebih khusus kepada lemak di Viscera (lemak di dalam kaviti abdomen, usus dan organ dalaman yang lebih dikaitkan dengan peningkatan risiko sindrom metabolik dan Diabetes jenis 2).
  7. Mengatasi keracunan makanan: Telah lama diketahui  bahawa Teh Hijau dapat membunuh bakteria. Pengambilan Teh Hijau yang pekat dapat merawat penyakit cirit birit. Catechin yang berfungsi sebagai agen pembasmi kuman ketika berlakunya keracunan makanan. Selain itu, ia juga adalah pembasmi kuman yang paling kuat terhadap vibrio cholera kerana ia mempunyai kesan anti toksik dalam toksin yang dihasilkan oleh bakteria selain daripada kolera.

Sunday, July 17, 2011

Badam

Badam atau nama saintifiknya Amygdalus merupakan makanan seimbang dan paling tinggi khasiat di kalangan kekacang. Badam mengandungi protin, serat, kalsium, magnesium, kalium, zinc, selenium, kuprum, phosphorus, biotin, riboflavin, niacin, besi, vitamin E serta antioksida lain yang tinggi. Contohnya, segenggam Badam (35gm), dapat membekalkan 45% dari keperluan harian Vitamin E dan Manganese.

Sebenarnya anda tidak perlu takut mengambil Badam kerana walaupun ia mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% dari lemak dalam Badam adalah lemak taktepu (unsaturated fat) yang badan anda perlukan. Kandungan lemak mono taktepu (monounsaturated fat) yang tinggi dalam Badam sepertimana terdapat di dalam minyak zaitun membuatkan Badam menjadi senjata hebat bagi memerangi kolesterol LDL di dalam badan anda.

Di bahagian selaput biji Badam sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis flavonoids (antioksida) utama. Gandingan beraneka flavonoids dan vitamin E menjadikan Badam suatu makanan yang amat berkhasiat sekali bagi memerangi berbagai masalah kesihatan.

Satu kajian yang dijalankan di University of Toronto ke atas 27 pesakit yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi menunjukkan pengambilan purata 74gm (2 genggam) Badam setiap hari selama sebulan telah berjaya menurunkan 9.4% daripada paras kolesterol di dalam badan mereka. Nisbah LDL(kolesterol jahat)/HDL(kolesterol baik) didapati menurun sebanyak 12%. Penurunan nisbah ini menunjukkan menurunnya risiko serangan jantung.

Asid folik yang terdapat di dalam Badam dipercayai dapat menurunkan paras homocystein, iaitu sejenis asid amino yang boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit; dengan itu juga mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.

Magnesium yang terdapat dalam Badam berperanan melembutkan saluran darah dan dengan itu pengaliran darah, oksigen serta nutrient di dalam badan berjalan dengan elok. Kajian menunjukkan kekurangan magnesium bukan sahaja boleh menyebabkan serangan jantung, tetapi kekurangan magnesium selepas serangan jantung boleh menyebabkan kecederaan (radikal bebas) pada jantung.

Begitu juga dengan kalium dalam Badam untuk sistem transmisi saraf dan otot. Ia amat penting di dalam mengawal tekanan darah serta perjalanan jantung. Pengawalan tekanan darah serta jantung menjadi lebih berkesan dengan Badam kerana kandungan sodium yang rendah (hanya 0.3mg bagi setiap suku cawan Badam).

Badam Menghalang Obesiti

Di dalam satu kajian yang pernah disiarkan di dalam International Journal of Obesity and Related Metabolic Disorders, dilaporkan bahawa diet yang diperkaya dengan Badam telah berjaya mengatasi masalah obesiti jauh lebih berkesan dibandingkan dengan diet berkalori rendah dari karbohidrat kompleks.

Kajian tersebut melibatkan 65 orang dewasa obes. Mereka dibahagi kepada 2 kumpulan. Kedua-dua kumpulan dibekalkan dengan diet yang sama jumlah kalori serta protinnya. Kumpulan pertama diberi diet berkalori rendah terdiri dari karbohidrat kompleks. Kumpulan kedua juga diberi diet berkalori rendah yang diperkayakan dengan Badam (2 genggam sehari). Selepas 6 bulan didapati kumpulan yang dietnya diperkaya dengan Badam mengatasi kumpulan berdiet karbohidrat dengan 64% dalam pengurangan berat badan, 56% dalam lilitan pinggang, 50% dalam pengurangan lemak.

Badam Meredakan Diabetes

Di dalam suatu kajian yang telah disiarkan di dalam The Journal of Nutrition, Badam telah ditambah kepada diet sekumpulan pengidap diabetes tahap ke-2. Keputusan ujian menunjukkan diet dengan Badam telah menurunkan glycemic response dan insulin response. Kumpulan yang mengambil diet bersama Badam ini telah menunjukkan penurunan kebergantungan kepada ubatan. Ini bermakna dengan mengambil Badam, masalah diabetes dapat dikurangkan.

Badam Menghalang Osteoporosis

Badam juga dikatakan dapat menghalang osteoporosis. Sebanyak 30gm Badam (25-30 biji) mempunyai kandungan kalsium sama seperti terdapat dari 1/4 cawan susu. Kalsium amat berguna bagi menghalang osteoporosis.

Badam Untuk Wanita Hamil

Kandungan folate yang tinggi di dalam Badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah penting bagi mengelakkan dari kecacatan pada bayi ketika hamil.

Badam Mengurangkan Risiko Berbagai Penyakit

Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa Badam dapat mengurangkan risiko barah, diabetes, nyanyok (Alzheimer) dan beberapa penyakit kronik yang lain. Dalam satu kajian yang telah disiarkan di dalam American Journal of Clinical Nutrition, dilaporkan bahawa Badam berupaya menurunkan tahap kolesterol setanding dengan kesan dari penggunaan dadah Statin. Kajian seterusnya pula mendedahkan bahawa Badam setanding dengan dadah Statin dalam mengurangkan tahap protin C-reactive yang merosakkan arteri.

Selain tinggi khasiat, Badam juga mempunyai rasa yang sedap. Berbagai cara orang menggunakan Badam dalam masakan; daripada snek sehinggalah kepada makanan berat. Oleh itu jadikanlah Badam sebahagian daripada diet anda. Semoga anda bertambah sihat, ceria serta berbahagia.

Thursday, July 14, 2011

Lebihkan Manis Senyuman, Kurangkan Pemakanan Manis

Bila sebut Gula, pasti ada yang mengeluh apabila dinaikkan harga silingnya. Tanpa Gula yang secukupnya, pasti tak dapat merasakan kepuasannya. Namun, pengambilan Gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pembentukan penyakit Diabetes. Anda boleh membuat pemeriksaan sendiri, hanya dikenakan bayaran RM5 (farmasi) atau RM10 (klinik) untuk mengetahui kandungan glukos dalam badan. Tapi kenalah berpuasa (boleh minum air kosong sahaja) bermula pukul 9 malam dan membuat pemeriksaan pukul 9 pagi keesokan harinya. Jika bacaannya kurang dari 5.5 mmol/L, bermakna anda bebas dari Diabetes. Jika bacaannya 5.6 - 10 mmol/L, bermakna sudah ada pembentukan ke arah Diabetes. Tetapi jika bacaan melebihi 10 mmol/L ke atas menandakan anda dah sah menjadi ahli keluarga Diabetes. Kadang kala anda boleh melakukan pemeriksaan di rumah dan semestinya menjimatkan duit. Anda cuma perlu kencing di atas lantai dan dibiarkan kering. Jika ada banyak semut menghurung bekas kencing anda dalam masa sejam, memang tidak was-was lagi untuk menyatakan bahawa anda mengidap Diabetes.

Gula

Gula adalah makanan yang paling digemari semua orang, ternyata tiada khasiat dan memudaratkan. Ia cuma menambahkan kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Gula secara tidak langsung akan menyingkirkan zat yang sedia ada dalam tubuh manusia. Ternyata Gula merupakan penyebab utama ke arah obesiti. Antara kesan pengambilan Gula yang berlebihan adalah:
  1. Imunisasi - melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan bakteria, lelah, penyebab alergi terhadap makanan dan penyebab jangkitan yis atau kandidiasis.
  2. Kolesterol - meningkatkan lemak dalam hati, meningkatkan paras kolesterol trigliserid, mengurangkan paras kolesterol HDL.
  3. Glukosa - meningkatkan paras glukosa dalam darah dengan cepat, penyebab kemerosotan toleransi glukosa, penyebab kemerosotan sensitiviti Insulin dan penyebab hipoglisemia.
  4. Mata - melemahkan penglihatan, penyebab rabun jauh dan penyebab Katarak.
  5. Buah Pinggang, Perut & Usus - penyebab perut berasid, penyebab bengkak saluran usus di kalangan pesakit gastrik, merosakkan sistem buah pinggang, membesarkan saiz buah pinggang, pembentukan batu karang hempedu, penyebab sakit apendiks, penyebab penapaian bakteria dalam usus, merosakkan pankreas dan pembentukan batu dalam ginjal.
  6. Galian - mengganggu imbangan galian dalam tubuh, mengurangkan kromium dan kuprum dalam badan, mengganggu serapan kalsium, merendahkan kemampuan enzim dan magnesium oleh sistem badan.
  7. Kanak-Kanak - menjadi hiperaktif, gelisah, nakal, mengantuk, mengurangkan kecergasan, mengurangkan hormon tumbesaran, meningkatkan paras adrenalin, penyebab ekzema dan menjejaskan pencapaian mereka dalam pelajaran.
  8. Kanser - menyebabkan kanser payu dara, kanser ovari, kanser prostat, kanser dubur, kanser kolon (usus besar) dan kanser pundi hempedu.
  9. Jantung - meningkatkan paras serotonin yang menyempitkan pembuluh darah, meningkatkan risiko penyakit jantung koronari, penyebab penyakit kardiovaskular dan sakit jantung iskemik.
  10. Gigi - merosakkan gigi dan sakit gusi.
  11. Penyakit - meningkatkan risiko penyakit Crohn, sakit Alzheimer, penyebab sembelit dan kolitis berulser.
  12. Obesiti - penyumbang utama kegemukan.
  13. Penuaan - mempercepat proses penuaan, kulit berkedut dan uban pada rambut.
  14. Sendi - penyebab artritis dan penyumbang kepada Osteoporosis.
  15. Darah - penyebab pendarahan, penyebab Vena Varikos, penyebab keracunan darah semasa hamil, penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah, meningkatkan risiko darah beku dalam badan dan meningkatkan tekanan darah sistolik.
  16. Tisu & Sel - penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya, penyebab sel hati terbahagi, penyebab ketidakseimbangan hormon dan melemahkan struktur DNA.
  17. Kepala - penyebab sakit kepala, penyebab kemurungan dan mengganggu kemampuan berfikir.
Banyak produk-produk makanan yang senarai bahan-bahannya tiada ditulis Gula tapi masih manis. Jangan mudah terpedaya kerana Gula biasanya akan dinamakan dengan nama lain seperti:
  1. Glukosa, Fruktosa, Laktosa, Maltosa, Sukrosa
  2. Sirap Glukosa, Sirap Maple, Sirap Hitam, Sirap Kencana
  3. Molases, Dektrosa, Sorbitol
Rekod dinyatakan bahawa Malaysia tersenarai sebagai pengguna terbanyak Gula di dunia. Negara kita adalah paling gemuk di Asia dan mempunyai pesakit Diabetes yang paling ramai di dunia. Ternyata kita sebenarnya dalam kategori yang membimbangkan. Aku ingin menyarankan agar anda semua perlu mengambil tahu mengenai kesihatan diri sendiri. Jika anda sakit, bukan sahaja diri sendiri susah, tetapi anda akan menyusahkan orang lain yang bergantung kepada anda. Sekurang-kurangnya anda mulakan dengan menghindari pemakanan berGula.

Wednesday, July 13, 2011

Dugaan dari Allah

Pada 11 Jun 2011, aku nekad untuk membuat pemeriksaan darah. Ini adalah kerana aku merasakan sesuatu yang tidak kena mengenai kesihatanku. Pada mulanya mataku mulai kabur, dahaga, berat badan susut 7 kg, mula kerap kencing hinggakan satu tahap bila malam, aku akan kencing sejam sekali dan bacaan tekanan darah pula 140/90.

Aku membuat pemeriksaan darah di Klinik Alam Medic, Wangsa Maju. Perkara yang paling aku takut sekali adalah jarum. Seperti biasa, aku akan memejamkan mataku. Memang tak dapat la nak tengok sendiri jarum tu masuk dalam urat darah. "FOBIA". Pekat betul darahku.

Aku ada baca dalam satu artikel mengenai Diabetes sebelum ni, tanda-tandanya memang menepati apa yang aku alami. Aku pun minta pihak klinik membuat ujian paras glukosku. Huh!!! Bacaan glukosku ketika berpuasa 16.8 mmol/L. Untuk memastikan bahawa aku benar-benar ada Diabetes, Doktor menyarankan aku untuk mengambil sarapan. Sejam kemudian aku ke klinik untuk membuat ujian glukos sekali lagi. Memang Sah!!! Bacaan glukosku naik kepada 19.5 mmol/L.

Aku menerima dugaan ini dengan pemikiran yang positif. Aku bersyukur kerana Allah telah memberikan petunjuk kepadaku pada usia yang masih muda untuk menerima hakikat yang aku ni mengidap Diabetes.

Pada masa yang sama, aku banyak membaca artikel-artikel mengenai Diabetes. Di bawah dinyatakan serba ringkas untuk kita berkongsi bersama:

Sejarah

Diabetes telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda Diabetes, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir pada 1550 SM. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap Diabetes kepada dua jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.

Diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan Mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat glukos dalam air kencing. Diabetes Melitus merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap penyakit ini.

Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap Diabetes yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama ada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit Diabetes dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan Diabetes dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap Diabetes.

Walaupun penyakit Diabetes telah lama diketahui, kawalan penyakit Diabetes yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos dalam darah.

Diabetes

Diabetes merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah), terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya. Secara umumnya, penyakit Diabetes dapat digolongkan sebagai:

  1. Diabetes Jenis Pertama (I) juga dikenali sebagai Diabetes bersandar insulin (IDDM - Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau Diabetes awal remaja. Diabetes ini dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap Diabetes jenis pertama mula mendapat simptom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.
  2. Diabetes Jenis Kedua (II) boleh disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan. Oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan/suapan (suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesan samping serius kepada pesakit).
Pengawalan Diabetes

Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit Diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:

  • Penjagaan pemakanan dan berat badan.
  • Kerap bersenam.
  • Pengubatan.
  • Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan kalori serta seimbang.
Pesakit Diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit Diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi:

  • Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang perlu diambil?
  • Jenis rawatan yang diterima?
  • Dimana hendak mendapat ubat?
Hari yang ditunggu-tunggu telahpun tiba - Keputusan Ujian Darah pada 15 Jun 2011. Memang sah aku pengidap Diabetes Mellitus. Bacaan Glukosku - 16.4 mmol/L (3.9 - 5.5), manakala bacaan HbA1c 14.1% (dikategorikan sebagai pengawalan diabetik yang lemah). Berikut adalah keputusan bagi lingkungan yang perlu bagiku untuk diberikan perhatian:

Haemoglobin - 157 g/L (110-150)
PCV - 0.46 L/L (0.35-0.45)

Lipids
Jumlah Kolesterol - 6.4 mmol/L (<5.2)
Triglyceride - 10.98 mmol/L (<1.68)
HDL Kolesterol - 0.57 mmol/L (>1.03)
HDL Ratio - 11.2 (<2.0)

Electrolytes
Sodium - 132 mmol/L (138-145)
Chloride - 92 mmol/L (95-110)

Fungsi Renal
Creatinine - 99 umol/L (30-90)
Uric Acid - 0.62 mmol/L (0.13-0.39)
Phosphate - 1.09 mmol/L (1.10-1.80)

Fungsi Liver
Jumlah Protin - 82 g/L (57-80)
Albumin - 48 g/L (33-47)
ALT - 60 U/L (<51)

Urine
Urine Albumin - 262 mg/L (<21)
ALT - 15.3 mg Alb/mmol Cr (<2.5)

Huhu. Memang perlu diberikan perhatian terutama sekali kolesterol, uric acid dan paling utama sekali pengambilan gula!!! Apa yang perlu aku lakukan untuk memastikan aku sihat adalah DISIPLIN DIRI.

  1. Perkara yang perlu aku hindari adalah manis dalam pemakanan tetapi perbanyakkan manis dalam senyuman. Nasi dan roti biasa digantikan dengan pengambilan Quaker Oat, Corn Flake dan roti Whole Grain.
  2. Sentiasa berfikiran positif bahawa aku boleh kembali sihat seperti dahulu untuk mengelakkan daripada STRESS.
  3. Lemak-lemak adalah dilarang sama sekali, menggunakan Olive Oil dan Canola Oil bagi pengganti minyak berdasarkan kelapa. Katakan tidak kepada santan.
  4. Mengamalkan 1 sudu besar (pagi) dan 1 sudu besar (malam) minyak ikan Scott Imulsion.
  5. Minum air sebanyak 2-3 Liter sehari. Katakan tidak kepada air sejuk.
  6. Mengamalkan 1-2 sachet Teh Hijau + Serbuk Kulit Kayu Manis + Buah Pelaga.
  7. Banyakkan sayur-sayuran, protin (sumber ikan dan soya) dan buah-buahan (1 biji epal hijau, 1 biji kurma dan 1 biji buah lain). Ayam (seminggu sekali) dan daging (dua minggu sekali) dimakan mengikut kuantiti yang sederhana.
  8. Mengikut piramid pemakanan untuk pemakanan seimbang.
  9. Setiap kawalan pemakanan perlu disertakan dengan senaman. Disyorkan 30 minit, 5 hari seminggu. Tapi bagi aku, senaman selama 30 minit setiap hari. Jika di rumah, aku akan bersenam dengan menggunakan X2 Crosstrainer. Jika di luar, aku akan berjalan pantas. Aku perlu tanamkan sifat "Aku perlu berpeluh setiap hari melalui senaman". Jika di tempat kerja, ofisku berada di tingkat 9. Aku akan pastikan sekali sehari bekerja dengan menaiki tangga. Adakalanya aku selalu meletakkan kenderaan jauh dari tempat dituju untukku berjalan. Aku akan cuba mengelakkan daripada hawa dingin.
  10. Yang paling penting sekali bagiku adalah melalui KEIMANAN. Setiap DOA mestilah disertakan dengan usaha. Aku akan pastikan Rukun Islam, Rukun Iman sentiasa dilaksanakan dengan penuh ikhlas. Jika Jasmaniku diisi dengan pemakanan seimbang, Rohaniku perlu diisi dengan perbanyakkan solat sunat, berzikir dan membaca Al-Quran.
Untuk pengetahuan anda semua, aku membuat ujian glukos pada 18 Jun 2011, Alhamdulillah turun kepada 10.8 mmol/L manakala bacaan tekanan darah pula 121/80. Doktor seperti biasa menyarankanku untuk mengambil ubat. Aku bertegas untuk mendisiplinkan diriku dengan 10 perkara di atas tanpa ubat. Bagiku, jika mengambil ubat bermakna aku menurunkan bacaan glukos tanpa kudratku. Jika terlupa nak makan ubat, glukos terus naik. Lama-kelamaan aku akan bergantung kepada ubat untuk selama-lamanya. Itu sebabnya aku menolak tawaran doktor. Tetapi kenalah mendisiplinkan diri, hingga ke akhir hayat. Jangan pula 2-3 bulan, bila dah sihat, terus lupa pemakanan seimbang dan senaman. Bila dah berumur nanti, sistem antibodi semakin lemah. Jika tidak dikawal, kelak akan menyusahkan diri sendiri.

Kini, aku dah kembali cergas, berat badan ke bacaan BMI Normal. Perut yang comel dulunya dah mula menunjukkan tanda mengempis. Aku cuma amalkan 20 kali senaman dada, 20 kali senaman perut dan 20 kali senaman kaki setiap hari. Tak perlu buat sampai 100 kali dan juga buang duit pergi Gym. Insya Allah, aku akan membuat kembali ujian darah selepas Aidilfitri - 11 September 2011 (genap 3 bulan). Aku akan kembali aktif bersukan bola sepak padang / futsal selepas ujian darah tersebut.